Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Khamis, 22 Januari 2015

Pembinaan rumah panjang transit di Kg. Karangan dalam masa terdekat

KUALA KRAI: Kerajaan Kedah sedang mengenal pasti kawasan sesuai di Kampung Karangan di sini, bagi pembinaan rumah panjang sebagai transit untuk menempatkan 53 keluarga mangsa yang kehilangan rumah akibat banjir bulan lepas.

Setiausaha Kerja Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Ariffin Man berkata, setakat ini terdapat dua lokasi dicadangkan iaitu padang permainan Sekolah Kebangsaan Karangan dan sebuah kawasan berhampiran masjid kampung berkenaan.

"Kita dimaklumkan Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Krai tiada halangan membenarkan padang berkenaan dijadikan tapak sementara pembinaan rumah panjang transit itu.

"Tetapi bagi kawasan berhampiran masjid yang terletak di kawasan tinggi, ia milik individu dan belum mendapat persetujuan pemiliknya," kata beliau kepada Bernama di sini, hari ini.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir yang melawat kampung itu baru-baru ini, memaklumkan kerajaan Kedah meluluskan peruntukan RM100,000 untuk membina rumah panjang berkenaan.

Ariffin berkata, kerajaan Kedah menyerahkan proses pembinaan rumah berkenaan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Kedah sama ada untuk mengeluarkan tender atau dibina oleh penduduk kampung bersama sukarelawan.

"JKR juga akan menilai dan memutuskan lokasi sesuai dari dua tapak yang dicadangkan itu bagi pembinaan rumah berkenaan," katanya.

Ariffin bersama sukarelawan di bawah Base Camp Sukarelawan Kedah Aman Makmur (Sukam) berada di kampung tersebut sejak 7 Januari lepas bagi membantu kerja pemulihan pasca banjir. 

Sumber: Bernama | 20 Januari 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan