GUA MUSANG: Polis Kelantan sedang memantau 20 lokasi di beberapa jalan raya di negeri ini yang dikenalpasti kerap berlaku kemalangan, dalam usaha memastikan keselamatan pengguna jalan raya sempena sambutan Tahun Baharu Cina.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata seramai 537 anggota polis termasuk 69 pegawai ditugaskan dalam Ops Selamat 8 sempena perayaan tahun baharu itu selama 15 hari bermula semalam.
Antara lokasi tersebut ialah KM3 dan KM5 Jalan Tumpat-Wakaf Baharu, KM4 dan KM12 Jalan Kota Baharu-Pengkalan Kubur, KM6 Jalan Kota Baharu-Pasir Mas, KM2 dan KM6 Jalan Tanah Merah-Pasir Mas, KM5 dan KM6 Jalan Kota Baharu-Jeli, dan KM2 dan KM3 Jalan Ismail Petra di Kota Baharu.
KM2 Jalan Selising-Kok Lanas, KM6 dan KM38 Jalan Kota Baharu-Kuala Terengganu, KM28 dan KM51 Jalan Kota Baharu-Kuala Krai, KM4 Jalan Machang-Tanah Merah, KM58 dan KM98 Jalan Kuala Krai-Gua Musang, dan KM12 Jalan Gua Musang- Kuala Lipis.
Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Ops Selamat 8 peringkat negeri Kelantan dan Pondok Bit Polis di Hentian Gua Musang di sini, hari ini, Mazlan berkata selain anggota polis trafik, operasi berkenaan turut melibatkan anggota dari cawangan lain seperti jenayah dan narkotik untuk mengesan pengguna jalan raya yang melanggar peraturan lalu lintas, jenayah dan dadah.
Katanya polis juga akan membuat rondaan cegah jenayah di kawasan kediaman bagi memastikan rumah yang ditinggalkan penghuni yang pulang ke kampung tidak dipecah masuk oleh penjenayah.
Beliau berharap orang ramai memberi kerjasama kepada polis dengan menyalurkan maklumat mengenai kejadian jenayah supaya tindakan segera dapat diambil.
Sumber: Bernama | 2 Feb. 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan