Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Isnin, 7 April 2014

Pembinaan Pakej 1B projek Lebuh Raya Kota Bharu - Kuala Krai bermula Isnin

KOTA BHARU: Pembinaan projek Lebuh Raya Kota Bharu - Kuala Krai bagi pakej 1B dari Pasir Hor ke Kadok di sini bermula esok, kata Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Negeri Kelantan Datuk Makhtar Mustapha.

Beliau berkata projek sepanjang tujuh kilometer itu dijangka siap dalam tempoh tiga tahun, iaitu pada April 2017.

"Pakej 1B ini akan melibatkan pembinaan enam jambatan, dua persimpangan lampu isyarat dan dua jejambat," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Ketua-Ketua Jabatan Persekutuan Negeri Kelantan di sini, hari ini.

Makhtar berkata bagi pakej seterusnya sedang dalam peringkat penyediaan reka bentuk dan akan dimulakan setelah selesai pembinaan pakej 1B.

Pakej 1B tersebut yang melibatkan kos RM168.5 juta, merupakan pakej pertama daripada tiga pakej pembinaan Lebuh Raya Kota Bharu - Kuala Krai sepanjang 73.5km dengan anggaran kos RM1.8 bilion.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin pada Selasa lepas merasmikan majlis pecah tanah projek lebuh raya itu bagi pakej 1B berkenaan di Tiong di sini.

Sumber: Bernama | 6 April 2014

Ahad, 6 April 2014

Kemasukan pendatang tanpa izin ke Kelantan meningkat

KOTA BHARU: Kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke Kelantan tahun ini semakin meningkat, demikian menurut Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) Negeri.

Komandernya Rusli Karim berkata ini kerana dalam tempoh Januari hingga hari ini, pihaknya berjaya menahan 545 orang PATI berbanding 706 orang pada sepanjang tahun lepas.

"Kalau ikutkan trend memang ada peningkatan kemasukan pendatang tanpa izin kerana ketika operasi 6P Fasa II dilancarkan mereka ini balik ke negara masing-masing.

"Mereka akan kembali semula ke sini untuk bekerja sebab itu kita jangka angka tersebut akan meningkat dan rata-rata yang ditahan adalah warganegara Bangladesh, Myanmar, Thailand, dan Pakistan," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini, Ahad.

Dalam kes terbaharu semalam, Rusli berkata pihaknya berjaya menahan 15 orang pendatang tanpa izin yang kesemuanya warganegara Myanmar berumur antara 11 dan 69 tahun serta merampas tiga kenderaan bernilai RM130,000 di sebuah ladang di Kampung Air Batu, Tanah Merah.

Katanya, kesemua PATI itu ditahan pada pukul 3.45 pagi dan dipercayai untuk dihantar ke Lembah Klang. "Hasil risikan, kesemua mereka ditahan di dalam dua buah kenderaan berasingan di mana terdapat sembilan orang di dalam kereta jenis Honda Stream dan enam lagi berada di dalam kereta Proton Persona.

"Modus operandi sindiket ini adalah menggunakan kenderaan mewah untuk membawa mereka ke Lembah Klang selain bertujuan mengaburi mata pihak berkuasa," katanya.

Beliau berkata siasatan awal mendapati sindiket ini membawa masuk pendatang tanpa izin ke negara ini melalui sempadan Malaysia - Thailand di Kelantan melalui Sungai Golok.

"Mereka masuk ke dalam negara melalui pangkalan haram dan kita percaya sindiket ini mengenakan bayaran sebanyak RM170 sehingga RM270 untuk setiap seorang. "Sindiket tersebut dipercayai menjanjikan perkerjaan terhadap kesemua mereka di kawasan Lembah Klang," katanya.

Rusli berkata kesemua 15 pendatang asing itu akan dihantar ke Depoh Tahanan Imigresen Tanah Merah untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki Malaysia tanpa pas sah.

Sumber: Bernama | 6 April 2014

Umno Kelantan akan bawa isu hukum hudud Kelantan ke Mesyuarat MT Umno

JELI: Badan Perhubungan Umno Kelantan akan membangkitkan hasrat kerajaan PAS negeri melaksanakan hukum hudud pada Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno, kata Pengerusinya Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata perkara itu perlu dibincangkan oleh MT Umno sebelum kerajaan negeri Kelantan membentangkan rang undang-undang persendirian berkaitan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) Kelantan 1993 di Parlimen.

Beliau berkata rancangan kerajaan Kelantan itu memerlukan persediaan rapi termasuk penyelidikan dan pendidikan dakwah berkaitan penguatkuasaan hukum hudud tersebut.

"Tidak ada masalah...sebagai orang Islam, kita wajib sokong undang-undang Islam," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-15 Badan Ihsan Anggota Pendidik Kelantan di Sekolah Menengah Kebangsaan Jeli di sini, hari ini.

Mustapa, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata demikian ketika diminta mengulas keyakinan kerajaan negeri melaksanakan hukum hudud pada awal tahun depan sekiranya Parlimen meluluskan pelaksanaan hukuman berkenaan.

Sumber: Bernama | 6 April 2014

Ramai muflis angkara orang lain

Sohaimi (empat, kanan) mendengar penjelasan yang diberikan peserta taklimat mengenai situasi dihadapi mereka sehingga membawa kepada pengisytiharan muflis, semalam. 
KOTA BHARU: Individu lingkungan 35 hingga 45 tahun dikenal pasti antara paling ramai diisytiharkan muflis oleh Jabatan Insolvensi Malaysia, walaupun kebanyakannya bukan atas kesilapan sendiri.

Perkara itu didedahkan Pengerusi Sekretariat Bebas Muflis, Datuk Sohaimi Shahadan selepas merasmikan Taklimat Bebas Muflis di Kompleks Kraftangan, di sini, semalam.

Sohaimi berkata, lebih 3,000 individu muflis di seluruh negara berdaftar di bawah sekretariat itu dan 38 peratus daripadanya dalam lingkungan usia tersebut.

“Hasil kajian dijalankan sekretariat ini mendapati kebanyakan diisytiharkan muflis adalah penjamin dalam pembelian kereta,” katanya.

Mengulas siri jelajah oleh sekretariat tersebut, Sohaimi berkata, Kelantan merupakan lokasi kelima dan beliau menerima input berbeza daripada setiap program yang dianjurkan di setiap negeri.

Sambil mencadangkan agar penambahbaikan dilakukan, Sohaimi berkata, sudah tiba masanya khidmat guaman percuma disediakan Jabatan Insolvensi untuk membawa keluar individu muflis kerana kos guaman yang  terpaksa ditanggung sebelum ini membebankan.

Menurutnya, pangkalan data untuk individu bankrap juga perlu diwujudkan agar mereka yang membuat bayaran dengan baik dalam lima tahun tidak perlu membuat laporan khusus bagi mengesahkan kebebasan mereka, sebaliknya maklumat itu boleh diketahui secara automatik.

“Bagaimanapun, saya minta mereka yang diisytiharkan muflis supaya berani hadapi situasi sebenar dan rujuklah Jabatan Insolvensi kerana banyak kebaikan dan keistimewaan akan diperoleh, sekaligus membantu mereka meneruskan kehidupan,” katanya.

Sumber: Sinar Harian | Nasional | 6 April 2014

Kelantan sedia beri penerangan isu hudud

Laporan Sinar Harian semalam.
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan sedia memberi penerangan kepada semua pihak berhubung pelaksanaan hudud di negeri ini.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, sudah tiba masanya hukuman hudud yang bakal dilaksanakan di negeri ini diperjelaskan bagi mengelakkan berlaku kekeliruan dan menimbulkan polemik sehingga menakutkan pelbagai pihak.

“Dalam masa enam bulan ini, kita sudah bersedia menjelaskan isu ini, tidak kira kepada sesiapa pun sama ada umat Islam atau bukan Islam.

“Dengan penerangan itu nanti, diharap dapat memberi pendedahan sebenar mengenai hukuman ini yang merupakan undang-undang Islam dan diperintahkan ALLAH SWT untuk dilaksanakan demi kebaikan bersama,” katanya pada sidang media di pekarangan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini.

Terdahulu, Ahmad menziarahi mangsa kebakaran dalam insiden di Dataran Shell, Gua Musang, Rabu lalu yang dirawat di hospital berkenaan.

Beliau turut bertemu dengan keluarga mangsa terbabit dan menyampaikan sumbangan.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai permohonan pimpinan DAP bagi mendapatkan penjelasan berhubung isu itu, Ahmad berkata, setakat ini belum menerima sebarang permohonan.

“Kita sudah sedia sepenuhnya dan dalam sedikit masa lagi, insya-ALLAH dengan keyakinan bersama, kita dapat laksanakan undang-undang jenayah syariah ini di Kelantan.

“Kita juga akan usulkan perkara ini ke Parlimen dan marilah kita sama-sama berdoa kepada ALLAH SWT. Diharap perbincangan ini dipermudahkan," katanya.

Semalam, Sinar Harian melaporkan kerajaan Kelantan akan melaksanakan hudud mengikut pendekatan secara terbuka, yang mana golongan bukan Islam juga boleh mengikut pelaksanaan tersebut.

Timbalan Menteri Besar Kelantan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Hudud, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, dari segi pelaksanaan, Kelantan tidak meniru mana-mana negara luar dan akan melaksanakan undang-undang itu berlandaskan lunas Islam sebenar.

Sumber: Sinar Harian | Nasional | 6 April 2014

Sabtu, 5 April 2014

Universiti Malaysia Kelantan tubuh syarikat produksi Monsun

Abu Hassan Hasbullah (dua dari kanan) bercerita mengenai penubuhan Monsun.
KUALA LUMPUR: Buat pertama kalinya, Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menubuhkan sebuah syarikat produksi bagi tujuan mengembangkan bakat keusahawanan pelajar di bidang kreatif industri perfileman tempatan.

Menurut Dekan FTKW, Prof. Dr. Abu Hassan Hasbullah, syarikat yang diberi nama Monsun Produksi itu akan memberi peluang kepada pelajar untuk menimba pengalaman dan merasai pekerjaan sebenar dunia kreatif perfileman.

"Sudah tiba masanya pelajar-pelajar ini menimba ilmu secara praktikal. "Pihak kami mahu mereka bekerja setaraf penggiat filem profesional sekali gus mampu memasarkan produk mereka," katanya.

Abu Hassan ditemui pada pelancaran Monsun Produksi di Perbadanan Kemajuan Filem Negara (Finas) di sini pada Jumaat.

Majlis pelancaran itu turut dihadiri Naib Canselor UMK, Prof. Datuk Dr. Raduan Che Rose dan Ketua Pengarah Finas, Raja Rozaimie Raja Dalnish Shah.

Tambah Abu Hassan, menerusi Monsun Produksi, pelajar-pelajarnya kini sedang menyiapkan sebanyak tiga buah filem berjudul Guruh, Kemarau dan Monsun termasuklah penubuhan sebuah kumpulan muzik bernama Monsun.

"Penghasilan empat produk ini menunjukkan pelajar-pelajar ini setaraf dengan penerbitan-penerbitan filem komersial tempatan.

"Selain itu, pencapaian ini juga sebagai bidang ilmu buat para pelajar meliputi produksi filem,muzik, animasi dan media interaktif," ujarnya.

Sumber: mStar Online | 5 April 2014

Wanita New Zealand pecah rekod dunia tangkap ikan tuna seberat 411kg dengan nilai lelongan AS$2 juta

Donna Pascoe, 56, bersama ikan tuna seberat 411.6kg yang berjaya ditangkapnya.
CAPE REINGA (New Zealand): Menurut nilai lelongan semasa, seekor ikan tuna sirip biru dengan berat melebihi 400kg boleh dijual di pasaran lelong sehingga AS$2 juta, juga cukup untuk dibuat 2,875 keping sandwich atau 1,769 tin tuna.
Malangnya, wanita yang berjaya mengalahkan ikan tuna gergasi itu, Donna Pascoe, (ketika sedang memancing di laut dalam berhampiran Pulau Tiga Raja di New Zealand) tidak dapat menjual hasil tangkapannya itu kerana undang-undang ketat New Zealand sepertimana juga Australia tidak membenarkan ikan yang ditangkap di luar bot nelayan komersil dijual beli dalam apa cara sekali pun.
Ia adalah untuk kegunaan sendiri sahaja iaitu untuk dimakan atau 'disedekahkan' percuma kepada sesiapa asalkan tidak diambil keuntungan daripada tangkapan tersebut.
Oleh yang demikian, Donna berhasrat untuk mengawet tangkapannya itu dan digantung di dinding rumahnya nanti.
Selepas empat jam 11 minit berhempas pulas, ikan tuna berjaya dinaikkan ke dalam bot.
Menurut portal berita Mail Online yang melaporkan peristiwa bersejarah itu, Donna yang gemar menceburi sukan memancing terpaksa bertarung selama lebih empat jam sebelum dapat menaikkan ikan tuna sirip biru pasifik itu yang seberat 411.6kg.
Tangkapan itu kini dipercayai memecah rekod dunia sebagai ikan tuna paling besar dan berat yang pernah ditangkap menggunakan kail dan tali tangsi seberat 60lb. Rekod sebelum ini disandang oleh ikan seberat 335kg.
Tahun lalu ikan tuna dari spesies yang sama seberat 200kg telah dijual di pasaran lelong di Jepun pada harga AS$1.09 juta.
"Saat tali tangsi saya bergerak dengan begitu laju sekali ia seolah-olah tersangkut pada gerabak kereta api," kata Donna, yang berasal dari Auckland, New Zealand.
Ikan ini tersangat degil tetapi saya lebih degil daripadanya - Donna
Tanpa menyedari yang umpannya dibaham tuna gergasi, Donna dan empat rakan memancingnya yang lain bersilih ganti cuba menjinakkan ikan tersebut dan akhirnya mereka berjaya menaikkannya ke atas bot selepas empat jam bertarung separuh nyawa kerana ia terlalu besar dan berat.
Apabila dinaikkan dan kemudian disukat, mereka terkejut mendapati ikan itu adalah sepanjang 8 kaki 9 inci.
"Ikan ini tersangat degil tetapi saya lebih degil daripadanya dan tidak mengalah sama sekali," kata Donna.
Yang meletihkan Donna dan rakan-rakannya ialah angin ketika itu bertiup kencang iaitu sehingga 36 knots dan ombak kuat mula membadai bahagian belakang bot.
Dan mereka juga bergelut untuk segera menaikkannya ke atas bot kerana khuatir jerung akan terlebih dahulu membaham ikan tuna tersebut yang sudah pun keletihan dan mengalah.
Pengerusi Persatuan Peraih Ikan United Kingdom, Alistair Blair berkata: 'Nilai jualan borong ikan tuna sirip biru dengan saiz yang ditangkap oleh Donna itu boleh mencecah dari AS$8,300 sehingga AS$16,500 iaitu empat kali ganda nilai ikan tuna biasa.
Nilai runcit pula adalah jauh lebih tinggi iaitu boleh mencapai AS$83,000 atau lebih. Tetapi selepas itu, sebaik sahaja ikan tuna yang dibekukan ini memasuki pasaran lelongan, ia boleh mencecah AS$1 juta untuk spesies tuna sirip biru seberat lebih 200kg kerana ia paling digemari dan menjadi pilihan ramai di Jepun.
Jepun adalah negara pengguna ikan tuna terbesar dunia. "Ia adalah ikan yang sama nilai dengan lukisan Picasso," kata Blair. 
Ikan tuna sirip biru adalah spesies tuna terbesar dunia dan boleh hidup sehingga 40 tahun dan membesar sehingga saiz sebuah lori tiga tan. Ia boleh menyelam sehingga 4,000 kaki dan antara ikan gergasi yang paling pantas berenang.
Sumber: mStar Online | 5 April 2014