Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 10 Februari 2016

Lebuh Raya Kota Bharu – Kuala Krai dijangka siap awal


Mustapa Mohamed (dua dari kiri) meninjau perkembangan projek CSR Kota Bharu-Kuala Krai di tapak projek Kampung Tiong, Kota Bharu pada 7 Februari 2016.
KOTA BHARU: Projek Central Spine Road (CSR) Kota Bharu - Kuala Krai atau lebih dikenali dengan Lebuh Raya Kota Bharu - Kuala Krai bagi Pakej 1B dan 2A dijangka dapat disiapkan lebih awal daripada tempoh sebenar yang ditetapkan.

Pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Persekutuan Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pelaksanaan Pakej 1B melibatkan laluan sejauh tujuh kilometer dari Pasir Hor ke Kadok sejak dua tahun lalu kini mencecah 50 peratus.

Sementara itu, katanya, Pakej 2A yang mula dilaksanakan tahun lalu melibatkan laluan sejauh 6.85 kilometer dari Kadok ke Ketereh pula sudah mencapai 12 peratus.

“Pakej 1B bermula April 2014 dan dijangka siap April 2017 manakala Pakej 2A bermula April 2015 dan dijangka siap April 2018. Kos kedua-dua projek ini hampir RM400 juta.

“Bagaimanapun, pelaksanaan kedua-dua pakej ini didapati bukan sahaja berjalan lancar, malah mendahului jadual. Jika keadaan ini dikekalkan, kita yakin ia boleh selesai sebulan atau dua bulan lebih awal,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau tapak dan menghadiri sesi taklimat oleh kontraktor berkaitan projek CSR Kota Bharu - Kuala Krai bagi Pakej 1B dan 2A di Buloh Poh, Kadok, di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) negeri, Datuk Makhtar Mustapha.

Mengulas lanjut, Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri memberitahu, urusan pengambilan tanah bagi Pakej 2A masih belum selesai sepenuhnya namun keadaan tersebut tidak akan menjejaskan jadual projek.

Beliau turut memberitahu, jika tiada halangan, Pakej 2B yang melibatkan laluan kira-kira tujuh kilometer dari Ketereh ke Kok Lanas mungkin akan bermula tahun ini.

“Kita akan cuba berurusan dengan pihak berkenaan supaya kerja-kerja awal bagi Pakej 2B boleh bermula tahun ini juga. Jadi sekurang-kurangnya ia boleh disiapkan menjelang 2020.

“Peruntukan untuk Pakej 2B ini belum diputuskan, namun kita anggarkan sekitar RM200 juta,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia | Nasional | 7 Feb. 2016 | Terbitan 8 Feb. 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan