KOTA BHARU: Polis menahan 14 orang termasuk dua wanita serta merampas 414,000 pil kuda (Methamphetamine) bernilai RM8.3 juta dalam serbuan di Rantau Panjang, dekat sini minggu ini.
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim berkata rampasan yang melumpuhkan sindiket pengedaran dadah terbesar di Malaysia tahun ini, serta tangkapan itu dilakukan dalam dua operasi membabitkan tujuh lokasi di sekitar Rantau Panjang.
"Dalam operasi pertama pada 20 hingga 22 Feb lepas, kita menahan 11 suspek membabitkan lima lelaki warga Thailand, lima lelaki tempatan dan seorang wanita tempatan berumur antara 27 dan 69 tahun.
"Hasil operasi itu, tiga lagi suspek iaitu dua lelaki dan seorang wanita warga tempatan berumur antara 47 dan 53 tahun berjaya ditahan dalam operasi kedua pada 23 Feb lepas selain turut merampas 414,000 pil kuda," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Operasi dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (Sting), katanya.
Mohd Dzuraidi berkata sindiket penyeludupan dadah itu yang didalangi warga tempatan dipercayai aktif sejak enam bulan lalu dengan rangkaian pasaran ke negeri pantai timur Semenanjung.
"Sindiket ini mengubah suai kenderaan dengan mewujudkan tempat penyimpanan khas dadah sebelum dibawa keluar dari Thailand ke Kelantan melalui laluan sah," katanya.
Beliau berkata pihaknya turut menyita harta suspek bernilai RM1.2 juta yang membabitkan lapan kereta, barang kemas, dua utas jam tangan, wang tunai RM34,350 serta akaun bank berjumlah RM276,611.
Enam suspek ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952, empat suspek ditahan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985 manakala empat lagi dibebaskan.
Secara keseluruhan, Mohd Dzuraidi berkata setakat ini, JSJN berjaya merampas pelbagai jenis dadah berjumlah RM39.13 juta dengan keseluruhan tangkapan seramai 28,340 orang di seluruh negara.
Sumber: Bernama | 27 Feb. 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan