Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Selasa, 30 Oktober 2018

Kilang simen terbesar Malaysia siap Jun depan

KOTA BHARU: Pembinaan kilang simen terbesar di Malaysia yang akan dibina di Chiku 7 di sini, dijangka siap selewat-lewatnya Jun tahun depan.

Exco Perindustrian, Perdagangan, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan Kelantan, Datuk Hanifa Ahmad berkata, pembinaan kilang fasa satu itu melibatkan pelaburan RM2 bilion dari United Kingdom dan China dijangka beroperasi penghujung 2021.

Beliau berkata, apabila siap nanti ia akan menjana kira-kira 1,000 peluang pekerjaan dan menetapkan 50 peratus daripadanya adalah tenaga kerja rakyat tempatan.

“Kilang simen itu nanti akan mampu mengeluarkan 10,000 tan simen sehari (200,000 beg) dan ia bakal jadi kilang simen terbesar di negara ini.

“Kami akan mengadakan mesyuarat pemantauan sekali lagi menjelang Februari tahun depan,” katanya ketika menjawab soalan tambahan dari Amran Arifin (BN- Paloh) yang ingin mengetahui perkembangan mengenai pembinaan kilang simen di Gua Musang.

Difahamkan majlis pecah tanah Tapak Projek Kilang Simen bersepadu itu telah dilaksanakan pada 25 Februari 2015 adalah kerjasama ASN Cement Sdn Bhd dan Majlis Daerah Gua Musang.

Selain itu Hanifa berkata, satu lagi projek pembinaan kilang simen di Gua Musang akan dilaksanakan di tanah milik Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan.
Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 29 Oktober 2018 

Isnin, 29 Oktober 2018

Status LPT 3 belum diputuskan

Baru Bian
KUALA LUMPUR: Pelaksanaan projek Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) bergantung pada kemampuan kewangan kerajaan yang akan dibentangkan Jumaat ini.

Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata, pelaksanaan tersebut tertakluk kepada belanjawan dan keputusan Kabinet serta agensi-agensi di bawah kerajaan Pusat sebelum membuat sebarang keputusan berhubung projek tersebut.

“Buat masa ini kita perlu ikut kepada keadaan kewangan negara memandangkan negara perlu berjimat cermat.

“Kalau keadaan kewangan mengizinkan, kita akan mendahulukan projek yang memberi manfaat kepada rakyat,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Pameran dan Persidangan Jalan Raya Malaysia ke-10 di sini hari ini.

Persidangan yang dihadiri kira-kira 900 peserta daripada 39 buah negara itu diadakan dengan kerjasama Pertubuhan Jalan Sedunia (PIARC).

Yang turut hadir Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Seri Roslan Md. Taha dan Presiden PIARC, Claude Van Rooten. 
 
Sumber: Utusan Online | 29 Oktober 2018

Kerajaan ada kuasa periksa premis disyaki berlaku maksiat

Datuk Mohd Nassuruddin Daud
KOTA BHARU: Kerajaan mempunyai kuasa untuk memeriksa mana-mana premis yang disyaki menjalankan aktiviti maksiat, kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Nassuruddin berkata konsep 'tajassus' atau mengintip dibolehkan kepada mana-mana kerajaan bagi tujuan keselamatan terhadap negara mahupun masyarakat.

"Kita kena faham 'tajassus' yang dilarang oleh Allah SWT itu larangan kepada orang ramai...tak boleh setiap orang (masyarakat) buat kerja mengintip.

"Kerajaan kena ada pengintip...kalau kerajaan tak ada pengintip habislah kerajaan. Bila ada laporan khalwat kita kena ketuk (premis), kita kena pergi (siasat)," katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Darul Naim di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan dikemukakan Mohamad Awang (PAS-Gual Periok) yang mahu tahu pandangan kerajaan berhubung serbuan kerajaan di mana-mana premis yang dilaporkan menjalankan aktiviti maksiat.

Mohd Nassuruddin berkata jika tiada penguatkuasaan untuk memeriksa premis dikhuatiri menjalankan aktiviti tidak bermoral maka ia akan memberi ruang kepada maksiat untuk terus berleluasa.

"Dalam suasana penguat kuasa agama menjalankan pemeriksaan dan serbuan pun kita lihat berlaku pembuangan anak, jadi bagaimana kalau kita nak menggambarkan itu hak mereka dengan Allah," katanya.

Terdahulu, menjawab soalan Mohamad yang mahu tahu tahap keseriusan isu-isu berkaitan ajaran Syiah serta aktiviti Lesbian, Gay, Biseksual dan Gay (LGBT) di Kelantan, Nassuruddin berkata kedua-dua perkara berkenaan masih dalam keadaan terkawal.

"Bagi membendung ajaran Syiah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK) telah menyerbu sebuah premis di Jalan Sri Cemerlang di sini dan menahan sekumpulan pengikut Syiah untuk siasatan pada 30 Ogos lepas,” katanya.

Sementara itu beliau berkata seramai 15 mak nyah telah ditangkap dan didakwa di Mahkamah Syariah pada 2015, tiga kes (2016), lima kes (2017) dan sejak Januari hingga Oktober tahun ini seramai lapan mak nyah telah diperiksa dan didakwa.

Sumber: Bernama | 29 Oktober 2018

Kerajaan Kelantan bentang belanjawan 2019 dengan defisit RM35.07 juta

Datuk Ahmad Yakob
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan hari membentangkan Belanjawan 2019 dengan defisit sebanyak RM35.07 juta, dan perancangan perbelanjaan sebanyak RM1.09 bilion berbanding anggaran hasil negeri sebanyak RM743.21 juta.

Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob ketika membentangkan Belanjawan 2019 bertemakan "Kemakmuran Negeri Kesejahteraan Rakyat" berkata, bagaimanapun defisit berkenaan menurun sebanyak RM6.67 juta atau 16 peratus berbanding 2018.

Beliau berkata defisit belanjawan negeri telah menurun secara konsisten dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini membabitkan RM70.69 juta pada 2015, RM45.61 juta (2016), RM42.65 juta (2017) dan RM41.74 juta (2018).

"Asas kepada penurunan defisit ini adalah pertambahan jumlah kutipan hasil yang disokong oleh urus tadbir yang baik yang diamalkan oleh jentera kerajaan negeri.

"Pengurangan jumlah defisit ini seiring dengan hasrat kerajaan untuk berbelanja secara berhemat dan mengikut keutamaan kerajaan serta dibuat selari dengan pendapatan kerajaan tahun 2019," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2019 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.

Beliau berkata anggaran Perbelanjaan Mengurus pada 2019 dijangka sebanyak RM778.78 juta berbanding RM738.64 juta pada 2018 iaitu meningkat sebanyak RM40.14 atau 5.43 peratus merangkumi Perbelanjaan Tanggungan sebanyak RM42.39 juta dan Perbelanjaan Bekalan sebanyak RM736.39 juta.

Katanya sebanyak RM27.4 juta atau 64.63 peratus daripada Perbelanjaan Tanggungan diperuntukkan untuk membayar hutang kerajaan negeri kepada kerajaan persekutuan.

"Jumlah ini merupakan peningkatan pembayaran sebanyak RM21.4 juta atau 356.67 peratus berbanding RM6 juta pada 2018," katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata anggaran Hasil Negeri yang berjumlah RM743.71 juta dijangka diperolehi melalui Hasil Cukai sebanyak RM207.01 juta, Hasil Bukan Cukai (RM392.6 juta) dan Terimaan Bukan Hasil sebanyak RM144.1 juta.

"Jumlah tersebut menunjukkan berlakunya peningkatan dalam hasil sebanyak RM46.81 juta atau 6.72 peratus berbanding anggaran hasil 2018 sebanyak RM696.9 juta.

"Hasil tanah mengatasi hasil hutan sebagai penyumbang terbesar dengan jumlah RM307.08 juta atau 41.29 peratus daripada keseluruhan hasil, menunjukkan peningkatan sebanyak RM67.12 juta atau 27.97 peratus berbanding anggaran pada 2018 sebanyak RM239.96 juta," katanya.

Beliau berkata Bajet 2019 turut memberi tumpuan bagi menambah baik empat teras merangkumi keberkatan, kemakmuran, kebajikan dan kesejahteraan.

Sementara itu, Ahmad ketika ditemui pemberita di luar dewan selepas membentangkan belanjawan berkenaan berkata, kerajaan negeri yakin kerajaan persekutuan akan membayar sejumlah royalti kepada Kelantan sebagaimana yang dinyatakan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Mesyuarat Jawatankuasa Kewangan Negara sebelum ini.

"Jadi dalam Bajet 2019 ini kita ada masukkan token supaya bila terima royalti… royalti minyak itu kita akan bawa masuk dalam bajetlah. (Jumlah royalti) bergantung kepada banyak mana yang diberi kepada kita.

"Kita sedang berusaha dan mengambil langkah-langkah yang positif untuk rakyat Kelantan berdasarkan hubungan kerajaan (negeri) dengan kerajaan (persekutuan)yang semakin rapat, Insya Allah," katanya.

Sumber: Bernama | 29 Oktober 2018

Ahad, 28 Oktober 2018

AirAsia mulakan semula penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kuantan

KUANTAN: Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia Berhad (AirAsia) kini kembali menyediakan kemudahan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kuantan setelah operasinya dihentikan pada tahun 2008.

Pengurus stesennya M. Hari Tharan berkata penerbangan setiap hari menggunakan pesawat Airbus 320 itu bertujuan memenuhi permintaan yang semakin meningkat ke Pantai Timur.

"Setiap perjalanan boleh membawa 180 penumpang pada satu-satu masa dengan menggunakan pesawat Airbus 320.

"Pada penerbangan pertama hari ini seramai 141 orang telah tiba dari Kuala Lumpur ke Kuantan dan 157 orang lagi berlepas dari Kuantan ke Kuala Lumpur.

"Setiap hari AirAsia menyediakan satu perjalanan dua hala dan kita mungkin akan menambah bilangan penerbangan pada masa akan datang jika permintaan semakin meningkat," katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah di sini hari ini.

Hari Tharan berkata AirAsia kini menjadi pilihan utama orang ramai kerana syarikat tersebut berjaya mengekalkan perkhidmatan berkualiti dan selesa pada harga murah.

"Tambang bagi ke Kuantan adalah serendah RM35 dan ini mungkin menjadi salah satu tarikan utama orang ramai dan pelancong menaiki pesawat AirAsia.

"Kadangkala AirAsia mengadakan promosi istimewa dan harga tiket itu mungkin boleh dibeli dengan lebih murah," katanya.

Sementara itu, Pengurus Malaysia Airports, Md Zulkifli Farid Zakaria berkata perkhidmatan penerbangan AirAsia dari Kuala Lumpur ke Kuantan secara langsung merancakkan kemasukan pelancong ke Pahang.

"Setiap hari lapangan terbang ini menerima ketibaan antara 600 ke 700 penumpang dan ia boleh meningkat kepada 1,000 orang pada waktu puncak.

"Saya percaya perkhidmatan AirAsia ini mampu melonjakkan bilangan ketibaan penumpang terutama dalam kalangan pelancong yang mahu bercuti ke sini," katanya.

Seorang penumpang, Helmi Abdul Jamil, 40, berkata ia merupakan satu pengalaman yang selesa dan lebih cepat apabila datang ke Kuantan dengan menaiki pesawat AirAsia berbanding memandu kenderaan sendiri.

"Selepas ini saya akan memilih AirAsia lagi kerana segalanya mudah dan harga tiket pula murah," katanya.

Sumber: Bernama | 28 Oktober 2018

Sabtu, 27 Oktober 2018

Pelaksanaan pembukaan sempadan 24 jam perlu penelitian menyeluruh

KOTA BHARU: Cadangan melaksanakan pembukaan pintu sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini secara 24 jam perlu penelitian secara menyeluruh terutama dari segi tahap kesediaan dan implikasi yang akan dihadapi, kata Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

"Bagi kita tiada halangan untuk dilaksanakan tetapi semakan perlu dilakukan terlebih dahulu sama ada sempadan dan laluan rasmi Kelantan sudah menepati standard yang memuaskan atau tidak dan kemudahan mencukupi untuk menerima dan mengawal mereka dalam tempoh itu.

Implikasi ke atas aspek perniagaan, sosial dan ekonomi juga perlu diteliti agar situasi menang-menang diperoleh kedua-dua negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pelancaran Larian Ceria Kelantan 
di sini, hari ini yang turut dihadiri timbalannya Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Mohd Amar berkata tempoh pembukaan sempadan sehingga pukul enam petang ketika ini mungkin boleh dipanjangkan sehingga ke pukul 10 berbanding 24 jam dan kerajaan tidak perlu tergesa-gesa dalam hal itu.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam lawatannya ke Thailand minggu lepas dilaporkan sebagai berkata Malaysia dan Thailand bersetuju untuk membuka pintu sempadan 24 jam sehari bagi menggalakkan perdagangan kedua-dua negara.

Dalam perkembangan lain, Mohd Amar berkata tindakan bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bukan sesuatu yang mengejutkan. Dari segi politiik itu hak masing-masing cuma kini beliau perlu berdepan dengan kawan-kawan UMNOnya dan itu lebih berat daripada berdepan dengan kita," katanya.

Sumber: Bernama | 27 Oktober 2018

Barisan Nasional dijenama semula - Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) akan distruktur dan dijenama semula untuk menjadikannya lebih teguh dalam misi memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 dan membentuk kerajaan.

Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata entiti baharu itu akan disertai parti komponen BN sedia ada, rakan-rakan parti dalam pembangkang selain beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Katanya Setiausaha Agung BN yang baharu Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz telah ditugaskan untuk melakukan proses pelaksanaan penjenamaan dan penstrukturan semula BN dalam masa terdekat ini.

“BN harus bangkit…(susulan) kekalahan pada PRU14 dan membuang sikap buruk dahulu seperti ‘menikam belakang’ sesama ahli dalam parti dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Perhimpunan Agung MIC ke-72 yang turut dihadiri Presiden MIC Tan Sri S.A. Vigneswaran.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata BN mahu melihat kewujudan sistem dua parti dalam politik di Malaysia seperti diamalkan di beberapa negara lain. 

Dalam pada itu, Vigneswaran berkata MIC akan terus bersama BN yang kini sedang dalam usaha penjenamaan semula itu.

Sumber: Bernama | 27 Oktober 2018