Donna Pascoe, 56, bersama ikan tuna seberat 411.6kg yang berjaya ditangkapnya. |
CAPE REINGA (New Zealand): Menurut nilai lelongan semasa, seekor ikan tuna sirip biru dengan berat melebihi 400kg boleh dijual di pasaran lelong sehingga AS$2 juta, juga cukup untuk dibuat 2,875 keping sandwich atau 1,769 tin tuna.
Malangnya, wanita yang berjaya mengalahkan ikan tuna gergasi itu, Donna Pascoe, (ketika sedang memancing di laut dalam berhampiran Pulau Tiga Raja di New Zealand) tidak dapat menjual hasil tangkapannya itu kerana undang-undang ketat New Zealand sepertimana juga Australia tidak membenarkan ikan yang ditangkap di luar bot nelayan komersil dijual beli dalam apa cara sekali pun.
Ia adalah untuk kegunaan sendiri sahaja iaitu untuk dimakan atau 'disedekahkan' percuma kepada sesiapa asalkan tidak diambil keuntungan daripada tangkapan tersebut.
Oleh yang demikian, Donna berhasrat untuk mengawet tangkapannya itu dan digantung di dinding rumahnya nanti.
Selepas empat jam 11 minit berhempas pulas, ikan tuna berjaya dinaikkan ke dalam bot. |
Menurut portal berita Mail Online yang melaporkan peristiwa bersejarah itu, Donna yang gemar menceburi sukan memancing terpaksa bertarung selama lebih empat jam sebelum dapat menaikkan ikan tuna sirip biru pasifik itu yang seberat 411.6kg.
Tangkapan itu kini dipercayai memecah rekod dunia sebagai ikan tuna paling besar dan berat yang pernah ditangkap menggunakan kail dan tali tangsi seberat 60lb. Rekod sebelum ini disandang oleh ikan seberat 335kg.
Tahun lalu ikan tuna dari spesies yang sama seberat 200kg telah dijual di pasaran lelong di Jepun pada harga AS$1.09 juta.
"Saat tali tangsi saya bergerak dengan begitu laju sekali ia seolah-olah tersangkut pada gerabak kereta api," kata Donna, yang berasal dari Auckland, New Zealand.
Ikan ini tersangat degil tetapi saya lebih degil daripadanya - Donna |
Tanpa menyedari yang umpannya dibaham tuna gergasi, Donna dan empat rakan memancingnya yang lain bersilih ganti cuba menjinakkan ikan tersebut dan akhirnya mereka berjaya menaikkannya ke atas bot selepas empat jam bertarung separuh nyawa kerana ia terlalu besar dan berat.
Apabila dinaikkan dan kemudian disukat, mereka terkejut mendapati ikan itu adalah sepanjang 8 kaki 9 inci.
"Ikan ini tersangat degil tetapi saya lebih degil daripadanya dan tidak mengalah sama sekali," kata Donna.
Yang meletihkan Donna dan rakan-rakannya ialah angin ketika itu bertiup kencang iaitu sehingga 36 knots dan ombak kuat mula membadai bahagian belakang bot.
Dan mereka juga bergelut untuk segera menaikkannya ke atas bot kerana khuatir jerung akan terlebih dahulu membaham ikan tuna tersebut yang sudah pun keletihan dan mengalah.
Pengerusi Persatuan Peraih Ikan United Kingdom, Alistair Blair berkata: 'Nilai jualan borong ikan tuna sirip biru dengan saiz yang ditangkap oleh Donna itu boleh mencecah dari AS$8,300 sehingga AS$16,500 iaitu empat kali ganda nilai ikan tuna biasa.
Nilai runcit pula adalah jauh lebih tinggi iaitu boleh mencapai AS$83,000 atau lebih. Tetapi selepas itu, sebaik sahaja ikan tuna yang dibekukan ini memasuki pasaran lelongan, ia boleh mencecah AS$1 juta untuk spesies tuna sirip biru seberat lebih 200kg kerana ia paling digemari dan menjadi pilihan ramai di Jepun.
Jepun adalah negara pengguna ikan tuna terbesar dunia. "Ia adalah ikan yang sama nilai dengan lukisan Picasso," kata Blair.
Ikan tuna sirip biru adalah spesies tuna terbesar dunia dan boleh hidup sehingga 40 tahun dan membesar sehingga saiz sebuah lori tiga tan. Ia boleh menyelam sehingga 4,000 kaki dan antara ikan gergasi yang paling pantas berenang.
Sumber: mStar Online | 5 April 2014
Tiada ulasan:
Catat Ulasan