Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Khamis, 1 Ogos 2013

CIQ bakal dilengkapi alat pengimbas termoden - Wan Junaidi

MIRI, 31 Julai: Kerajaan bercadang memasang alat pengimbas termoden di semua Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) untuk memantapkan kawalan sempadan negara terutama bagi mencegah penyeludupan senjata.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata walaupun CIQ kini dilengkapi alat pengimbas namun masih tidak memadai kerana ada CIQ mencatat kadar kemasukan kenderaan yang tinggi seperti di Sungai Golok Kelantan.

"CIQ Sungai Golok mencatat lebih 1,800 kemasukan lori sehari namun alat pengimbas di sana mengambil masa dua jam untuk mengimbas sebuah lori.

"Buat masa ini Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) dan Pelabuhan Klang mempunyai sistem alat imbasan termoden di negara ini," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan cek saguhati khas kepada 32 pesara polis yang bertugas masa darurat komunis di Sarawak, di sini hari ini.

Wan Junaidi berkata keperluan memasang alat pengimbas termoden adalah antara maklum balas yang diterimanya semasa melawat CIQ di Semenanjung Tanah Melayu baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata kerajaan memutuskan untuk mewujudkan Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) di Sarawak untuk memantau lebih 1,400 kilometer kawasan sempadan Sarawak dan Kalimantan.

"Ini sudah diputuskan Kementerian Dalam Negeri namun ia memakan masa kerana melibatkan kos, infrastruktur dan tenaga sumber manusia," katanya.

Bagi Sabah, beliau berkata, tiada keperluan untuk mewujudkan UPP kerana kawalan sempadan di Sabah kini di bawah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

Beliau memberi jaminan keadaan keselamatan sempadan Sarawak dan Kalimantan adalah terkawal dan tiada bukti sahih berlaku penyeludupan senjata di sana.

Sumber: BERNAMA | 31 Julai 2013 |

Tiada ulasan:

Catat Ulasan