KOTA BHARU: Jom Jelajah Koperasi Kelantan yang dianjurkan
oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia mampu melonjakkan ekonomi sektor
pelancongan koperasi di negeri itu.
Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Datuk Nik
Ali Mat Yunus berkata, program yang bermula pada 25 hingga 28 Jun itu
diadakan untuk mempromosikan produk serta pakej pelancongan yang
ditawarkan di negeri itu.
"Kelantan mempunyai potensi, keunikan dan nilai budaya yang mampu melonjakkan sektor tersebut. "Sektor pelancongan koperasi mampu berkembang pesat sekiranya
diuruskan secara profesional selain promosi berterusan bagi
memperkenalkan produk pelancongan yang ditawarkan.
"Bagi tahun-tahun seterusnya berpandukan visi, misi dan hala tuju
kerajaan negeri, kita akan berusaha melaksanakan pelbagai program serta
aktiviti seni budaya dalam mempromosikan lagi pelancongan, kesenian dan
kebudayaan negeri ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian program
'Ihya Ramadhan' Jom Jelajah Koperasi negeri Kelantan 2014 di Hotel
Koperasi Majlis Guru Ugama Menengah Kelantan Berhad, dekat sini
kelmarin.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pengerusi-pengerusi Koperasi negeri, Prof. Madya Dr. Mohamed Saat Ismail.
Nik Ali berkata, program yang dianjurkan dengan kerjasama majalah
Gaya Travel itu turut membawa 30 pengamal media dari Australia,
Indonesia, Singapura, Filipina dan Malaysia yang diberi peluang merasai
pengalaman melancong di negeri itu.
"Mereka juga terlibat dengan aktiviti masyarakat setempat seperti
mencanting batik, bergotong-royong membersihkan masjid dan merasai
pengalaman membeli barangan keperluan harian di pasar Siti Khadijah,"
ujarnya.
Selain itu, tambah beliau, koperasi juga perlu bergerak relevan
dengan keadaan semasa dan antara transformasi yang boleh dilakukan
adalah dengan memasarkan produk dan perkhidmatan melalui aplikasi atas
talian.
Mengenai penglibatan koperasi dalam aktiviti pelancongan, Nik Ali
berkata, sehingga akhir tahun lalu, sebanyak 153 koperasi di seluruh
negara terlibat secara aktif sebagai ejen pelancongan, pemilikan hotel
bajet, pengeluaran produk pelancongan dan kraf tangan selain penyediaan
pengangkutan, restoran serta pengurusan jeti.
Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 30 Jun 2014 | Terbitan 1 Jul. 2014
Tiada ulasan:
Catat Ulasan