Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Ahad, 18 Januari 2015

Perusahaan serunding Kampung Laut pulih dua bulan lagi

Pengusaha serunding Harun Hasan, 69, menunjukkan mesin memproses daging yang rosak akibat banjir di rumah beliau di Kampung Laut di Tumpat. Foto: Bernama
TUMPAT: Perusahaan serunding daging, ayam dan ikan di Kampung Laut di sini, dijangka akan pulih dalam tempoh dua bulan lagi berikutan rata-rata usahawan di kawasan tersebut mengalami kerugian besar akibat banjir teruk yang melanda negeri ini, bulan lepas.
 
Seorang pengusaha Harun Hasan, 69, berkata walaupun Kampung Laut sering dinaiki air ketika musim tengkujuh, namun banjir besar yang berlaku Disember lepas telah menenggelamkan pelbagai peralatan dan mesin bagi membuat serunding.
 
"Air naik mendadak sehingga mencapai tiga meter menyebabkan saya gagal menyelamatkan sebarang peralatan membuat serunding, menyebabkan lapan mesin pelbagai yang bernilai RM60,000, rosak.
 
"Selain itu, saya terpaksa membatalkan tempahan yang dibuat pelanggan sebelum banjir berjumlah RM2,000. Saya jangka akan kembali beroperasi dua bulan lagi," katanya ketika ditemui pemberita di sini, baru-baru ini.
 
Kira-kira 50 usahawan menjalankan perniagaan serondeng di Kampung Laut yang terletak berdekatan Sungai Kelantan dan perusahaan itu telah dijalankan selama empat generasi dan terkenal di seluruh negara kerana keaslian dan keenakannya.
Pengusaha serunding Wan Asmariah Wan Mohamad, 41, menunjukkan peralatan memproses serunding yang rosak akibat banjir di kilang memproses serunding miliknya di Kampung Laut di Tumpat. -Foto: Bernama
 
Seorang lagi pengusaha, Wan Asmariah Wan Mohamad, 41, berkata kilang membuat serunding miliknya yang terletak di tebing Sungai Kelantan musnah 80 peratus selain kehilangan beberapa kawah yang digunakan untuk memasak makanan itu.
 
"Selain itu, pelbagai mesin dan peralatan turut rosak. Setiap kali musim banjir saya akan meletakkan mesin-mesin berkenaan di atas meja dan mencabut enjinnya, namun walaupun berbuat demikian paras air sangat tinggi hingga menenggelamkan mesin berkenaan.
 
"Saya bernasib baik kerana ada simpanan kira-kira 100 kilogram serondeng daging yang sempat diselamatkan. Ia akan digunakan untuk memenuhi tempahan pelanggan sehingga keadaan kembali pulih," kata pengusaha generasi keempat itu.
 
Sebelum ini, Perbadanan Usahawan Kecil dan Sederhana (SME Corp) turut menyediakan kemudahan pinjaman sehingga RM80,000 serta bantuan geran sehingga RM20,000 bagi membolehkan peniaga terlibat melakukan usaha baik pulih premis perniagaan serta menggantikan jentera yang rosak akibat banjir.
 
Selain itu, Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) memberi 'laluan khas' dengan pinjaman khas sebanyak RM10,000 kepada peniaga untuk memulakan kembali perniagaan mereka yang terjejas akibat bencana alam itu.

Sumber: Bernama | 18 Januari 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan