KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan mengenal pasti kawasan seluas 460 hektar
 di Kuala Krai dan Gua Musang bagi pembinaan rumah kekal untuk mangsa 
banjir yang kehilangan kediaman akibat bencana itu bulan lepas.
 Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, 
daripada jumlah itu, sebanyak 360 hektar tanah dikenal pasti di Kuala 
Krai manakala 100 hektar lagi di Gua Musang.
 Kerajaan Pusat dan kerajaan Kelantan akan membina rumah kekal berkenaan
 di kawasan itu, katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat 
Exco negeri di Kompleks Kota Darulnaim di sini, hari ini. 
 Menurutnya, perkara itu dipersetujui oleh kerajaan Pusat dan kerajaan 
Kelantan pada mesyuarat khas pelan tindakan pasca banjir yang 
dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di 
Putrajaya semalam.
 Kerajaan Pusat mengumumkan dua model rumah setingkat tiga bilik 
bernilai RM48,000 seunit bagi pembinaan semula rumah mangsa banjir yang 
musnah sepenuhnya. 
 Muhyiddin berkata, rumah berkeluasan 660 kaki persegi itu menggunakan 
kaedah binaan terus di atas tanah dan binaan di atas tiang setinggi 
lapan kaki dari aras tanah. Rumah itu mempunyai tiga bilik tidur, ruang makan, ruang tamu, satu tandas dan satu bilik mandi. 
 Sementara itu, Mohd Amar berkata kerajaan Kelantan akan membina 600 
unit rumah kekal itu melalui dana yang disumbangkan pelbagai pihak di 
kawasan berkenaan manakala bakinya akan dibina kerajaan Pusat. 
 "Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) akan 
membiayai pembinaan 300 unit rumah manakala selebihnya daripada dana," 
katanya. 
 Menurutnya mangsa yang sebelum ini mendiami tanah rizab sungai tidak akan dibenarkan membina rumah di kawasan terbabit. 
 Beliau juga berkata, kerajaan Pusat bersetuju memberi bantuan antara 
RM5,000 dan RM10,000 kepada mangsa yang mengalami kerosakan rumah. 
Sumber: Bernama | 21 Januari 2015 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan