Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 2 Julai 2014

Jom Jelajah Koperasi perkenal produk pelancongan Kelantan

KOTA BHARU: Jom Jelajah Koperasi Kelantan yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia mampu melonjakkan ekonomi sektor pelancongan koperasi di negeri itu.

Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Datuk Nik Ali Mat Yunus berkata, program yang bermula pada 25 hingga 28 Jun itu diadakan untuk mempromosikan produk serta pakej pelancongan yang ditawarkan di negeri itu.

"Kelantan mempunyai potensi, keunikan dan nilai budaya yang mampu melonjakkan sektor tersebut. "Sektor pelancongan koperasi mampu berkembang pesat sekiranya diuruskan secara profesional selain promosi berterusan bagi memperkenalkan produk pelancongan yang ditawarkan.

"Bagi tahun-tahun seterusnya berpandukan visi, misi dan hala tuju kerajaan negeri, kita akan berusaha melaksanakan pelbagai program serta aktiviti seni budaya dalam mempromosikan lagi pelancongan, kesenian dan kebudayaan negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian program 'Ihya Ramadhan' Jom Jelajah Koperasi negeri Kelantan 2014 di Hotel Koperasi Majlis Guru Ugama Menengah Kelantan Berhad, dekat sini kelmarin.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pengerusi-pengerusi Koperasi negeri, Prof. Madya Dr. Mohamed Saat Ismail.

Nik Ali berkata, program yang dianjurkan dengan kerjasama majalah Gaya Travel itu turut membawa 30 pengamal media dari Australia, Indonesia, Singapura, Filipina dan Malaysia yang diberi peluang merasai pengalaman melancong di negeri itu.

"Mereka juga terlibat dengan aktiviti masyarakat setempat seperti mencanting batik, bergotong-royong membersihkan masjid dan merasai pengalaman membeli barangan keperluan harian di pasar Siti Khadijah," ujarnya.

Selain itu, tambah beliau, koperasi juga perlu bergerak relevan dengan keadaan semasa dan antara transformasi yang boleh dilakukan adalah dengan memasarkan produk dan perkhidmatan melalui aplikasi atas talian.

Mengenai penglibatan koperasi dalam aktiviti pelancongan, Nik Ali berkata, sehingga akhir tahun lalu, sebanyak 153 koperasi di seluruh negara terlibat secara aktif sebagai ejen pelancongan, pemilikan hotel bajet, pengeluaran produk pelancongan dan kraf tangan selain penyediaan pengangkutan, restoran serta pengurusan jeti.

Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 30 Jun 2014 | Terbitan 1 Jul. 2014

Pemberi dan peminta sedekah di ibu negara bakal berdepan hukuman - Menteri Wilayah Persekutuan

PUTRAJAYA: Pemberi dan peminta sedekah bakal berdepan hukuman seperti denda apabila undang-undang berkaitan kegiatan mengemis di ibu negara diperketat, kata Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Beliau berkata langkah itu akan dilaksana di beberapa tempat tumpuan bagi mengurangkan budaya meminta sedekah yang mencemar imej ibu negara.

Tengku Adnan berkata keputusan itu diambil selepas pihaknya bermesyuarat dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan beberapa agensi berkaitan baru-baru ini yang antara lain, membincangkan masalah kebersihan serta isu gelandangan.

"Kita akan ambil satu kaedah di mana yang pemberi kita akan saman dan penerima pula akan kita 'angkut' kerana kebanyakan peminta sedekah ini adalah orang asing.

"Selain itu, badan bukan kerajaan yang memberi makanan secara percuma kepada gelandangan juga akan ditetapkan tempatnya dan tidak boleh merata-rata tempat kerana ini akan mengundang kekotoran," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Nur Ramadan peringkat Putrajaya malam ini.

Terdahulu, dalam ucapannya, Tengku Adnan berkata kementerian itu dan agensi di bawahnya akan mengadakan majlis berbuka puasa di semua 13 kawasan Parlimen Wilayah Persekutuan agar dapat mendengar permasalan rakyat dan lokasi pertama ialah Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada 780 penerima antaranya anak yatim, fakir miskin dan orang kelainan upaya.

Sumber: mStar Online | 1 Jul. 2014

Kenyataan Kassim Ahmad kufur dan murtad - Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu

KUALA TERENGGANU: Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu sebulat suara memutuskan bahawa kenyataan bekas aktivis politik dan sosial Kassim Ahmad (gambar) pada satu seminar Februari lalu sebagai pemikiran yang kufur dan murtad.

Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Islam Terengganu, Datuk Mohd Rozali Salleh berkata keputusan itu dicapai dalam satu mesyuarat khas kali pertama jawatankuasa itu yang bersidang pada 9 Mac lalu.

'Seminar Pemikiran Kassim Ahmad: Suatu Penilaian' itu berlangsung di Putrajaya. Mohd Rozali berkata, "Fahaman atau golongan tersebut adalah sesat, menyeleweng dan menjadi ancaman kepada ketenteraman awam serta merosakkan akidah mereka.

"Berdasarkan kepada ucapan yang telah disampaikan oleh Kassim Ahmad, terdapat unsur penyelewengan antaranya mempertikaikan syahadah yang kedua, mengingkari dan mempertikaikan hadis sebagai sumber hukum, mempertikaikan hukum rambut perempuan sebagai aurat, hukum selawat dan membenarkan jenayah murtad berlaku dalam masyarakat," katanya dalam sidang media pada Selasa.

Sehubungan itu, jawatankuasa fatwa turut memutuskan apa jua fahaman yang berunsurkan penolakan hadis ini perlu disekat dari berkembang.

Mohd Rozali berkata sebarang penerbitan, penyiaran dan penyebaran apa-apa buku, risalah, filem, video dan apa sahaja berhubung fahaman ini adalah diharamkan dan orang Islam dilarang memiliki, menyimpan mencetak, menjual atau mengedarkan semua bahan terbabit.

"Mana-mana orang Islam sama ada secara individu atau berkumpulan yang mengikuti fahaman antihadis ini dengan berselindung di sebalik aktiviti ekonomi, perniagaan, pendidikan, kesenian dan sebagainya yang mempunyai unsur persefahaman anti hadis ini adalah dianggap mengamalkan fahaman yang bercanggah dengan syariat.

"Oleh yang demikian, orang ramai di negeri ini hendaklah menghindarkan diri daripada terlibat dengan fahaman golongan tersebut," katanya.

Mesyuarat jawatankuasa itu juga bersetuju supaya keputusan berhubung fahaman antihadis ini diwartakan untuk dijadikan fatwa yang mengikat bagi membolehkan tindakan diambil terhadap kesalahan yang terbabit, katanya.

Sumber: mStar Online | 1 Jul. 2014

Selasa, 1 Julai 2014

Daftarlah anak OKU di JKM untuk dibantu

KUALA LUMPUR: Langkah mendaftarkan anak Orang Kurang Upaya (OKU) dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan membuka pintu kepada pelbagai peluang bantuan dan sokongan bagi ibu bapa dan penjaga dalam menguruskan anak istimewa mereka.
  
Ibu bapa dan penjaga juga perlu sedar mereka sebenarnya tidak mempunyai hak untuk mengurung anak OKU secara berterusan seperti yang dilaporkan berlaku baru-baru ini.
  
Presiden Persatuan Orang Kurang Upaya Anggota Melayu Malaysia Suhairi Abdullah berkata menerusi pendaftaran itu, pegawai JKM boleh memberi panduan menguruskan anak OKU dengan cara yang betul.
  
Jelasnya, ia turut membuka peluang untuk mendapatkan bantuan seperti peruntukan bulanan, khidmat kaunseling dan khidmat jagaan bagi ibu bapa yang tidak berkemampuan bagi memastikan kebajikan anak OKU terjamin.
  
"Yang paling penting sekarang ini sesiapa yang ada anak OKU, daftarlah dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebab mereka akan mendapat macam-macam kemudahan," katanya kepada Bernama.

Pegawai JKM juga mampu memberi kaunseling kepada ibu bapa yang menghadapi tekanan dalam menjaga anak OKU, katanya.
  
Suhairi menegaskan tindakan mengurung anak OKU secara berterusan atas alasan keselamatan atau kesempitan wang adalah menyalahi undang-undang dan hak asasi manusia.
  
"Tindakan ini mungkin dianggap betul tetapi sebenarnya tidak betul. Ibu bapa dan penjaga tidak ada hak mengurung OKU ini secara berterusan. Kalau kurung buat sementara untuk tujuan keselamatan tidak ada masalah," katanya sambil menambah doktor boleh memberi nasihat dan rawatan bagi OKU yang agresif.
  
Pada 21 Jun lepas, negara digemparkan dengan penemuan seorang remaja lelaki OKU, Muhammad Firdaus Dullah (gambar), 15 tahun yang ditemui terabai dalam keadaan fizikalnya kurus kering dengan kesan najis dan air kencing dalam bilik di sebuah rumah flat di Nilai, Negeri Sembilan.
  
Ini disusuli penemuan seorang wanita OKU, Nasitah Yahya, 44, pada 27 Jun lepas yang dikatakan dikurung di bawah sebuah rumah di Tumpat, Kelantan, sejak lebih 10 tahun, sebelum diselamatkan polis dan JKM Kelantan.

Mengulas kedua-dua kes berkenaan, Presiden Muscleteer Malaysia Mohd Fadzli Fadhilah berkata tekanan akibat kesempitan hidup bukan alasan untuk ibu bapa mengabaikan anak OKU.
  
Katanya, pengabaian daripada segi mengurung anak atau individu OKU tanpa makanan dan minuman bagi tempoh yang panjang boleh memberi kesan negatif terhadap perkembangan fizikal, emosi dan mental.
  
Muscleteer Malaysia ialah sebuah kumpulan sokongan untuk pesakit distrofi otot dan 'amyotrophic lateral sclerosis', penyakit yang dihidapi Mohd Fadzli sendiri.
  
Beliau turut menyarankan ibu bapa meminta pertolongan persatuan penduduk atau wakil rakyat di kawasan masing-masing sebagai orang tengah untuk memudahkan urusan sekiranya tidak tahu prosedur mendaftarkan anak OKU di JKM.
  
Selain itu, beliau mahu masyarakat bersikap lebih prihatin dengan membuat laporan kepada pihak berwajib sekiranya disyaki berlaku kes pengabaian OKU di kejiranan mereka.

Dalam pada itu, Pakar Perunding Psikiatri Universiti Malaya (UM) Dr Muhammad Muhsin Ahmad Zahari berkata ibu bapa khususnya ibu tunggal yang merasa tertekan membesarkan anak OKU tidak digalakkan memendam perasaan kerana ia boleh menjurus kepada gangguan emosi yang serius.
  
Sebaliknya, mereka harus meluahkan masalah atau tekanan kepada individu yang boleh dipercayai seperti kawan rapat untuk mengurangkan beban perasaan yang ditanggung.
  
"Kaunselor JKM perlu diberi lebih latihan dalam bidang kaunseling keluarga supaya setiap isu kekeluargaan dapat ditangani dengan lebih fokus dan sistematik," kata Dr Muhammad Muhsin.
  
Menurutnya, JKM perlu lebih proaktif dengan menambah baik mutu perkhidmatan dari semasa ke semasa untuk membantu meringankan beban ibu bapa yang mengurus dan membesarkan anak OKU.
  
Beliau mengakui kadang-kadang ibu bapa berkenaan tidak pun berniat untuk mengabaikan anak OKU tetapi ia mungkin berlaku atas faktor kekurangan pengetahuan mengenai prosedur yang perlu diambil untuk mendapatkan bantuan.
  
Dalam soal ini, beliau meminta supaya sebarang peraturan yang dilihat "merumitkan" atau karenah birokrasi yang mungkin wujud, perlu segera diatasi JKM.

Sumber: Bernama | 1 Jul. 2014

Singapura naikkan caj masuk kenderaan asing mulai 1 Ogos

Kenderaan beratur memasuki Kompleks Pemeriksaan Kastam dan Imigresen (CIQ) Johor Bahru untuk ke republik itu.
SINGAPURA: Bermula 1 Ogos, bayaran Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) bagi kenderaan asing berdaftar ke republik ini akan dinaikkan dari S$20 kepada S$35 sehari, demikian menurut Lembaga Pengangkutan Darat (LTA).
 
Dalam kenyataan di sini, LTA juga memaklumkan kenaikan bayaran VEP bagi Permit Kenderaan Barangan (GVP) untuk kenderaan asing berdaftar juga akan dinaikkan kepada S$40 berbanding S$10 sebulan. Kenaikkan itu, bagaimanapun dikecualikan terhadap bas atau teksi.

Menurut LTA, waktu dikenakan VEP mengikut jam kekal iaitu dari 2 pagi hingga 12 tengah hari pada hari bekerja semasa Jun dan Disember, cuti sekolah di Singapura dan dari 2 pagi hingga 5 petang pada hari bekerja selain dua tempoh cuti sekolah berkenaan.


Bayaran VEP bagi motosikal asing berdaftar kekal pada S$4 setiap hari.
Semua kenderaan asing berdaftar dan motosikal akan terus menikmati waktu bebas VEP iaitu pada Sabtu, Ahad dan cuti umum di Singapura, hari bekerja biasa dan antara 5 petang hingga 2 pagi pada hari lain (waktu VEP ini dilanjut untuk bermula pada 12 tengah hari dan bukan pada 5 petang semasa cuti sekolah pada Jun dan Disember di Singapura).

Lembaga itu memaklumkan kenderaan asing berdaftar boleh meneruskan pembelian GVP dengan harga semasa iaitu S$10, mulai Julai 2014.
Bagaimanapun, bagi GVP yang tamat tempohnya selepas Julai 2014 akan dikenakan bayaran S$40 sebulan.

Maklumat lanjut berhubung caj baharu VEP dan GVP untuk kenderaan asing berdaftar boleh diperoleh di pusat pemeriksaan Woodlands dan Tuas.

 
Pengguna juga boleh melayari www.lta.gov.sg; klik 'Roads & Motoring' dan ; 'Driving In and Out of Singapore' atau menghubungi LTA di 1800-2255 582 (1800-CALL LTA) jika di Singapura atau 65-62255 582, jika membuat panggilan dari negara lain.

Sumber: mStar Online | 1 Jul. 2014

Kes pukau tertinggi sepanjang Ramadan di Jakarta Raya - Polis Indonesia

Pukau rokok antara kaedah untuk memastikan mangsa menyerahkan barangan dan wang kepada penjenayah.

JAKARTA: Polis Metropolitan Jakarta Raya mendapati kejadian rompakan menggunakan cara pukau adalah kes jenayah paling tinggi berlaku ketika Ramadan.

Peningkatan kadar jenayah itu didorong kerana keperluan harian yang mendesak pada bulan puasa. Sehubungan itu, pihak keselamatan terbabit mengingatkan masyarakat supaya lebih berwaspada dalan menjalani kegiatan harian.

Seperti yang berlaku pada tahun sebelumnya, jenayah yang berlaku pada Ramadan terjadi dengan pelbagai modus operandi.

"Berhati-hati dan tidak menjadikan diri mangsa dengan tidak memakai barang kemas atau membawa barangan berharga ketika berada tempat awam," katanya jurucakap polis itu.

Melalui data yang diperoleh, katanya, pukau antara jenayah paling tinggi berlaku ketika Ramadan dan ia biasanya terjadi kepada pengguna pengangkutan awam.


Sumber: mStar Online | 1 Jul. 2014

Buntu mahu dapatkan RM6,900 untuk pembedahan suami

Siti Juriah disamping suaminya yang dirawat di Hospital Kuala Krai, petang semalam.
KUALA KRAI: Hanya satu yang diharapkan Siti Juriah Yusuf, 23, sebaik menerima berita suaminya jatuh pokok ketika mengambil madu, 26 Jun lalu.

"Saya hanya mahukan suami, Muhammad Zailani Shafian, 27, segera pulih dan kembali menjalani kehidupan seperti biasa," katanya sayu.

Kejadian itu menyebabkan Muhammad Zailani kini hanya mampu terlantar, malah kaki kirinya juga tidak dapat digerakkan.

Dia semakin buntu apabila doktor memaklumkan suaminya perlu dibedah segera dengan kos rawatan berjumlah RM6,900.

Siti Juriah yang juga suri rumah berkata, kos rawatan itu amat besar baginya untuk membolehkan suaminya dibedah, Khamis ini.

"Suami bekerja kampung dengan pendapatan tidak seberapa menyebabkan kami tidak boleh menabung. Wang yang ada hanya cukup untuk keperluan makan minum kami empat beranak.

"Kebarangkalian suami untuk pulih adalah tinggi sekiranya segera dibedah," kata ibu dua anak berusia 4 dan 5 tahun ini, dan sedang hamil anak ketiga ketika ditemui di Hospital Kuala Krai, semalam.

Menurutnya, dia bingung memikirkan cara mendapatkan wang kerana masa terlalu singkat. “Suami ditimpa kemalangan minggu lalu, beberapa hari sebelum puasa, jadi dia tidak dapat bekerja dan kami tidak mempunyai wang, apatah lagi dalam jumlah banyak. Saya pula tidak bekerja.

“Saya berharap sangat suami dapat dibedah agar dia kembali sihat dan boleh mencari rezeki buat kami sekeluarga," katanya yang kini menetap bersama ibunya di Limau Kasturi, Gua Musang.

Individu yang mahu membantu boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Islam (03063020207213 - Siti Juriah Yusuf).

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 1 Jul. 2014