KUALA KRAI: Sebanyak 60 keluarga yang rumah mereka musnah akibat banjir pada Disember 2014, hari ini menerima rumah kekal masing-masing yang dibina di Kampung Telekong di sini.
Pembinaan 60 buah rumah itu adalah menerusi sumbangan Lembaga Zakat Selangor berjumlah RM10.2 juta di kawasan seluas empat hektar.
Pengerusi Lembaga Zakat Selangor, Tan Sri Syed Anwar Ibni Tuanku Syed Putra Jamalullail berkata pembinaan rumah berkenaan berjaya disiapkan dalam tempoh lima bulan selepas kerja penyediaan tapak selesai Julai lepas.
"Rumah yang berkeluasan 869 kaki persegi setiap sebuah itu, dilengkapi tiga bilik tidur, dua tandas, ruang tamu, dapur dan dilengkapi perabot," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian rumah berkenaan dan penyampaian kunci rumah di Dewan Serbaguna Laman Seri Ehsan di sini, hari ini.
Perasmian disempurnakan oleh Tengku Mahkota Kelantan Tengku Dr Muhammad Faiz Petra Ibni Sultan Ismail Petra. Turut hadir Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob, Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan Datuk Makhtar Mustapha dan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara Datuk Zaitun Ab Samad.
Syed Anwar berkata pembinaan rumah itu bertujuan menyediakan kediaman selesa kepada mangsa daripada golongan miskin yang ditimpa musibah banjir melalui dana zakat negeri Selangor.
"Pembangunan di tapak penempatan ini telah dibahagikan kepada tiga fasa pembinaan dan Lembaga Zakat Selangor hanya terlibat dengan fasa pertama seluas 10 ekar (empat hektar).
"Ia merangkumi rumah kediaman, dewan serbaguna, lot perniagaan, surau, bekalan elektrik dan air, serta jalan raya untuk kemudahan penghuni," katanya.
Sementara itu, Mariam Majid, 46, berkata sumbangan rumah kekal itu yang lengkap dengan perabot amat bermakna bagi beliau sekeluarga yang menunggu selama setahun.
"Saya sekeluarga bukan sahaja dapat tinggal di rumah yang selesa malah dapat kelengkapan perabot," kata penoreh getah itu.
Seorang peniaga Rahman Ismail, 62, gembira dan bersyukur memperolehi rumah tersebut.
"Sebelum ini saya dan isteri menumpang di rumah anak kami yang tinggal di Taman Krai (di sini) selepas rumah musnah dihanyut bah besar pada Disember 2014," katanya.
Sementara itu, Zaitun berkata fasa kedua projek pembinaan rumah kekal kepada mangsa banjir akan bermula pada Februari ini dan dijangka siap pada April depan.
Sebanyak 94 buah rumah lagi akan dibina bagi fasa kedua, iaitu 64 rumah akan dibina oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan 30 lagi rumah akan dibina badan bukan kerajaan (NGO)," katanya.
Sumber: Bernama | 26 Jan. 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan