Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Selasa, 19 Mei 2015

RMK11: UMNO minta Kelantan diutamakan


MUSTAPA MOHAMED (enam dari kanan) menerima replika kunci van daripada Mohd. Munir Abdul Majid dalam majlis penyerahan sumbangan van kepada Pusat Dakwah Jeli di Jeli, Kelantan
JELI: UMNO Kelantan meminta Kerajaan Pusat memberi pertimbangan yang sewajarnya terutama dalam penyediaan infrastruktur untuk kemudahan rakyat negeri ini dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada minggu depan.

Pengerusinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, Kelantan harus berkembang seiring dengan negeri-negeri lain untuk maju menjelang tahun 2020.

Menurut beliau, biarpun pihak­nya memahami kedudukan kewangan Kerajaan Pusat yang mencabar pada masa sekarang namun ke­utamaan harus diberikan kepada negeri ini supaya tidak terus ketinggalan.

Keutamaan kita ialah menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) untuk menjadi lapangan terbang antarabangsa dan mengatasi masalah kesesakan yang bukan hanya di landasan tetapi juga di terminal bagi menampung jumlah penumpang yang kian meningkat pada setiap tahun.

“Kedua, lebuh raya Kota Bharu - Machang sehingga ke Gua Musang. Kita tahu Kerajaan Pusat dalam pembinaan fasa 1B dan fasa 2A, jadi kita berharap dalam tempoh RMK-11 sebahagian besar lebuh raya ini dapat disiapkan dalam RMK11 ke­rana ini adalah hasrat rakyat Kelantan sejak sekian lama,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan van dari Tabung Mawaddah, Bank Muamalat Malaysia Bhd. (Muamalat) kepada Pusat Dakwah Jeli di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Bank Muamalat, Tan Sri Dr. Mohd. Munir Abdul Majid.

Terdahulu, beliau turut menyampaikan syarahan perdana dan melancarkan program Gaya Sihat To' Pa 2015 di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Jeli.

Mustapa yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan ne­geri berkata, pihaknya berharap Kerajaan Pusat memberi perhatian kepada Lebuh Raya Timur - Barat yang meng­hubungkan Gerik, Perak ke Jertih, Terengganu.

“Jalan yang melalui daerah Jeli, Tanah Merah, Machang dan Pasir Puteh ini sudah berusia 30 tahun dan selalunya sesak.

“Kita tahu kerja-kerja naik taraf ini melibatkan kos yang tinggi, kita mohon supaya beberapa bahagian seperti di kawasan bandar diperbesarkan,” katanya yang turut memohon supaya projek tebatan banjir turut diberikan keutamaan.

Tambahnya, beliau menyampaikan hasrat rakyat Kelantan itu kepada Unit Perancang Ekonomi (EPU) untuk dimasukkan ke dalam RMK-11.

“Kita berharap rakyat Kelantan akan bersyukur dengan kemajuan yang dibawa oleh Kerajaan Pusat ini,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia | Politik | 16 Mei 2015 | Terbitan 17 Mei 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan