Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Khamis, 22 Januari 2015

RM360 juta anggaran kos baik pulih perkhidmatan kereta api di Pantai Timur

KEMAMAN: Kementerian Pengangkutan menganggarkan kos sebanyak RM360 juta diperlukan untuk membaik pulih perkhidmatan kereta api di Kelantan dan Pahang yang musnah dan rosak akibat bencana banjir baru-baru ini.

Timbalan menterinya Datuk Abdul Aziz Kaprawi berkata kerja baik pulih tersebut akan terbahagi kepada empat pakej dengan pakej pertama melibatkan Kuala Krai ke Kemubu, Kuala Krai ke Gua Musang (pakej kedua), Bertam Bharu ke Lipis (pakej ketiga) dan Bertam Bharu ke Kemubu (pakej keempat).

"Kita menjangkakan kerja baik pulih ini akan siap dalam tempoh 12 bulan melibatkan kerja baik pulih landasan, jambatan yang runtuh di Kemubu, stesen keretapi yang rosak serta membaiki lokomotif dan gerabak," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan bantuan banjir kepada 30 kakitangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Terengganu.

Beliau berkata ketika ini Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) telahpun mempunyai peruntukan RM200 juta untuk projek fasa pertama yang perlu dipercepatkan kerja baik pulih landasan di Kuala Krai, Manek Urai, Dabong dan Kemubu kerana ia merupakan pengangkutan penting penduduk di pedalaman Kelantan selain menjadi pengangkutan utama anak-anak penduduk setempat ke sekolah.

Menurutnya beberapa penilaian semula akan dibuat melibatkan jarak landasan sepanjang 250 kilometer di kawasan terjejas banjir di kedua-dua negeri berkenaan sebelum mendapatkan peruntukan tambahan.

Katanya, KTMB juga akan menaik taraf landasan yang berisiko dilanda banjir, diancam kejadian tanah mendap dan tanah runtuh melalui pembinaan tapak landasan yang lebih kukuh.

"Perkhidmatan kereta api ini bukan sahaja untuk kegunaan membawa penumpang, malah juga pengangkutan untuk kargo kerana ia lebih murah untuk Pantai Timur," katanya.

Sumber: Bernama 
| 22 Januari 2015

Larangan bina semula rumah di kawasan setinggan di Gua Musang

Suasana perkampungan setinggan Kampung Kundur di tebing Sungai Galas, Gua Musang.
GUA MUSANG: Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang melarang mangsa banjir di kawasan setinggan sekitar bandar ini membina semula rumah yang hanyut atau rosak akibat bencana itu bulan lepas, di kawasan berkenaan.

Ketua Jajahan Gua Musang, Tuan Zainal Abidin Tuan Yusoff berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang membina semula rumah di kawasan berkenaan.

Pihaknya akan memantau semua kawasan setinggan terbabit termasuk Jalan Sungai China, Kampung Tiong, Kampung Baru Hilir, Kampung Baru Hulu, Jalan Kesedar Inn, Kampung Nerang, Kampung Kundur dan Kampung Kerinting, katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Katanya, ini bagi menjaga keselamatan penduduk daripada terus berdepan dengan risiko kejadian banjir musim tengkujuh pada masa depan.

Beliau yang juga Yang Dipertua Majlis Daerah Gua Musang berkata mangsa banjir yang kehilangan rumah itu boleh tinggal di penempatan sementara disediakan kerajaan.

Kerajaan negeri kini dalam proses menyediakan tapak bagi pembinaan rumah kekal di samping menempatkan mereka di Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Jalan Persiaran Raya di bandar ini.

Sumber: mStar Online | 19 Januari 2015

Kawasan seluas 460 hektar untuk bina rumah mangsa banjir di Kuala Krai dan Gua Musang

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan mengenal pasti kawasan seluas 460 hektar di Kuala Krai dan Gua Musang bagi pembinaan rumah kekal untuk mangsa banjir yang kehilangan kediaman akibat bencana itu bulan lepas.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 360 hektar tanah dikenal pasti di Kuala Krai manakala 100 hektar lagi di Gua Musang.

Kerajaan Pusat dan kerajaan Kelantan akan membina rumah kekal berkenaan di kawasan itu, katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Exco negeri di Kompleks Kota Darulnaim di sini, hari ini. 

Menurutnya, perkara itu dipersetujui oleh kerajaan Pusat dan kerajaan Kelantan pada mesyuarat khas pelan tindakan pasca banjir yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Putrajaya semalam.

Kerajaan Pusat mengumumkan dua model rumah setingkat tiga bilik bernilai RM48,000 seunit bagi pembinaan semula rumah mangsa banjir yang musnah sepenuhnya. 

Muhyiddin berkata, rumah berkeluasan 660 kaki persegi itu menggunakan kaedah binaan terus di atas tanah dan binaan di atas tiang setinggi lapan kaki dari aras tanah. Rumah itu mempunyai tiga bilik tidur, ruang makan, ruang tamu, satu tandas dan satu bilik mandi. 

Sementara itu, Mohd Amar berkata kerajaan Kelantan akan membina 600 unit rumah kekal itu melalui dana yang disumbangkan pelbagai pihak di kawasan berkenaan manakala bakinya akan dibina kerajaan Pusat. 

"Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) akan membiayai pembinaan 300 unit rumah manakala selebihnya daripada dana," katanya. 

Menurutnya mangsa yang sebelum ini mendiami tanah rizab sungai tidak akan dibenarkan membina rumah di kawasan terbabit. 

Beliau juga berkata, kerajaan Pusat bersetuju memberi bantuan antara RM5,000 dan RM10,000 kepada mangsa yang mengalami kerosakan rumah. 

Sumber: Bernama | 21 Januari 2015

Kerajaan bakal lancar projek rumah mangsa banjir 29 Januari ini

Banjir yang melanda di Kuala Krai menyebabkan sebahagian penduduk kehilangan tempat tinggal.
KUALA LUMPUR: Kerajaan dijadual melancarkan projek  pembinaan rumah baharu bagi mangsa banjir yang layak di Kuala Krai, Kelantan pada 29 Januari ini, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata kerajaan sedang merumuskan reka bentuk rumah baharu itu yang akan menjadi contoh untuk disediakan kepada mangsa banjir yang kehilangan kediaman mereka.


"Kita sedang merumuskan bentuk rumah baharu ini dan insya-Allah pada 29 hari bulan ini nanti, saya dijadual melancarkan program pembinaan rumah di Kuala Krai, Kelantan sebagai contoh rumah pertama dalam bentuk baharu yang kita akan laksanakan nanti," katanya ketika ditemu bual dalam rancangan Soal Jawab terbitan TV3 di sini, Rabu malam.


Beliau berkata keadaan banjir yang menimpa negeri-negeri khususnya di Pantai Timur kali ini begitu serius dan amat membebankan rakyat.


"Saya berasa sedih bila saya turun melawat kawasan-kawasan yang dilanda musibah banjir, pada kali ini lebih dahsyat daripada yang pernah saya lihat sebelum ini.


"Justeru, kerajaan akan mengambil langkah-langkah membantu mangsa-mangsa banjir sama ada dari segi wang tunai, kita dah umumkan kadarnya tapi lebih daripada itu mereka memerlukan (iaitu) kalau rumah mereka dah musnah sama sekali, kita akan bina rumah baharu untuk mereka," katanya.


Najib berkata bencana banjir itu telah menyebabkan kerosakan infrastruktur termasuk sekolah, hospital, masjid, jambatan dan balai raya dengan kerugian yang besar mencecah RM2.9 bilion.


Dalam temu bual itu, Perdana Menteri turut mengiktiraf bantuan yang dihulurkan sektor swasta, syarikat berkaitan kerajaan dan orang perseorangan dalam meringankan beban yang ditanggung mangsa banjir.

Sumber: mStar Online | 21 Januari 2015

Pembinaan rumah panjang transit di Kg. Karangan dalam masa terdekat

KUALA KRAI: Kerajaan Kedah sedang mengenal pasti kawasan sesuai di Kampung Karangan di sini, bagi pembinaan rumah panjang sebagai transit untuk menempatkan 53 keluarga mangsa yang kehilangan rumah akibat banjir bulan lepas.

Setiausaha Kerja Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Ariffin Man berkata, setakat ini terdapat dua lokasi dicadangkan iaitu padang permainan Sekolah Kebangsaan Karangan dan sebuah kawasan berhampiran masjid kampung berkenaan.

"Kita dimaklumkan Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Krai tiada halangan membenarkan padang berkenaan dijadikan tapak sementara pembinaan rumah panjang transit itu.

"Tetapi bagi kawasan berhampiran masjid yang terletak di kawasan tinggi, ia milik individu dan belum mendapat persetujuan pemiliknya," kata beliau kepada Bernama di sini, hari ini.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir yang melawat kampung itu baru-baru ini, memaklumkan kerajaan Kedah meluluskan peruntukan RM100,000 untuk membina rumah panjang berkenaan.

Ariffin berkata, kerajaan Kedah menyerahkan proses pembinaan rumah berkenaan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Kedah sama ada untuk mengeluarkan tender atau dibina oleh penduduk kampung bersama sukarelawan.

"JKR juga akan menilai dan memutuskan lokasi sesuai dari dua tapak yang dicadangkan itu bagi pembinaan rumah berkenaan," katanya.

Ariffin bersama sukarelawan di bawah Base Camp Sukarelawan Kedah Aman Makmur (Sukam) berada di kampung tersebut sejak 7 Januari lepas bagi membantu kerja pemulihan pasca banjir. 

Sumber: Bernama | 20 Januari 2015

Ahad, 18 Januari 2015

Perusahaan serunding Kampung Laut pulih dua bulan lagi

Pengusaha serunding Harun Hasan, 69, menunjukkan mesin memproses daging yang rosak akibat banjir di rumah beliau di Kampung Laut di Tumpat. Foto: Bernama
TUMPAT: Perusahaan serunding daging, ayam dan ikan di Kampung Laut di sini, dijangka akan pulih dalam tempoh dua bulan lagi berikutan rata-rata usahawan di kawasan tersebut mengalami kerugian besar akibat banjir teruk yang melanda negeri ini, bulan lepas.
 
Seorang pengusaha Harun Hasan, 69, berkata walaupun Kampung Laut sering dinaiki air ketika musim tengkujuh, namun banjir besar yang berlaku Disember lepas telah menenggelamkan pelbagai peralatan dan mesin bagi membuat serunding.
 
"Air naik mendadak sehingga mencapai tiga meter menyebabkan saya gagal menyelamatkan sebarang peralatan membuat serunding, menyebabkan lapan mesin pelbagai yang bernilai RM60,000, rosak.
 
"Selain itu, saya terpaksa membatalkan tempahan yang dibuat pelanggan sebelum banjir berjumlah RM2,000. Saya jangka akan kembali beroperasi dua bulan lagi," katanya ketika ditemui pemberita di sini, baru-baru ini.
 
Kira-kira 50 usahawan menjalankan perniagaan serondeng di Kampung Laut yang terletak berdekatan Sungai Kelantan dan perusahaan itu telah dijalankan selama empat generasi dan terkenal di seluruh negara kerana keaslian dan keenakannya.
Pengusaha serunding Wan Asmariah Wan Mohamad, 41, menunjukkan peralatan memproses serunding yang rosak akibat banjir di kilang memproses serunding miliknya di Kampung Laut di Tumpat. -Foto: Bernama
 
Seorang lagi pengusaha, Wan Asmariah Wan Mohamad, 41, berkata kilang membuat serunding miliknya yang terletak di tebing Sungai Kelantan musnah 80 peratus selain kehilangan beberapa kawah yang digunakan untuk memasak makanan itu.
 
"Selain itu, pelbagai mesin dan peralatan turut rosak. Setiap kali musim banjir saya akan meletakkan mesin-mesin berkenaan di atas meja dan mencabut enjinnya, namun walaupun berbuat demikian paras air sangat tinggi hingga menenggelamkan mesin berkenaan.
 
"Saya bernasib baik kerana ada simpanan kira-kira 100 kilogram serondeng daging yang sempat diselamatkan. Ia akan digunakan untuk memenuhi tempahan pelanggan sehingga keadaan kembali pulih," kata pengusaha generasi keempat itu.
 
Sebelum ini, Perbadanan Usahawan Kecil dan Sederhana (SME Corp) turut menyediakan kemudahan pinjaman sehingga RM80,000 serta bantuan geran sehingga RM20,000 bagi membolehkan peniaga terlibat melakukan usaha baik pulih premis perniagaan serta menggantikan jentera yang rosak akibat banjir.
 
Selain itu, Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) memberi 'laluan khas' dengan pinjaman khas sebanyak RM10,000 kepada peniaga untuk memulakan kembali perniagaan mereka yang terjejas akibat bencana alam itu.

Sumber: Bernama | 18 Januari 2015

Khamis, 8 Januari 2015

Atasi banjir: Empangan bernilai RM3 bilion dibina di Kelantan

KUALA LUMPUR: Satu projek empangan pelbagai guna di Hulu Sungai Kelantan bernilai kira-kira RM3 bilion akan dibina tidak lama lagi sebagai sebahagian langkah utama penyelesaian banjir secara total di Pantai Timur.

Pengarah Bahagian Pengurusan Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) Ab Qahar Osman berkata ia merupakan satu projek tebatan banjir dikenal pasti dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) untuk diberi keutamaan bagi mengatasi bencana banjir pada masa akan datang.

"Untuk RMK-11 kita akan tumpukan pada beberapa cadangan bagi selesaikan masalah banjir secara total. Kos pembinaan (empangan itu) yang dianggarkan adalah RM3 bilion dan akan mengambil masa kira-kira lima tahun untuk disiapkan.

"Kita mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku baru-baru ini yang mana sungai tidak mampu menampung kuantiti air hujan," katanya.

Katanya, empangan itu bukan hanya berfungsi sebagai kawasan tadahan air hujan bagi mengelak berlakunya banjir tetapi menjana tenaga elektrik, menjadi saluran pengairan air dari sungai dan membekalkan air untuk pengguna domestik.

Berkongsi cerita mengenai banjir di Pantai Timur, Ab Qahar berkata jumlah hujan yang direkodkan di negeri-negeri Pantai Timur yang terlibat banjir dalam masa 10 hari adalah 850mm melebihi paras normal iaitu 100mm.

"Sehubungan itu, sungai-sungai utama tidak mampu menampung kuantiti air hujan itu dan menyebabkan air mengalir terus memasuki kawasan penempatan penduduk," katanya.

Setakat ini katanya, beberapa projek tebatan banjir telah dilaksanakan di Kelantan di bawah RMK-10 iaitu projek meninggikan tebing dan melebarkan sungai supaya air tidak melimpah dengan perbelanjaan kira-kira RM100 juta.

Baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan projek tebatan banjir akan diberi keutamaan dalam RMK-11.

Sementara itu, Pensyarah Perancangan Bandar dan Wilayah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam Prof Madya Ahmad Fuzi Arshad berkata pembinaan empangan di hulu sungai bukan sahaja untuk mengelak banjir namun air yang ditakung itu boleh dimanfaatkan ketika musim kemarau.

"Bagaimanapun, keluasan empangan itu bergantung kepada jumlah hujan. Walaupun keluasan kecil tetapi boleh juga dibina dalam jumlah yang banyak di beberapa hulu sungai utama," kata Ahmad Fuzi.

Beliau turut bersetuju dengan cadangan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyarankan lebih banyak 'lebuh raya air' dibina di negeri-negeri berisiko banjir termasuk membina terusan dan parit yang boleh menampung air pada skala yang lebih besar.

Katanya, walaupun pembinaan 'lebuh raya air' itu mungkin memakan masa panjang untuk disiapkan namun ia dapat memberi manfaat kepada rakyat di kawasan berisiko banjir.

Pakar ekonomi Prof Dr Barjoyai Bardai berpendapat kerajaan mampu membina 'lebuh raya air' serta beberapa projek tebatan banjir menggunakan dana sendiri tanpa melibatkan dana luar kerana projek seumpama itu merupakan pelaburan jangka panjang.

Katanya, pelaburan kerajaan terhadap projek seumpama itu mampu meningkatkan kaedah pengurusan banjir dan memperbaiki sistem pengairan yang cekap di kawasan sensitif terhadap banjir.
"Itu mungkin libatkan belanja besar tetapi membantu mengelakkan kerajaan menanggung kos lebih tinggi bagi membaik pulih kerosakan selepas banjir," katanya.

Tambahnya, bencana banjir sememangnya tidak dapat dielakkan memandangkan negara menerima hujan lebat monsun setiap hujung tahun yang boleh menyebabkan berlakunya bencana itu.

Sumber: mStar Online | 8 Januari 2015

Cikgu sebak kenangkan nasib murid

Guru Sekolah Menengah Kebangsaan Manik Urai Lama, Noraini Mohd Noor ketika ditemubual oleh Bernama di Kuala Krai hari ini. Foto: Bernama
KUALA KRAI: Keadaan di Kuala Krai yang masih belum pulih sepenuhnya setelah dilanda banjir tidak menghalang guru-guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Manek Urai Lama 'turun padang' dalam keadaan cuaca panas untuk membantu membersihkan bangunan sekolah itu.
    
Tinjauan Bernama mendapati guru dan kakitangan sekolah sibuk membersihkan kesan lumpur bagi membolehkan sekolah itu memulakan sesi persekolahan baharu pada 11 Januari ini.
    
Tanpa menghiraukan status sebagai warga pendidik, mereka turut menjadi sukarelawan dan membantu mangsa banjir.
    
Kehadiran anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang turut membersihkan sekolah berkenaan, telah  meringankan tugas mereka.
 
Nor Aini Mat Nor, guru Penolong Kanan Ko-kurikulum yang juga guru subjek Ekonomi Asas di sekolah itu, sanggup turun padang untuk membersihkan sekolah walaupun rumahnya sendiri di Kampung Manek Urai Baru turut terjejas banjir. 
    
"Hati saya sebak memikirkan bagaimana murid-murid hendak memulakan kelas  pada 11 Januari nanti kerana kerja-kerja pembersihan akan mengambil masa yang lama kerana keadaan kelas yang kotor serta dipenuhi selut," katanya ketika ditemui Bernama.
 
Menurutnya kesan paras air, masih melekat pada dinding sekolah sehingga ke tingkat satu menunjukkan betapa tingginya paras air dan sukar membayangkan keadaan sekolah ketika dikelilingi air.
    
Nor Aini yang sudah berkhidmat di sekolah itu kira-kira 20 tahun berkata, sebelum ini, sekolah berkenaan tidak pernah dinaiki air sehingga ke tingkat satu.
    
Beliau berkata, peralatan sekolah seperti pakaian seragam, buku teks, komputer, mesin pencetak, perabot dan papan tulis banyak yang rosak malah ada yang dihanyutkan air banjir.
    
"Kami mohon bantuan Kementerian Pendidikan supaya meneliti dan mengambil kira kelengkapan sekolah yang rosak... kerana tidak lama lagi murid-murid akan memulakan sesi persekolahan," katanya.    
    
Roslinawati Mohd Nawi, guru Bahasa Melayu yang sudah berkhidmat tiga tahun di sekolah itu, bersyukur apabila Pasukan Bomba dan Penyelamat memberi bantuan air untuk membersihkan sekolah.
    
"Bekalan air di sekolah ini terputus sejak banjir dan kami sukar membersihkan selut lumpur yang sudah kering... mujur anggota bomba membantu menyediakan kemudahan air bertekanan tinggi," katanya.
    
Selain itu, bantuan anggota tentera dan pelatih PLKN meringankan beban pentadbiran sekolah.
    
"Kami perlu membersihkan sekolah dengan segera kerana lima hari lagi pelajar baru tingkatan satu akan membuat pendaftaran.
    
"Insya-Allah... warga pendidik macam kami akan berusaha sebaik mungkin untuk membersihkan kawasan sekolah dan semoga dipermudahkan dalam segala urusan," katanya.
 
Sumber: Bernama | 6 Januari 2015

Isnin, 5 Januari 2015

Anggaran awal kerosakan infrastruktur KTMB akibat banjir cecah RM250 juta

KUALA KRAI: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menganggarkan kerugian hampir RM250 juta akibat kerosakan infrastrukturnya di negeri-negeri Pantai Timur yang dilanda banjir.

Pengerusinya Datuk Ir Nawawi Ahmad berkata,bagaimanapun anggaran itu belum muktamad dan KTM dijangka menggunakan khidmat jawatankuasa bebas untuk menentukan kerugian sebenar.


"Kita masih dalam proses check satu satu detail. Saya sudah bincang dengan presiden (Datuk Elias Kadir) tadi. Dia kata mungkin perlu ada badan berasingan untuk nilai anggaran. Tapi buat masa sekarang kita anggarkan sekitar RM250 juta.


"...dan ini termasuk kerosakan pada kuarters, signalling, track, lokomotif, mesin-mesin, rolling stocks dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas meninjau kemusnahan di Stesen Kereta Api Kuala Krai, di sini hari ini.


Sebelum ini, media melaporkan perkhidmatan tren di laluan Pantai Timur terpaksa dibatalkan disebabkan beberapa landasan dinaiki air dan beberapa stesen terjejas teruk akibat banjir lumpur.


Tinjauan Bernama sebelum ini mendapati beberapa tren turut dinaiki air manakala sebahagian struktur jambatan besi untuk laluan tren di Kemubu hanyut akibat arus deras.


Pada sidang media itu, Nawawi turut menegaskan pengurusan KTM akan memberi keutamaan kepada proses membaik pulih landasan dan stesen yang terjejas di antara Gemas dan Gua Musang.


"Proses penyenggaraan bagi laluan di Kelantan memerlukan masa yang agak lama untuk kita baiki. Jadi kita minta pengurusan untuk lihat bagaimana kita dapat segerakan operasi dari Gemas ke Gua Musang.


"Untuk bahagian yang terjejas teruk seperti jambatan Kemubu yang terputus, kita mungkin memerlukan masa yang panjang untuk baiki. Jadi kita sedang mengambil kira cadangan untuk menyediakan bas dari stesen yang terjejas teruk ke stesen seterusnya," katanya.


Beliau berkata laluan Gemas - Gua Musang diberi keutamaan buat masa kini kerana ia antara laluan sibuk dan digunakan oleh ribuan pekerja, para peniaga dan anak-anak untuk ke sekolah.


Nawawi turut memberi jaminan pengurusan KTM akan mengutamakan kebajikan petugas-petugasnya serta keluarga mereka, terutamanya dalam soal wang, kediaman dan persekolahan anak-anak.


"Hari ini pengurusan buat keputusan membayar duit ex gratia RM500 seorang atau minimum setengah bulan gaji. Yang kedua, dalam minggu ini, kita akan release lagi RM500 untuk bantuan banjir, dan RM1,000 di bawah jawatankuasa kebajikan KTM.


"Di harap bantuan ini dapat membantu petugas menguruskan hal sekolah anak-anak, di samping keputusan kerajaan untuk mempercepatkan BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia)," katanya.


Beliau berkata petugas-petugas yang kawasan mereka terjejas teruk mungkin akan ditempatkan di kawasan lain mengikut skop tugas masing-masing.


Beliau turut meminta pengurus stesen kawasan yang terjejas supaya mendapatkan kuarters sementara bagi petugas-petugas yang kediaman mereka musnah akibat banjir.


Nawawi turut melahirkan penghargaan kepada Rejimen Pakar Pengendalian Keretapi ke-50 Rejimen Askar Jurutera Diraja atas komitmen mereka ketika terlibat dalam operasi menyelamat mangsa banjir serta membantu membersihkan landasan dan stesen yang terjejas.


Sumber: Bernama | 5 Januari 2015

Hubungan kereta api Kuala Krai - Gua Musang ditutup setahun

Antara laluan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang dilanda banjir di kawasan pantai timur baru-baru ini. Foto: Salhani Ibrahim
KUALA KRAI: Hubungan perkhidmatan kereta api antara Kuala Krai dan Gua Musang akan ditutup sekurang-kurang setahun disebabkan kerosakan teruk laluan ke situ.

Laluan itu terputus apabila jambatan yang menghubungkan Gua Musang dan Kuala Krai itu rosak teruk akibat banjir besar pada minggu lalu.

Pengerusi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Datuk Ir Nawawi Ahmad, berkata kos pembaikan laluan sepanjang kira-kira 50 meter itu dianggarkan berjumlah RM15 juta.

Sumber: Berita Harian (BH) Online | 5 Januari 2015