KOTA BHARU, 20 Ogos: Kerajaan Kelantan menyasarkan lima juta pelancong melawat negeri itu tahun ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan Negeri Datuk Md Anizam Abdul Rahman. Beliau berkata bagi tempoh Januari hingga Jun lepas, seramai 2.3 juta pelancong sudah melawat Kelantan.
"Kami yakin dapat mencapai sasaran itu berdasarkan rekod tahun lepas yang menyaksikan lima juta pelancong berkunjung ke negeri ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penanaman pokok berembang bagi mewujudkan taman kelip-kelip di Min House Camp, Kampung Pulau, Kubang Kerian di sini Selasa.
Bagi mencapai sasaran itu, katanya pelbagai perancangan dan program diatur termasuk taman kelip-kelip dan membaik pulih Kolam Air Panas Rengas di Machang.
Mengenai taman kelip-kelip itu, beliau berkata kawasan itu perlu dibangunkan sebagai produk pelancongan Kelantan memandangkan ia merupakan satu-satunya lokasi hinggapan kelip-kelip di negeri ini. "Sebelum ini, kewujudannya (lokasi hinggapan kelip-kelip) hanya di Selangor, Pahang dan Johor," katanya.
Md Anizam berkata penanaman pokok itu dapat meningkatkan lagi bilangan kelip-kelip yang menjadikan tumbuhan tersebut sebagai habitat semula jadinya.
Pada majlis itu, sebanyak 100 batang anak pokok berembang ditanam bagi meningkatkan lagi populasi kelip-kelip di kawasan itu.
Sumber: BERNAMA | 20 Ogos 2013 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan