Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Jumaat, 14 November 2014

Kota Bharu bakal miliki bandar pelancongan IILC

KOTA BHARU: Syarikat pemaju hartanah, Auei Teras Holdings Sdn Bhd merancang membangunkan bandar pelancongan 'International Ideopolis Longevity City (IILC)' bernilai RM3 bilion di sini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat Rita Sarbani Ismail berkata projek itu yang menggabungkan tiga komponen utama iaitu pendidikan, pembangunan keusahawanan dan jagaan kesihatan akan dibangunkan di atas kawasan seluas 104 hektar.

IILC akan dibangunkan dengan kerjasama Shaanxi Yilan Enterprise Group dari Xian, Wilayah Shaanxi, China dan Al-Hijrah Trust dari Birmingham, United Kingdom menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai 1 Nov lalu di Xian, katanya dalam sidang media di sini Khamis.

Menurutnya projek yang akan dibangunkan dalam lima fasa dijadual bermula 2016 dan mengambil masa 15 tahun untuk siap sepenuhnya.

Apabila siap kelak, IILC akan mempunyai sebuah menara ilmu setinggi 60 tingkat dan empat menara lain dengan ketinggian 15 dan 20 tingkat, katanya.

"Kami sekarang sedang menunggu kelulusan daripada kerajaan negeri Kelantan bagi kawasan yang dimohon untuk pembangunan IILC itu," katanya.

Selain itu, Rita Sarbani berkata di bawah MoU tersebut juga ketiga-tiga syarikat akan membangunkan pusat pengajian bahasa dikenali 'Global Education Multivarsity and Language College' di Xian yang menawarkan pengajian pelbagai bahasa seperti Mandarin, Inggeris, Melayu, Arab, Perancis dan Jepun.

"Pengambilan pertama pada September tahun depan dan bagi peringkat permulaan ini dijangka menempatkan 600 pelajar," katanya.

Sumber: Bernama | 13 November 2014

Kerajaan Pusat digesa atasi masalah jalan raya di Kelantan

KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja‎ Raya diminta memberi tumpuan kepada pembangunan Kelantan khususnya kemudahan jalan raya.

Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Mazian Nik Mohamad‎ berkata isu kemudahan asas terutamanya soal jalan raya akan dibangkitkan di parlimen bagi mendapat respons kerajaan.

"Terlalu banyak rungutan diterima dari rakyat Kelantan khususnya mereka yang bekerja di luar yang ingin balik terutama ketika cuti umum.

"Kesesakan perjalanan yang mereka terpaksa tempuhi, walaupun ini diketahui umum tetapi tidak ada tindakan dari kerajaan pusat," katanya selepas‎ menyerahkan memorandum kepada Kementerian Kerja Raya di Parlimen pagi tadi.
‎
Beliau juga berharap‎ Kerajaan Pusat memberi perhatian serius terhadap masalah tersebut agar kesulitan pengguna jalan raya dapat diatasi sepenuhnya.

Sementara itu, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Limbongan, Drs Zainuddin Awang Hamat menyambut baik usaha kerajaan dalam membangunkan negeri itu.

Namun katanya, kerajaan perlu memandang serius dalam soal menaik taraf jalan-jalan di Kelantan terutamanya menghubungkan bandar-bandar.

"Bila musim perayaan boleh menyebabkan pengguna jalan raya memandu lebih 16 jam.

"Ini merupakan satu situasi yang menyukarkan pengguna, Kerajaan Pusat  perlu beri perhatian dalam perkara ini.

"Melalui memorandum ini terdapat fakta-fakta yang boleh dirujuk kerajaan agar pembangunan atau menaik taraf jalan dilakukan dengan segera," kata beliau.

Memorandum tersebut telah diserahkan oleh Drs Zainuddin kepada Pegawai Khas Menteri, Kementerian Kerja Raya, Reduwan Salleh di lobi Parlimen.‎ 

Sumber: Harakah Daily | 13 November 2014

Selasa, 11 November 2014

Sultan Kelantan mahu kerajaan negeri beri perhatian serius isu alam sekitar dan gesa kerajaan Pusat naik taraf LTSIP

Gambar fail: Sultan Muhammad V
KOTA BHARU: Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V mahu kerajaan negeri mengambil langkah tersusun dan bersepadu bagi menangani isu-isu alam sekitar seperti hakisan dan pencemaran sungai yang kini menjadi isu global dan serius.

Baginda bertitah aktiviti penebangan hutan dan perlombongan tanpa etika boleh memberi kesan serius terhadap kualiti air dan menjejaskan kualiti hidup rakyat di negeri ini.

"Maka tindakan penguatkuasaan oleh semua pihak yang diamanahkan perlu diperkemaskan dan dipertingkatkan," titah baginda pada istiadat penganugerahan gelaran dan darjah kebesaran negeri sempena sambutan Hari Keputeraan Baginda Yang Ke-45 di Istana Balai Besar di sini, hari ini.

Titah ucapan baginda dibacakan Pemangku Raja Dr Tengku Muhammad Fa'iz Petra Ibni Sultan Ismail Petra.

Sebelum itu, 240 individu menerima gelaran kebesaran, darjah kebesaran dan Jaksa Pendamai daripada Pemangku Raja.

Sultan Kelantan juga mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan di atas perancangan untuk mewujudkan Pusat Transformasi Bandar (UTC) di bandar ini yang akan meningkatkan kualiti penyampaian dan perkhidmatan kerajaan.

Baginda sukacita kerana kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan telah mencapai kesepakatan dalam pelaksanaan projek Lebuh Raya Kota Bharu - Kuala Krai.

"Beta menaruh harapan kerjasama dan kesepakatan dapat diteruskan dalam banyak lagi perancangan pembangunan dan prasarana untuk rakyat negeri ini," titah baginda.

Baginda juga menyarankan agar kerajaan Persekutuan memberi pertimbangan sewajarnya dalam menyenaraikan projek-projek pembangunan yang memberi impak besar kepada landskap ekonomi negeri Kelantan.

Projek-projek itu termasuklah menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) menjadi lapangan terbang antarabangsa, rancangan tebatan banjir Sungai Golok, Lebuh Raya Pantai Timur Fasa Ketiga, dan Jambatan Kampung Cina-Pelekbang.

Baginda juga bertitah menggesa kerajaan negeri supaya meneroka bidang-bidang baharu berteknologi tinggi seperti industri teknologi hijau dan bioekonomi.

Pada istiadat itu, Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria mengetuai senarai 630 penerima gelaran kebesaran, darjah kebesaran, bintang, pingat, surat kepujian dan pelantikan Jaksa Pendamai.

Arifin dianugerah Ahli Yang Pertama (Seri Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (SPMK) daripada Sultan Muhammad V yang membawa gelaran Datuk Lela Negara.


Sumber: Bernama | 11 November 2014

Ahad, 9 November 2014

Pencuri motosikal di masjid dibogelkan oleh orang ramai di Bachok

Seorang remaja dibogelkan oleh penduduk kampung selepas cuba mencuri motosikal di Masjid Pauh Lima, Bachok, Kelantan, malam semalam. 
KOTA BHARU: Tindakan seorang pelajar berusia 15 tahun yang cuba mencuri motosikal di salah sebuah masjid di Kampung Pauh Lima, Bachok di sini semalam membawa padah apabila dia dipukul dan dibogelkan oleh orang ramai yang menangkapnya.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 8.15 malam ketika orang ramai sedang menunaikan solat Isyak di masjid tersebut.

Lebih malang, gambar kejadian pelajar itu dibogel dan dimalukan dengan cara yang agak keterlaluan telah dimuat naik di laman sosial seperti Facebook, aplikasi WhatsApp serta WeChat dan kini menjadi ‘viral’ dan hangat diperkatakan.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Rohaimi Md. Isa berkata, remaja berkenaan merupakan seorang pelajar di salah sebuah sekolah di Kota Bharu.

Menurutnya, ketika kejadian remaja tersebut cuba melarikan motosikal milik seorang warga emas berusia 61 tahun yang sedang menunaikan solat Isyak di masjid tersebut.

“Cubaan suspek untuk melarikan motosikal itu gagal apabila dia berjaya ditangkap oleh penduduk yang baru selesai menunaikan solat sebelum dipukul dan dibogelkan.

“Akibatnya, suspek mengalami kecederaan di bahagian atas kepala, lebam di belakang bahu kiri serta calar di bahagian belakang badan, tangan dan kaki,” katanya.

Rohaimi memberitahu, berdasarkan siasatan awal, suspek mengaku terlibat dalam beberapa kes kehilangan motosikal di sekitar Binjai dan Melor.

Katanya, suspek turut mengaku terdapat seorang lagi rakannya turut terlibat yang bagaimanapun telah melarikan diri.

“Suspek menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dan kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A/ 511 Kanun Keseksaan,” ujarnya.

Sumber: Utusan Malaysia | Kelantan | 5 November 2014

Pencuri motosikal dipaksa berjalan itik ke Balai Polis Palekbang

Rakaman video memaparkan suspek dipaksa berjalan itik sambil disaksikan orang ramai yang tersebar di laman sosial Facebook. 
TUMPAT: Seorang remaja dipaksa berjalan itik selama lebih sejam menuju ke balai polis selepas dia dicekup orang ramai ketika dia dan seorang rakannya dikatakan cuba mencuri sebuah motosikal di Kampung Palekbang dekat sini, hari ini.

Remaja berkenaan yang berusia 18 tahun ditangkap penduduk kampung kira-kira pukul 6 pagi. Bagaimanapun rakannya berjaya meloloskan diri.

Sumber memberitahu, kejadian tersebut pada mulanya disedari isteri pemilik kenderaan berkenaan yang terdengar bunyi rantai pengunci motosikal ditarik dengan kuat.

“Suaminya yang turut terjaga dari tidur terus membuka pintu rumah sebelum ternampak kelibat dua lelaki berada dalam garaj rumah mereka sambil memegang alat pemotong keluli.

“Suspek yang terkejut segera melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta yang diletakkan di tepi jalan namun gagal menghidupkan enjin kenderaan tersebut. Mereka kemudian nekad meninggalkan kenderaan tersebut dan cuba melarikan diri,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut sumber itu, salah seorang suspek bagaimanapun berjaya ditangkap tidak lama kemudian hasil bantuan penduduk kampung sebelum dipaksa berjalan itik dengan tangan terikat sehingga tiba di Balai Polis Palekbang, kira-kira pukul 7.20 pagi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Supritendan Zaharudin Rasip mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut dan sedang menjalankan siasatan lanjut.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 511 dan 448 Kanun Keseksaan kerana cubaan mencuri dan menceroboh kediaman.

Sementara itu, rakaman video selama 50 saat yang memaparkan suspek dipaksa berjalan itik sambil disaksikan orang ramai telah tersebar di laman sosial Facebook.

Sumber: Utusan Malaysia | Kelantan | 2 November 2014

Transgender: Mains akan kemuka rayuan ke Mahkamah Persekutuan

SEREMBAN: Majis Agama Islam Negeri Sembilan (Mains) akan memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan membabitkan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992.

Kelmarin, Mahkamah Rayuan mengisytiharkan enakmen itu sebagai tidak sah di sisi Perlembagaan kerana didapati mendiskriminasikan lelaki Islam yang menghidap keadaan dikenali sebagai masalah identiti gender (GID) dari segi perubatan.

Setiausaha Mains, Kamal Amran Kamarudin bagaimanapun berkata, perkara tersebut masih dalam perbincangan dan rayuan akan dibuat dalam masa terdekat.

“Setakat ini, tarikh belum ditetapkan. Apabila sudah bersedia nanti, barulah kita teruskan dengan rayuan. “Kita hargai setiap komen dan cadangan dikemukakan, selain berharap masyarakat Islam akan memberikan sokongan kepada usaha Mains dan kerajaan negeri,” katanya di sini, semalam.

Beliau mengulas gesaan Gabungan Peguam-peguam Ikatan Muslimin Malaysia (iPeguam) yang mahu Mains memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan secepat mungkin.

Pengerusinya, Tuan Muhammad Luttfi Abdul Khalid berkata, rayuan itu penting kerana perkara terbabit melibatkan isu Perlembagaan dan kewibawaan institusi agama Islam di Negeri Sembilan.

“Keputusan ini juga akan menjadi rujukan bagi negeri lain dan juga di Wilayah Persekutuan sendiri, sekiranya kes serupa berulang. Ini kerana pihak berkuasa agama Islam negeri tiada pilihan, melainkan terikat dengan keputusan Mahkamah Rayuan berkenaan,” katanya.

Sumber: Sinar Harian | Nasional | 9 November 2014

Kes transgender: Mahkamah Rayuan didakwa khilaf

SHAH ALAM: Mahkamah Rayuan didakwa khilaf ketika membuat penghakiman yang membenarkan rayuan tiga lelaki Islam berpakaian seperti wanita, semalam.

Presiden Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar (gambar) berkata, keputusan itu tidak sejajar dengan beberapa peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

“Berdasarkan dua penghakiman Mahkamah Persekutuan di atas (kes Sulaiman Takrib dan Titular Roman Catholic Archibishop of Kuala Lumpur), PPMM berpandangan Mahkamah Rayuan telah khilaf di dalam penghakiman semalam.

“Malah ia juga tidak sejajar dengan beberapa peruntukan Perlembagaan Persekutuan seperti Perkara 3 yang meletakkan Islam bukan sekadar agama rasmi tetapi agama bagi Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, Mahkamah Rayuan juga gagal mengambil kira norma masyarakat Melayu Islam yang merupakan teras kepada jati diri kebangsaan.

“Islam dan Melayu merupakan sebahagian daripada struktur asas yang membentuk Perlembagaan Persekutuan. Memusnahkan struktur asas ini akan mengakibatkan jati diri dan kerangka Perlembagaan Persekutuan itu sendiri terpecah.

“Walau apa pun, penghakiman semalam adalah penghakiman yang sah oleh sebuah mahkamah yang kompeten. Ia perlu dihormati sehingga ada keputusan sebaliknya,” katanya.

Sehubungan itu, pihaknya menyeru kerajaan Negeri Sembilan memohon penggantungan perintah yang dikeluarkan Mahkamah Rayuan tersebut.

“PPMM menyeru kerajaan Negeri Sembilan dan pihak-pihak yang dinamakan di dalam prosiding tersebut memohon kebenaran merayu dalam tempoh yang ditetapkan. PPMM juga mendesak sementara menunggu permohonan kebenaran merayu diputuskan Kerajaan Negeri Sembilan memohon penggantungan perintah yang dikeluarkan itu.

“PPMM juga menyeru kerajaan Persekutuan yang merupakan ‘amicus curae’ di dalam prosiding tersebut  bekerjasama dengan kerajaan Negeri Sembilan di dalam rayuan tersebut,” katanya.

Selain itu, PPPM turut menyeru Majlis Agama Islam Negeri di seluruh Malaysia supaya memohon kebenaran mencelah di dalam prosiding rayuan kelak.

“Ini adalah disebabkan Majlis-Majlis Agama Islam adalah penasihat utama dalam hal ehwal agama Islam kepada Sultan atau Raja atau Yang di-Pertuan Besar negeri masing-masing dan Yang di-Pertuan Agong bagi negeri yang tidak mempunyai Raja.

“Keputusan ini juga memberi kesan kepada undang-undang sama yang ada di negeri-negeri lain.  Majlis Agama Islam Negeri-Negeri ini mempunyai kepentingan undang-undang yang jelas di dalam prosiding kerana ia juga akan memberi kesan kepada undang-undang di negeri berkenaan,” katanya.

Mahkamah Rayuan, dalam satu keputusan penting, semalam mengisytiharkan sebagai tidak sah ketetapan Undang-Undang Syariah Negeri Sembilan bahawa lelaki Islam berpakaian seperti wanita adalah perbuatan jenayah.

Panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus, memutuskan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 adalah tidak sah di sisi perlembagaan kerana ia mendiskriminasi lelaki Islam yang menghidapi keadaan dikenali masalah identiti gender (GID) dari segi perubatan.

Sumber: Sinar Harian | Nasional | 8 November 2014