KOTA BHARU, 25 Ogos: Pengurusan sisa pepejal di
negeri ini bakal diserahkan kepada syarikat Alam Flora Sdn. Bhd. apabila
kerajaan negeri dijadual memeterai perjanjian mengenainya dijangka
sebelum Hari Raya Haji ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan
Alam Sekitar negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, penyerahan
tersebut akan dilakukan selepas kerajaan negeri menerima pelaksanaan
Akta 672, Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007.
Beliau berkata, keputusan kerajaan menandatangani perjanjian tersebut
merupakan antara langkah penambahbaikan yang dibuat dalam aspek
pengurusan sisa pepejal di negeri ini. "Bila akta ini diterima, bermakna automatik Alam Flora akan masuk ke
Kelantan," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Program
Gotong-Royong Perdana 1Malaysia dan Kempen Kawalan Tikus peringkat
negeri di Pasar Besar Siti Khadijah di sini semalam.
Yang turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal
Negara (JPSPN), Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan
Tempatan, Datuk Dr. Nadzri Yahaya; Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa
Pepejal negeri, Datuk Afandi Hamzah; Pengarah Kesihatan negeri, Datuk
Dr. Ahamd Razin Ahmad Mahir; Pengarah Veterinar negeri, Datuk Dr. Mohd.
Zairi Serlan dan Setiausaha Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya
Islam (MPKB-BRI), Rosnazli Amin.
Pada majlis itu, Alam Flora turut menyumbangkan 20 buah tong sampah kepada MPKB-BRI. Mengulas lanjut, Abdul Fattah memberitahu, kerajaan negeri kini di
peringkat akhir untuk menandatangani perjanjian tersebut dengan beberapa
penambahbaikan akan dilakukan.
"Bagi saya semua perkara yang telah diputuskan oleh Kerajaan Pusat
mesti ada sesuatu yang perlu kita pertimbangkan di peringkat negeri,
kalau tidak Kerajaan Pusat tidak akan membuat sesuatu akta dan suatu
keputusan, sama juga macam pengurusan air, kita lihat banyak negeri
tidak mampu menguruskan air, perkara sama akan dibincangkan secara
lanjut," katanya.
Mengurus pengurusan sisa pepejal di negeri ini, Abdul Fattah berkata,
ia terlalu banyak dengan bandar Kota Bharu sahaja menghasilkan
kira-kira 200 metrik tan sampah dan sisa pepejal sehari, berbanding
jangkaan sekitar 60 metrik tan sehari.
Dalam pada itu, Nadzri memberitahu, pengambilan tersebut tidak
melibatkan sebarang kos tambahan kepada kerajaan negeri kerana ia
ditampung oleh Kerajaan Pusat dan usaha itu akan meningkatkan tahap
pengurusan sisa pepejal di negeri ini.
"Harapan kita supaya negeri Kelantan menjadi cantik, ceria dan dapat
menarik kedatangan pelabur, pelabur tidak akan datang kalau kotor,"
katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan