KUALA LUMPUR: Satu projek empangan pelbagai guna di Hulu Sungai Kelantan bernilai kira-kira RM3 bilion akan dibina tidak 
lama lagi sebagai sebahagian langkah utama penyelesaian banjir secara 
total di Pantai Timur.
Pengarah Bahagian Pengurusan Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran 
Malaysia (JPS) Ab Qahar Osman berkata ia merupakan satu projek tebatan 
banjir dikenal pasti dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) untuk 
diberi keutamaan bagi mengatasi bencana banjir pada masa akan datang.
"Untuk RMK-11 kita akan tumpukan pada beberapa cadangan bagi 
selesaikan masalah banjir secara total. Kos pembinaan (empangan itu) 
yang dianggarkan adalah RM3 bilion dan akan mengambil masa kira-kira 
lima tahun untuk disiapkan.
"Kita mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku baru-baru ini 
yang mana sungai tidak mampu menampung kuantiti air hujan," katanya.
Katanya, empangan itu bukan hanya berfungsi sebagai kawasan tadahan 
air hujan bagi mengelak berlakunya banjir tetapi menjana tenaga 
elektrik, menjadi saluran pengairan air dari sungai dan membekalkan air 
untuk pengguna domestik.
Berkongsi cerita mengenai banjir di Pantai Timur, Ab Qahar berkata 
jumlah hujan yang direkodkan di negeri-negeri Pantai Timur yang terlibat
 banjir dalam masa 10 hari adalah 850mm melebihi paras normal iaitu 
100mm.
"Sehubungan itu, sungai-sungai utama tidak mampu menampung kuantiti 
air hujan itu dan menyebabkan air mengalir terus memasuki kawasan 
penempatan penduduk," katanya.
Setakat ini katanya, beberapa projek tebatan banjir telah 
dilaksanakan di Kelantan di bawah RMK-10 iaitu projek meninggikan tebing
 dan melebarkan sungai supaya air tidak melimpah dengan perbelanjaan 
kira-kira RM100 juta.
Baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah 
mengumumkan projek tebatan banjir akan diberi keutamaan dalam RMK-11.
Sementara itu, Pensyarah Perancangan Bandar dan Wilayah Universiti 
Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam Prof Madya Ahmad Fuzi Arshad berkata 
pembinaan empangan di hulu sungai bukan sahaja untuk mengelak banjir 
namun air yang ditakung itu boleh dimanfaatkan ketika musim kemarau.
"Bagaimanapun, keluasan empangan itu bergantung kepada jumlah hujan. 
Walaupun keluasan kecil tetapi boleh juga dibina dalam jumlah yang 
banyak di beberapa hulu sungai utama," kata Ahmad Fuzi.
Beliau turut bersetuju dengan cadangan Timbalan Perdana Menteri Tan 
Sri Muhyiddin Yassin yang menyarankan lebih banyak 'lebuh raya air' 
dibina di negeri-negeri berisiko banjir termasuk membina terusan dan 
parit yang boleh menampung air pada skala yang lebih besar.
Katanya, walaupun pembinaan 'lebuh raya air' itu mungkin memakan masa
 panjang untuk disiapkan namun ia dapat memberi manfaat kepada rakyat di
 kawasan berisiko banjir.
Pakar ekonomi Prof Dr Barjoyai Bardai berpendapat kerajaan mampu 
membina 'lebuh raya air' serta beberapa projek tebatan banjir 
menggunakan dana sendiri tanpa melibatkan dana luar kerana projek 
seumpama itu merupakan pelaburan jangka panjang.
Katanya, pelaburan kerajaan terhadap projek seumpama itu mampu 
meningkatkan kaedah pengurusan banjir dan memperbaiki sistem pengairan 
yang cekap di kawasan sensitif terhadap banjir.
"Itu mungkin libatkan belanja besar tetapi membantu mengelakkan 
kerajaan menanggung kos lebih tinggi bagi membaik pulih kerosakan 
selepas banjir," katanya.
Tambahnya, bencana banjir sememangnya tidak dapat dielakkan 
memandangkan negara menerima hujan lebat monsun setiap hujung tahun yang
 boleh menyebabkan berlakunya bencana itu.
Sumber: mStar Online | 8 Januari 2015 

Tiada ulasan:
Catat Ulasan