PETALING JAYA: Sesetengah pihak menganggap, tidak lengkap Ramadan tanpa bubur lambuk. Oleh itu, tidak salah jika bubur lambuk disenaraikan antara juadah berbuka puasa yang paling digemari sepanjang bulan mulia ini.
Ada yang sanggup beratur panjang di masjid yang menyediakan hidangan itu, malah ia juga disajikan secara bufet di hotel.
Selain bubur lambuk, terdapat banyak lagi bubur yang menjadi sebahagian
hidangan berbuka puasa, malah ia turut digemari bukan Islam.
Malahan, setiap negeri mempunyai cara penyediaan bubur nasi tersendiri,
misalnya di Terengganu yang terkenal dengan bubur yang dimasak bersama
pelbagai jenis ulaman dan ditambah dengan isi ikan, manakala di Pulau
Pinang pula terkenal dengan bubur yang dimasak bersama daging dan rempah
ratus, dengan taburan daun sup serta bawang goreng .
Menurut Naib Presiden Persatuan Chef Malaysia, Master Chef Rossham
Rusli, bubur merupakan sejenis pemakanan utama dari peringkat bayi lagi,
maka tidak hairanlah ia menjadi salah satu hidangan popular sepanjang
Ramadan.

Chef Rossham
Katanya, dari segi kesihatan pula, bubur sesuai dihidangkan bagi keselesaan perut yang kosong setelah berpuasa hampir 12 jam.
“Bubur adalah makanan yang membantu sistem pencernaan yang baik untuk
perut, di samping menjadi amalan pemakanan sihat,” katanya kepada mStar
Online.
Rossham berkata, bubur mengandungi karbohidrat yang membantu memberikan tenaga kepada orang yang berpuasa sepanjang hari.
Tambahnya, bubur yang berasaskan beras, walaupun bersantan dapat menggantikan hidangan makanan utama seperti nasi.
“Ia bukan sahaja berkhasiat, memberikan tenaga, menambahkan selera,
malah mengimbangi rasa pemakanan seperti manis dan pedas,” katanya.
Selain faedahnya dari segi kesihatan, bubur turut digemari pada bulan
puasa kerana cara penyediaannya yang mudah, sekali gus menjimatkan
masa.

Di negara ini, selain bubur lambuk, bubur berasaskan beras boleh
dicampurkan dengan bahan utama lain seperti sumsum, daging, ayam, udang,
ikan dan ketam.
Beliau menyediakan bubur pedas Sarawak, bubur ayam cincang, bubur isi ketam dan bubur sumsum menggunakan bahan tersebut.
“Bubur berasaskan santan pula boleh digabungkan dengan biji-bijian,
kekacang, nasi, sayur-sayuran, labu, kentang dan keledek,” katanya.
Berpengalaman luas dalam bidang penyediaan makanan, Rossham bagaimanapun
berkata, bubur kosong juga sesuai dihidangkan bersama kuah lain
walaupun jarang disediakan.
“Kita jarang mendengar atau melihat orang makan bubur kosong bersama dengan kuah seperti kuah lemak, kuah sambal dan kuah asam.
“Apapun, setiap hidangan berbuka puasa seperti bubur ini perlu dipastikan segar, berkhasiat dan berkualiti,” katanya.
Sumber: mStar Online | 30 Jun 2014