Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 3 Februari 2016

PPD masih memujuk 71 murid Orang Asli hadir ke SK Tohoi

GUA MUSANG: Pejabat Pendidikan Daerah Gua Musang akan menggunakan pendekatan memujuk 71 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi di sini, yang masih gagal hadir ke sekolah berkenaaan.

Pegawai Pendidikan Daerah Gua Musang, Muhammad Zahari Othman berkata beberapa program lawatan ke lapan kampung masyarakat itu sedang diatur supaya ibu bapa murid terbabit mengambil berat kehadiran anak-anak mereka ke sekolah.

"Pada perjumpaan kita dengan ibu bapa murid Orang Asli di Pos Simpor pagi ini, mereka menyatakan hasrat menghantar semula anak masing-masing ke sekolah kerana khuatir anak mereka akan ketinggalan dalam pelajaran," katanya kepada pemberita selepas majlis perjumpaan dengan ibu bapa Orang Asli di Pos Simpor di sini, hari ini.

Muhammad Zahari berkata pihaknya menggunakan pelbagai kaedah untuk mengurangkan tekanan terhadap ibu bapa masyarakat tersebut yang masih trauma dengan tragedi kehilangan tujuh murid Orang Asli SK Tohoi pada Ogos tahun lepas.

Beliau berkata setakat ini, murid yang hadir di SK Tohoi masih kekal 115 orang berbanding keseluruhan 189 murid.

Muhammad Zahari berkata dua murid dari Pos Simpor telah berpindah ke SK Kuala Betis manakala seorang lagi ke sebuah sekolah di luar Kelantan.

Pada Ogos lepas, tujuh murid SK Tohoi dilaporkan hilang selepas bertindak melarikan diri daripada asrama kerana takut dikenakan hukuman oleh guru selepas mandi di sungai tanpa kebenaran.

Selepas hampir 50 hari hilang, dua daripada kanak-kanak itu iaitu Norieen Yaakob, 11, dan Miksudiar Aluj, 12, ditemui dalam keadaan kelaparan dan dehidrasi di tebing sungai dalam hutan di situ.

Empat yang lain - Ika Ayel, 9, Haikal Yaakob, 8, Linda Rosli, 8, dan Juvina David, 7, ditemui mati, manakala Sasa Sobrie, 8, belum ditemui sehingga kini.

Sumber: Bernama | 3 Feb. 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan