Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Isnin, 30 Jun 2014

Polis tahan adik-beradik, rampas dadah bernilai hampir RM200,000 di Kg. Khatib Ali, KB

KOTA BHARU: Polis menahan tiga lelaki termasuk dua beradik dan merampas pelbagai jenis dadah yang dianggar bernilai hampir RM200,000 di Kampung Khatib Ali di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Baharu ACP Azham Othman berkata bertindak atas maklumat dan risikan, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Baharu menyerbu sebuah rumah di kampung itu pada pukul 10.45 pagi dan menahan ketiga-tiga suspek yang berumur 20-an itu.

"Kita menemui sebotol dadah jenis heroin dan lima plastik cerah iaitu dadah jenis syabu seberat 51.2 gram di atas meja di ruang tamu rumah berkenaan.

Kemudiannya, pemeriksaan ke atas sebuah kereta milik salah seorang suspek yang diletakkan di belakang rumah berkenaan membawa kepada penemuan 90 botol mengandungi dadah jenis heroin seberat 288 gram," katanya kepada pemberita di IPD Kota Baharu di sini, Isnin.

Beliau berkata pihaknya turut menyita kenderaan milik suspek dan wang tunai sebanyak RM2,000 bagi siasatan lanjut.

Azham berkata siasatan awal mendapati mereka dipercayai mendapat bekalan dadah dari negara jiran dan diedarkan di sekitar Kota Bharu.

"Mereka dipercayai bergiat aktif sejak dua tahun lalu, kesemua suspek positif dadah jenis methamphetamine serta dua daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau.

"Ini merupakan rampasan terbesar kita tahun ini (tempoh Jan-Jun) selain kita percaya bekalan dadah sebanyak ini boleh digunakan oleh 20,000 penagih dan setiap satu botol berharga RM450," katanya.

Azham berkata suspek kini direman selama seminggu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

Sumber: Bernama | 30 Jun 2014

Tiada ulasan:

Catat Ulasan