Guru Sekolah Menengah Kebangsaan Manik Urai Lama, Noraini Mohd Noor ketika ditemubual oleh Bernama di Kuala Krai hari ini. Foto: Bernama |
KUALA KRAI: Keadaan di Kuala Krai yang masih belum pulih sepenuhnya
setelah dilanda banjir tidak menghalang guru-guru di Sekolah Menengah
Kebangsaan Manek Urai Lama 'turun padang' dalam keadaan cuaca panas
untuk membantu membersihkan bangunan sekolah itu.
Tinjauan Bernama mendapati guru dan kakitangan sekolah sibuk
membersihkan kesan lumpur bagi membolehkan sekolah itu memulakan sesi
persekolahan baharu pada 11 Januari ini.
Tanpa menghiraukan status sebagai warga pendidik, mereka turut menjadi sukarelawan dan membantu mangsa banjir.
Kehadiran anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pelatih Program
Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang turut membersihkan sekolah berkenaan,
telah meringankan tugas mereka.
Nor Aini Mat Nor, guru Penolong Kanan Ko-kurikulum yang juga guru
subjek Ekonomi Asas di sekolah itu, sanggup turun padang untuk
membersihkan sekolah walaupun rumahnya sendiri di Kampung Manek Urai
Baru turut terjejas banjir.
"Hati saya sebak memikirkan bagaimana murid-murid hendak memulakan
kelas pada 11 Januari nanti kerana kerja-kerja pembersihan akan
mengambil masa yang lama kerana keadaan kelas yang kotor serta dipenuhi
selut," katanya ketika ditemui Bernama.
Menurutnya kesan paras air, masih melekat pada dinding sekolah sehingga
ke tingkat satu menunjukkan betapa tingginya paras air dan sukar
membayangkan keadaan sekolah ketika dikelilingi air.
Nor Aini yang sudah berkhidmat di sekolah itu kira-kira 20 tahun
berkata, sebelum ini, sekolah berkenaan tidak pernah dinaiki air
sehingga ke tingkat satu.
Beliau berkata, peralatan sekolah seperti pakaian seragam, buku teks,
komputer, mesin pencetak, perabot dan papan tulis banyak yang rosak
malah ada yang dihanyutkan air banjir.
"Kami mohon bantuan Kementerian Pendidikan supaya meneliti dan
mengambil kira kelengkapan sekolah yang rosak... kerana tidak lama lagi
murid-murid akan memulakan sesi persekolahan," katanya.
Roslinawati Mohd Nawi, guru Bahasa Melayu yang sudah berkhidmat tiga
tahun di sekolah itu, bersyukur apabila Pasukan Bomba dan Penyelamat
memberi bantuan air untuk membersihkan sekolah.
"Bekalan air di sekolah ini terputus sejak banjir dan kami sukar
membersihkan selut lumpur yang sudah kering... mujur anggota bomba
membantu menyediakan kemudahan air bertekanan tinggi," katanya.
Selain itu, bantuan anggota tentera dan pelatih PLKN meringankan beban pentadbiran sekolah.
"Kami perlu membersihkan sekolah dengan segera kerana lima hari lagi pelajar baru tingkatan satu akan membuat pendaftaran.
"Insya-Allah... warga pendidik macam kami akan berusaha sebaik mungkin
untuk membersihkan kawasan sekolah dan semoga dipermudahkan dalam segala
urusan," katanya.
Sumber: Bernama | 6 Januari 2015
Tiada ulasan:
Catat Ulasan