Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Khamis, 27 Disember 2018

Mangsa tsunami Aceh tabah bina kehidupan baharu

Masjid Baitulrahman yang terletak di tengah Banda Aceh menjadi tempat penduduk kawasan sekitarnya menyelamatkan diri semasa ombak tsunami mengamuk di bumi Aceh pada 26 Disember 2004.  Foto: Bernama (2018)
BANDA ACEH: Setiap kali tiba tanggal 26 Disember, penduduk wilayah Acheh seramai 5 juta itu pasti berduka.

Manakan mereka boleh lupa peristiwa tsunami yang disifatkan sebagai bencana kemanusiaan terbesar memusnahkan kampung halaman mereka kira-kira 14 tahun lalu.

Bencana besar itu dilaporkan meragut lebih 200,000 nyawa penduduk Acheh. Sebelum berlaku tsunami itu, satu gempa bumi dengan kekuatan 9.1 skala Richter menggoncang dasar laut di barat daya Sumatra dan gelombang tsunami diberitakan mencapai setinggi 30 meter. Kesan kemusnahan tsunami ini menjangkau hingga ke pantai Selatan Afrika.

Malapetaka alam itu yang turut melanda pantai barat Semenanjung Malaysia, Thailand, India, Sri Langka dan Selatan Afrika sudah tentu menghimpunkan pelbagai bentuk kesengsaraan serta kedukaan.

Baru-baru ini penulis berpeluang menyertai rombongan Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Perlis (PSMCPs) untuk meninjau dan mendekati bumi Aceh yang terletak di utara Pulau Sumatera serta para penduduknya yang pernah menjadi mangsa tsunami berkenaan.

Program yang berlangsung dari 7 hingga 10 Dis itu memberi banyak pengajaran serta pengalaman.

Menurut pengerusi PSMCPs, Busu Ibrahim yang mengetuai delegasi persatuan itu, kunjungan ke Acheh yang digelar “Serambi Makkah” bukan sekadar meninjau kesan bencana itu tetapi turut mendengar sendiri cerita daripada beberapa mangsa Tsunami, secara langsung atau tidak.

Pemandu pelancong Mohd Rizal Zakaria mendapat peluang bekerja sebagai pemandu pelancong dengan sebuah agensi pelancongan di Aceh selepas berlaku tsunami di wilayah tersebut. 

Pemandu pelancong Mohd Rizal Zakaria mendapat peluang bekerja sebagai pemandu pelancong dengan sebuah agensi pelancongan di Aceh selepas berlaku tsunami di wilayah tersebut. Foto: Bernama (2018)
HARAP TIDAK BERULANG

Peristiwa tsunami yang dianggap “kiamat kecil” bukan sahaja menamatkan sengketa tiga dekad pada 15 Ogos 2005 itu tetapi juga bagaikan berakhirnya masa depan kehidupan mangsa.

Bagaimanapun semangat kental penduduk Acheh terserlah apabila tinjauan Bernama mendapati mereka yang terselamat terus bangkit untuk membina semula kehidupan yang musnah akibat tsunami.

Bagi yang bertani, mereka mula bercucuk tanah di ruang lapang dan tanaman begitu subur manakala yang lainnya mula mencari penghidupan baharu termasuk berniaga.

MULA HIDUP BAHARU

Sewaktu gelombang tsunami melanda Acheh, Rizal tinggal bersama keluarganya di pinggir Banda Acheh. Beliau yang bekerja sendiri ketika itu berkata ahli keluarganya tidak terkesan dengan bencana berkenaan kerana rumah mereka terletak di kawasan tinggi.

Bagaimanapun, beliau dapat melihat bagaimana ombak tsunami membadai kawasan penempatan di kawasan rendah.

Beliau yang kini mempunyai tiga orang cahaya mata berkata Acheh yang musnah akibat tsunami kembali membangun dengan pesat dan kini menjadi tumpuan pelancong yang antaranya mahu melihat sendiri kesan peninggalan bencana tsunami.

Kata Rizal, banyak syarikat pemandu pelancong memulakan perniagaan dan beliau sendiri mendapat rezeki bekerja sebagai pemandu pelancong sejak kira-kira 7 tahun lalu.

Bagi beliau ada ruang kehidupan di tengah-tengah kemusnahan akibat tsunami. Sebelum mula berkhidmat sebagai pemandu pelancong, Rizal mengumpul pelbagai kisah tsunami yang berlaku di seluruh Acheh bagi memudahkan kerjanya nanti.

Meskipun ada yang masih trauma dengan bencana yang menimpa dan masih berasa bimbang peristiwa ngeri itu akan berulang, namun kata Rizal, beliau seperti penduduk Acheh yang lain perlu cekal untuk bekerja keras bagi meneruskan kehidupan.

ANTARA TARIKAN TSUNAMI

Mengenai pekerjaannya, beliau mengendalikan 20 hingga 40 orang pelancong sehari dan 95 peratus daripada mereka adalah dari Malaysia.

Antara tinggalan tsunami yang menjadi fokus lawatan ialah sebuah kapal seberat 1,600 tan yang tersadai di daratan dalam bandar Acheh dan beberapa buah masjid yang terselamat daripada pukulan gelombang tsunami.

Sebuah kubah masjid seberat 80 tan dihanyutkan ombak tsunami sejauh 2.5 kilometer dan sebuah kapal nelayan terdampar di atas bumbung sebuah rumah turut menjadi tumpuan pelancong.

Bernama sempat menemu bual Imam Masjid Rahmatullah, Kampung Lampuk, Aceh Besar, Sulaiman Mohd Amin, 64, mengenai pengalaman beliau ketika tsunami membadai.

Menurut beliau pada hari kejadian beliau bersama penduduk di kampungnya sedang bergotong royong memasak untuk kenduri perkahwinan.

Tanpa disangka, katanya, air laut yang hitam menerjah kampungnya begitu cepat mengakibatkan kira-kira 7,000 penduduk terkorban termasuk isteri dan empat anaknya. Cuma kira-kira 300 penduduk kampung itu terselamat termasuk dirinya sendiri.

“Saya selamat setelah sempat berpaut di sebatang kayu yang terapung dan dihanyutkan sejauh tiga kilometer sebelum tersangkut di atas kubah masjid tempat saya bertugas sekarang,” kata Sulaiman.

REZEKI DARIPADA KUBAH HANYUT

Sementara itu, rombongan kami turut berkesempatan melihat kubah masjid seberat 80 tan yang hanyut dibawa arus gelombang sejauh kira-kira 2.5 kilometer dan akhirnya terdampar di Kampung Gurah Lamteugoh.

Seorang penduduk kampung berkenaan, Sriana Rusli Abdullah, 35, dilantik oleh masyarakat tempatan untuk mewakili mereka menceritakan kepada para pengunjung mengenai kubah berkenaan.

Sriana memberitahu penulis beliau bersyukur kerana dia dan suami pulang ke kampung suaminya yang jauh dari tempat kejadian tsunami untuk bersalin.

Penyampai kisah kapal nelayan seberat 20 tan yang tersadai di atas bangunan rumah dua tingkat di Kampung Lampulo, Nilawati Ilyas Bintang, 42, pula berkata semasa kejadian beliau dan dua anaknya yang masih kecil terselamat kerana berpaut di atas pohon kelapa.

Sesungguhnya penduduk Acheh khususnya berharap tanggal 26 Dis yang pasti hadir setiap tahun tidak lagi membawa malapetaka sebaliknya memberi kemakmuran kepada mereka dan bumi Aceh.
Beliau merujuk hikmah tsunami itu kepada berakhirnya pemberontakan Gerakan Aceh Merdeka (GAM) yang menentang pemerintah Indonesia hampir 30 tahun kerana menuntut kemerdekaan.

Seorang penduduk Banda Acheh yang sempat ditemu bual, Mohd Rizal Zakaria, 30, berkata walaupun malapetaka itu membawa seribu satu ‘hikmah’ kepada penduduk dan bumi Aceh, namun mereka berharap ia tidak akan berulang.

Sumber: Bernama | Oleh Ramli Ismail | 26 Disember 2018

Kota Bharu disasar jadi Bandar Pelancongan OIC 2025

Pasar Besar Siti Khadijah di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan yang menjadi salah satu tarikan pelancongan utama di bandar raya ini. Foto ihsan: http://gotravelaz.com/kota-bharu/
KOTA BHARU: Jawatankuasa Belia, Sukan, Seni dan Budaya yang ditubuhkan Pakatan Harapan (PH) di Kelantan bagi membantu Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menyasarkan Kota Bharu sebagai Bandar Pelancongan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada 2025.

Pengerusi PH Kelantan Datuk Husam Musa berkata justeru itu, jawatankuasa berkenaan yang dianggotai beberapa agensi Kerajaan Persekutuan termasuklah MOTAC Kelantan dan Tourism Kelantan akan merangka pelan induk lima tahun pelancongan bagi mencapai tujuan tersebut.

"Tahun depan Dakar (di Senegal) dipilih untuk menjadi Bandar Pelancongan Islam OIC dan kita menyasarkan bermula 2025, Kota Bharu dipilih sebagai Bandar Pelancongan Islam OIC pula," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa berkenaan yang turut dihadiri Pengarah MOTAC Kelantan Mohd Aidil Afizie Daud dan Pengarah Tourism Kelantan Hafiz Hazim di Pejabat MOTAC Kelantan di sini, hari ini.

Husam berkata antara program yang boleh dilaksanakan dalam pelan berkenaan termasuklah permulaan Perang Dunia Kedua yang bermula di Kelantan dengan pendaratan Jepun ke Pantai Pak Amat di sini, pada 8 Disember 1941.

"Salah satu perkara yang memberi kesan kepada seluruh dunia mudah untuk menarik minat masyarakat global untuk berkunjung ke tempat tersebut dan Perang Dunia ke-2 boleh menjadi satu tema yang menarik untuk kita.

"Kita bukan bercerita tentang sejarah pendaratan bot (tentera Jepun) semata-mata (di Pantai Pak Amat) tetapi boleh melihat pada skop yang lebih luas termasuklah keadaan pasca perang," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata jawatankuasa tersebut turut mencadangkan agar Pejabat Tourism Kelantan terus dikekalkan di negeri ini selepas diputuskan oleh Kerajaan Persekutuan pimpinan Barisan Nasional (BN) untuk dibubarkan pada 2016.

"Selain itu, mesyuarat turut mencadangkan agar Majlis Tindakan Pelancongan dihidupkan kembali bagi membantu kerajaan negeri memajukan sektor ini di Kelantan," katanya.

Sumber: Bernama | 26 November 2018

Jumaat, 21 Disember 2018

Kempen Joyful Malaysia di KLIA

Joyful Malaysia bersama Kerajaan Negeri Kelantan dan Pusat Maklumat Pelancongan Kelantan yang dilancarkan baru-baru ini di Terminal KLIA 2.
KUALA LUMPUR: Sebagai tanah pertama dipijak pelancong yang datang melalui laluan udara, peranan lapangan terbang da­lam memberikan gambaran baik buat negara kepada pelancong adalah sangat penting. 

Sehubungan itu, Malaysia Airports mengambil inisiatif melaksanakan kempen Joyful Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). 

Ia bertujuan menyambut kedatangan pelancong de­ngan suasana ceria, ramah dan dipenuhi citra tempatan agar para pelancong mendapat gambaran ke­seronokan yang dapat dinikmati sepanjang berada di negara ini. 

Menurut pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Raja Azmi Raja Nazuddin, pihak­nya komited mahu mempromosi produk budaya dan layanan baik negara ini kepada pelancong. 

“Terbaharu, kami berkerja­sama dengan Kerajaan Negeri Kelantan dan Pusat Maklumat Pelancongan Kelantan untuk mempromosi budaya serta pro­duk dari negeri itu melalui kempen Joyful Malaysia

“Sejak 2017 sehingga kini, kami telah mempamerkan keindahan budaya lapan negeri di KLIA. Tanpa sangsi, kempen Joyful Malaysia begitu popular dalam kalangan tetamu tempatan dan luar negara di lapangan terbang kami,” kata­nya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Pasaran besar untuk produk Malaysia 

Menurut Raja Azmi lagi, sehingga November tahun ini, seramai 89.8 juta penumpang dikendalikan di 39 buah la­pangan terbang di bawah seliaannya. 

Jumlah ini dilihat sebagai peluang besar untuk mereka membantu para pelancong mengenali keindahan budaya serta aneka produk unik tempatan. 

“Kami mengendalikan lima lapangan terbang antarabangsa, 16 lapangan terbang domestik dan 18 lapangan pelepasan dan pendaratan singkat (STOLports). 

Bukan sahaja budaya, malah jualan produk seperti makanan serta kraf tangan berjenama tempatan turut dipersembahkan di kawasan lapangan terbang ba­gi menyambut ketibaan para pelancong. 

Strategi Reset Komersial 

Sejajar dengan misi me­ngangkat jenama Malaysia yang unik, MAHB akan menjalankan strategi Reset Komersial pada lima lapangan terban antarabangsa, iaitu KLIA, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. 

Menurut Raja Azmi, melalui strategi ini, kesemua lapangan terbang yang terlibat akan menjadi kawasan membeli-belah antarabangsa yang memasarkan pelbagai produk unik tempatan. 

“Lapangan terbang bukan sahaja komponen penting dalam jaringan pengangkutan antarabangsa, malah memainkan peranan penting dalam menghubungkan komuniti, budaya dan perniagaan tempatan de­ngan dunia,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia | Nasional | 20 Disember 2018

#visitmalaysia2020

Ahad, 2 Disember 2018

Galeri Tok Janggut dibuka Februari 2019

Gambaran artis berkenaan Galeri Tok Janggut di Tumpat yang bakal dibuka kepada orang ramai Februari depan.
KOTA BHARU: Orang ramai berpeluang mengetahui lebih lanjut mengenai sejarah pahlawan tersohor negeri ini, Tok Janggut apabila sebuah galeri khas diwujudkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Pohon Tanjung, Pasir Pekan, Tumpat

Galeri pertama seumpamanya itu kini sudah siap dalam 80 peratus dan dijadual dibuka Februari depan. 

Pengerusi Galeri Tok Janggut, Mustaffa Hassan berkata, galeri itu dilengkapi tiga ruang pameran, iaitu ruangan pertunjukan barangan artifak, teater mini dengan tayangan skrin serta gambar-gambar bersejarah. 

Katanya, galeri itu dibuka bertujuan mendedahkan sejarah sebenar serta paling sahih mengenai Tok Janggut berikutan terlalu banyak versi berbeza mengenai beliau sebelum ini. 

"Sebagai langkah yang betul pihak kami telah berkerjasama dengan banyak pihak untuk mengumpulkan kisah hidup Tok Janggut yang sebenar. 

"Kami turut berkerjasama dengan pihak Muzium Negeri Kelantan dan Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Mereka memberi sokongan sepenuhnya terhadap usaha kami ini," katanya ketika ditemui, di sini semalam. 

Mustaffa yang juga merupakan Guru Besar SK Padang Pohon Tanjung berkata, sejarah Tok Janggut atau nama sebenar Haji Hassan Panglima Mat Munas itu berjaya digali lebih mendalam berikutan pusara beliau terletak di Kampung Pasir Pekan iaitu kira-kura satu kilometer dari sekolah

“Apabila siap, Galeri Tok Janggut itu bakal menjadi satu lagi daya tarikan pengunjung terdiri daripada semua golongan dan pelancong asing

"Pembinaan galeri ini diusahakan oleh penduduk kampung sendiri secara berperingkat melalui kutipan dana lebih RM100,000 dan kami masih memerlukan lebih banyak modal untuk menyiapkannya," katanya. 

Katanya, orang ramai ingin membantu boleh menghulurkan sumbangan melalui Bank Islam ke akaun 03036010161679 di atas nama Galeri Tok Janggut. 

Sumber: Utusan Online | 2 Disember 2018

#visitmalaysia2020

Isnin, 26 November 2018

UM kenal pasti tapak kampus baharu di Kandis, Bachok

KOTA BHARU: Akademi Islam Universiti Malaya (UM) mengenal pasti tapak baharu di Bachok sebagai kampus baharu menggantikan kampus di Nilam Puri sekarang.

Timbalan Menteri Besar, Dato' Mohd Amar Abdullah berkata, kerajaan negeri dimaklumkan perbincangan UM dengan pemilik tanah sudah dilakukan.

"Tanah seluas lebih kurang 25 ekar di Kandis itu merupakan bekas kampus Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST).

“Difahamkan Akademi Islam Universiti Malaya hanya memerlukan kawasan seluas 15 ekar sahaja," katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Integriti di Kota Darulnaim hari ini.

Turut hadir Penasihat Undang-undang Kerajaan Negeri, Dato' Shahidani Abdul Aziz, Pengawai Kewangan Negeri, Dato’ Ahmad Robert Abdul Rahim dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Adnan Hussin.

Mohd Amar berkata, tanah yang diduduki Akademi Islam sekarang merupakan tanah kerajaan yang diberi hak milik kepada Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), kini dalam proses dinaik taraf sebagai kolej universiti. 

Sumber: Harakah Daily | 26 November 2018

Selasa, 20 November 2018

Projek Jejambat Tanah Merah dijangka siap Ogos tahun depan

Projek Jejambat Tanah Merah di pusat bandar Tanah Merah, Kelantan dijangka siap Ogos tahun depan. 
TANAH MERAH: Projek jejambat dan persimpangan bertingkat bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas teruk di bandar ini dijangka dapat disiapkan lebih awal daripada tempoh sebenar yang ditetapkan.

Pegawai Perhubungan Awam syarikat kontraktor utama, After Image Sdn Bhd, Rasdi Mohamad berkata, pelaksanaan projek membabitkan kos RM153 juta sejak dua tahun lalu itu sudah mencecah 70 peratus.

Rasdi berkata, projek melibatkan pembinaan jajaran sejauh 1.1 kilometer melintasi bandar ini termasuk lintasan kereta api yang dijangka siap Ogos tahun depan itu kini didapati mendahului jadual hampir sebulan lebih awal.

"Berdasarkan data perkembangan awal bulan ini, projek sepatutnya 66.75 peratus siap kalau ikut jadual ditetapkan tetapi realiti di lapangan, projek sudah 69.55 peratus iaitu varian 2.81 peratus.

"Kalau ikut jumlah hari, kita sudah lebih awal daripada jadual yang ditetapkan," katanya kepada Sinar Harian.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 19 November 2018

Khamis, 1 November 2018

Belanjawan 2019: Kedah taruh harapan bina Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim

 
ALOR SETAR: Kebenaran daripada Kerajaan Persekutuan untuk membangunkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) merupakan antara perkara yang diharapkan kerajaan negeri untuk disentuh dalam pembentangan Belanjawan 2019, Jumaat ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, selain itu pihaknya turut berharap supaya beberapa perkara lain dapat diberi perhatian antaranya peruntukan untuk Zon Ekonomi Sempadan Khas (SBEZ) di Bukit Kayu Hitam, Projek Bandar Raya Getah di Padang Terap, Litar Lumba di Sungai Petani serta Hospital Pendang.

"Mengenai KXP, kami memang ternanti-nanti kebenaran tersebut tetapi tidaklah kerajaan negeri terasa hati sekiranya Kerajaan Persekutuan tidak dapat memberi peruntukan besar kepadanya. Kami faham kekangan dihadapi Persekutuan.

"Kalau Kerajaan Persekutuan beri peruntukan untuk KXP, kerajaan negeri sangat mengalu-alukan. Namun kami bersedia jika Persekutuan sekadar memberi kebenaran kerana kami yakin untuk membangunkan KXP menerusi pelaburan luar atau inisiatif pelaburan swasta dengan beberapa pihak sudah menyatakan kesudian berbuat demikian," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Sumber: Utusan Online | 31 Oktober 2018

Kerajaan tidak akan tunduk desakan haramkan Grab - Menteri Pengangkutan

KUALA LUMPUR: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menegaskan kerajaan tidak akan tunduk terhadap desakan pemandu teksi yang mahu perkhidmatan syarikat e-panggilan (e-hailing) yang menggunakan kereta persendirian, khususnya Grab diharamkan.

Menurut beliau, kerajaan peka dengan permasalahan melibatkan pemandu teksi, namun isu itu perlu dilihat dengan lebih menyeluruh, bukan hanya menerusi pandangan pemandu teksi malah perlu dilihat daripada perspektif penumpang.

Katanya kementerian telah merangka formula menang-menang untuk menjaga kebajikan pemandu teksi dan pemandu yang menggunakan perkhidmatan syarikat e-panggilan.

"Hala tuju kita, kita nak menggalakkan pemandu teksi guna aplikasi e-panggilan, sama ada syarikat Grab atau syarikat-syarikat lain, bukan nak fokus kepada Grab saja, ada 20 hingga 30 syarikat e-panggilan di negara ini, ada banyak lagi pilihan.

"Yang penting, kita nak yakinkan pemandu teksi, kalau kita tak gunakan aplikasi teknologi baharu, kita akan ketinggalan. Kita nak bantu, bukan nak memangsakan pemandu teksi, tapi kalau ikut permintaan sebahagian pemandu teksi yang mahu kerajaan haramkan e-panggilan, haramkan Grab, maka pada hari yang sama orang ramai juga akan adakan demonstrasi membantah keputusan itu," katanya ketika menggulung usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 untuk kementeriannya, malam ini.

Mengenai kadar komisyen tinggi dikenakan syarikat e-panggilan, Loke berkata dalam dasar baharu, kerajaan menetapkan had komisyen pemandu kereta persendirian yang boleh dikenakan syarikat e-panggilan diturunkan kepada 20 peratus dan bukan lagi 25 peratus, manakala bagi pemandu teksi komisyen yang dikenakan syarikat e-panggilan dihadkan kepada 10 peratus.

Beliau juga meminta Anggota Parlimen menggunakan peruntukan di kawasan parlimen masing-masing, untuk bersama-sama membantu persatuan pemandu teksi menggunakan telefon pintar bagi membolehkan mereka menggunakan teknologi e-panggilan.

Dalam perkembangan lain, Loke berkata kerja-kerja penaiktarafan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Kota Bharu, Kelantan melibatkan pembesaran bangunan sedia ada bagi membolehkannya menampung kapasiti penumpang daripada 1.5 juta kepada empat juta dijadual bermula pada 2020 melalui tender terbuka.

Bagi Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, katanya kerajaan masih meneliti beberapa opsyen untuk meningkatkan kapasitinya daripada 6.5 juta penumpang setahun kepada 12 juta.

“Jumlah penumpang dikendalikan LTAPP pada tahun 2017 telah mencapai sebanyak 7.2 juta penumpang iaitu 111 peratus daripada kapasiti sedia ada,” katanya.

Mengenai celahan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali (Bebas-Bagan Serai) sama ada cadangan pembinaan sebuah lapangan terbang di Bagan Serai yang sebelum ini pernah ditimbulkan akan diteruskan, Loke berkata pihaknya perlu menerima kertas cadangan terlebih dahulu untuk diteliti pihaknya.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok.

Sumber: Bernama | 31 Oktober 2018

Projek: Jangan anaktirikan negeri pembangkang

Mohd. Nasir Ibrahim
KUALA TERENGGANU: Kerajaan diminta memberi keutamaan kepada pelaksanaan projek-projek berskala kecil melibatkan aspek keperluan menyeluruh rakyat dalam Belanjawan 2019 sekali gus turut membantu memberi ruang kepada kalangan kontraktor bumiputera bernafas.

Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Terengganu (KMMT) Datuk Mohd Nasir Ibrahim berkata, jika kewangan menjadi kekangan, projek-projek mega sewajarnya dibekukan seketika, bukannya yang melibatkan prasarana di seluruh negara.

"Memang ramai mengeluh kerana sukar bernafas. Kita mengharapkan Belanjawan 2019 turut mengambil kira nasib kontraktor bumiputera.

"Pelbagai projek yang berjalan kini adalah lanjutan daripada sebelum perubahan kerajaan. hampir tiada projek baharu digerakkan, dipecah-pecahkan untuk penyertaan lebih ramai kontraktor kecil,"ujarnya di sini petang ini.

Beliau mengulas mengenai laporan Utusan Malaysia berhubung nasib kebanyakan kontraktor bumiputera yang berdepan dengan 'pengalaman ngeri' setelah kerajaan Pusat memutuskan untuk menangguh atau memberhentikan projek-projek penyelenggaraan.

Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia (Perkobf), Tukiman Radion dilaporkan merayu supaya peluang bagi golongan itu tidak terus tersekat.

Menurut Mohd Nasir, Terengganu sebagai sebuah negeri pembangkang turut merasa kesan besar apabila berada di bawah kerajaan negeri yang baharu.

"Di Terengganu sangat berkurangan. Saya berharap kerajaan Pusat tidak mengambil pendekatan politik yang menganaktirikan negeri di bawah pembangkang sehingga boleh menjejaskan kepentingan negeri dan rakyat,"ujarnya. 
 
Sumber: Utusan Online | 30 Oktober 2018

Tok Pa mahu terus jadi ‘jambatan’ di antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Lanas, Datuk Seri Mustapa Mohamed (tengah) dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) ketika dewan berhanti rehat semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks Darul Naim.
KOTA BHARU: Datuk Seri Mustapa Mohamed (Bersatu - Ayer Lanas) menegaskan kemampuannya untuk menjadi ‘jambatan’ di antara kerajaan Pusat dan negeri tidak perlu dipertikaikan.

Beliau berkata, rekod telah membuktikan bahawa peranan yang dimainkannya sepanjang menjadi wakil kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.

Katanya, isu tersebut merupakan perkara lama yang dibangkitkan kembali.

“Sebagai contoh pada 19 Disember 2015, semasa Pasar Selising terbakar, esoknya saya melawat pasar itu dan menulis surat kepada kerajaan Pusat untuk menyediakan peruntukan sebanyak RM3 juta.

“Kerajaan terdahulu meluluskan peruntukan sebanyak RM4 juta dan saya sendiri merasmikan pasar itu pada awal Januari tahun ini.

Ini antara contoh bagaimana saya memainkan peranan membantu rakyat Kelantan dan sudah pasti bertanggungjawab bukan sahaja mencadangkan projek-projek tetapi memantau pembinaan Hospital Kuala Krai dan Bachok serta pembinaan lebuh raya di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di sini hari ini.

Mustapa merupakan wakil tunggal Kerajaan Pakatan Harapan DUN Kelantan selepas menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di sini minggu lalu.

Terdahulu ketika sesi soal jawab lisan dalam persidangan hari ini hangat seketika apabila Datuk Hassan Mohamood (Pas-Tawang) memerli tindakan Mustapa yang dikatakan bukan melakukan penghijrahan sebaliknya lari daripada perjuangan.

Malah, Hassan juga mempersoalkan sama ada Mustapa mampu menjadi ‘jambatan’ bagi menghubungkan negeri ini dengan kerajaan Persekutuan sebagaimana ketika beliau bersama BN dahulu. 
 
Sumber: Utusan Online | 31 Oktober 2018

PETRONAS Dagangan umum tiada kenaikan harga perkhidmatan GPHD, caj penghantaran gas

KUALA LUMPUR: PETRONAS Dagangan Bhd hari ini mengumumkan tidak akan ada kenaikan harga bagi perkhidmatan Gas PETRONAS Home Delivery (GPHD) manakala caj penghantaran kekal pada harga yang sama.

Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan umum dan kebimbangan pelarasan harga caj penghantaran, kata syarikat tersebut dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Petronas Dagangan mengumumkan caj penghantaran akan disemak semula sejajar dengan kadar pasaran daripada RM3.20 bagi silinder 12 kilogram dan 14 kilogram sebelum ini kepada RM8.20 bagi silinder 12 kilogram dan RM8.40 bagi silinder 14 kilogram.

Penetapan harga semasa di laman web GPHD menyenaraikan RM25.80 bagi silinder 12 kilogram dan RM29.80 bagi silinder 14 kilogram untuk wilayah tengah, manakala harga bagi wilayah selatan, timur dan utara bagi dua silinder itu masing-masing pada RM25.20 dan RM29.

Sumber: Bernama | 31 Oktober 2018

Rabu, 31 Oktober 2018

Single Dad Cendol bukan biasa-biasa

Hasbullah menyediakan cendol di gerainya ‘Single Dad Cendol’.
TANAH MERAH: Single Dad Cendol nama unik diilhamkan seorang peniaga di daerah ini yang menampilkan kelainan tersendiri dengan menjual cendol menggunakan basikal antik diubah suai.

Keistimewaan yang ditonjolkan itu kini menjadi fenomena di daerah ini apabila idea menggunakan basikal antik bagi jualan cendol oleh peminat barangan terbabit, Hasbullah Mohd Nawi, 35, juga mampu membantu dirinya menjana pendapatan sampingan.

Hasbullah berkata, idea itu timbul dalam usaha mengembalikan nostalgia zaman cendol sekitar tahun 70-an dan 80-an yang ketika itu cendol dijual dengan menggunakan basikal.

“Maka saya cuba hidupkan semula jualan cendol menggunakan air batu tongkol dan dikisar menggunakan pengisar air batu secara manual berbanding mesin automatik menggunakan elektrik yang selalu digunakan peniaga sekarang. Lebih menarik adalah air batu tongkol dikisar di atas basikal klasik yang direka khas.

“Sebagai penggiat basikal klasik Kelantan dan Malaysia, saya mahu tonjolkan kepada masyarakat berkaitan basikal antik di jalanan dan konsep itu diilhamkan dalam usaha berkongsi idea dengan pelanggan yang datang di gerai cendol ini,” katanya kepada Sinar Harian di sini.

Menurutnya, lebih istimewa apabila basikal yang digunakan itu adalah basikal antik miliknya yang dibawa pulang dari England ketika merantau mencari barangan antik di luar negara.

“Saya harap gerai ini juga dapat mengumpulkan peminat-peminat barangan klasik di satu lokasi dan dapat bertukar-tukar pandangan dan pendapat.

“Usaha saya ini juga selain berniaga, sebenarnya adalah untuk memperkenalkan barangan antik dan mesin kisar yang mungkin tidak pernah dilihat generasi baru,” katanya.

Basikal antik yang diubahsuai antara yang menjadi tarikan di gerai cendol itu.
Hasbullah berkata, dia turut memberi peluang kepada pelanggan untuk mencuba sendiri mengisar air batu tongkol di gerainya yang terletak di tepi Kasut You Bandar Baru Tanah Merah, di sini.

“Nama ‘Single Dad Cendol’ ini sebenarnya dizahirkan dari nama peminat barangan antik yang pada mulanya melalui nama Kami, Karat England dan sebuah Kafe Single Dad Kafe dan akhirnya saya ambil keputusan menggunakan nama ‘Single Dad Cendol’ yang bukan sahaja unik malah mudah untuk diingati.

“Selain itu gerai ini juga turut dihiasi dengan vespa serta basikal roda tiga buatan England sebagai satu lagi daya tarikan ke gerai cendol ini yang dibuka pada jam 10 pagi hingga 5 petang setiap hari,” katanya.

Hasbullah menambah, dia juga mempunyai perancangan untuk terus memajukan gerai cendol ini dengan mewujudkan sudut barangan antik yang akan diletakkan pelbagai jenis radio klasik dan mesin jahit lama semuanya buatan England untuk tatapan umum.

“Di samping itu saya mahu pelanggan rasa cendol kita dengan slogan “Tak Keno Takpo Keno Rindu” yang juga akan menjadi tarikan kepada pelanggan cendol Single Dad.

“Harga bagi semangkuk cendol yang dijual dalam mangkuk besi hanya RM2, RM2.50 untuk tambahan jagung dan kacang dan RM3 untuk hidangan istimewa bersama pulut, tapai, jagung dan kacang,” katanya.
 
Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 31 Oktober 2018

Kelantan minta Petronas kemuka jumlah rasmi bayaran royalti

KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan meminta Petronas agar mengemukakan jumlah rasmi bayaran royalti yang harus diterima oleh negeri berkenaan sejak pengeluaran petroleumnya bermula 1982.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata ia berikutan sehingga kini Kerajaan Negeri Kelantan tidak menerima sebarang angka yang khusus berhubung perkara berkenaan.

"Cuma untuk makluman Yang Berhormat, setakat ini saya boleh sebut saya rasa, berdasarkan maklumat-maklumat yang kita kumpul daripada laporan dan jawapan menteri di Parlimen, daripada mula-mula pengeluaran petroleum hasil laut yang digali dari Kelantan, kita sepatutnya menerima bayaran daripada Petronas melebihi RM14 bilion.

"Kalau kita dapat harta ini kita dapat melihat berapa banyak sebenarnya duit kita yang telah diambil oleh Kerajaan Persekutuan (selama ini)," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.

Mohd Amar menjawab soalan tambahan dikemukakan Abdul Rahman Yunus (PAS-Pasir Tumboh) yang mahu tahu mengapa Kerajaan Negeri Kelantan tidak memasukkan terimaan hasil royalti dalam Belanjawan 2019 bagi meningkatkan kewangan negeri.

Mengulas lanjut, Mohd Amar berkata banyak perkara boleh diselesaikan jika Kerajaan Persekutuan membayar kesemua jumlah tuntutan royalti Kelantan termasuklah masalah bekalan air, perumahan mampu milik dan sampah.

"Bukan kita nak cari alasan tapi itulah realiti, sebab orang Kelantan kata dah, 'takdok pitih bodo selalu, ado duit cerdik selalu'.

"Apa yag kita tuntut adalah hak yang kita. Jadi kalau kita setakat nak minta pinjam RM90 juta pendahuluan tu tak ada apa-apalah sebab duit kita banyak lagi dengan Kerajaan Persekutuan, dan kalau kita berhutang lebih RM300 juta dengan Kerajaan Persekutuan, boleh dikira kecil lagi (berbanding) duit yang disimpan RM14 bilion itu," katanya.

Terdahulu, Mohd Amar menjawab soalan dikemukakan Saiful Adli Abu Bakar (PAS-Salor) yang mahu tahu apakah strategi Kerajaan Negeri untuk meningkatkan jumlah hasil negeri dan adakah Kerajaan Negeri Kelantan mempunyai sumber baharu sebagai alternatif meningkatkan kewangan negeri.

Menjawab soalan berkenaan, Mohd Amar berkata ada beberapa strategi jangka pendek diambil Kerajaan Negeri Kelantan untuk tujuan berkenaan, antaranya pelarasan kadar baharu bayaran perkhidmatan membabitkan bayaran pendaftaran pindah milik pendaftaran gadaian dan bayaran royalti gadaian batuan.

Selain itu, ia membabitkan pelarasan cukai tanah di seluruh negeri, pungutan royalti mineral berasaskan keluaran secara bulanan dan mewartakan kawasan mendulang di bawah Seksyen 14 Enakmen Mineral 2001 bagi membolehkan pihak-pihak yang berminat memohon lesen dan memberi pulangan kepada Kerajaan Negeri Kelantan.

Sumber: Bernama | 31 Oktober 2018

12,672 bakal isi jawatan MPKK di Kelantan, LTSIP diharap dapat dinaik taraf sebagai sebuah lapangan terbang antarabangsa

Husam Musa
KOTA BHARU: Seramai 12,672 individu akan dilantik menganggotai Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kelantan yang diwujudkan di kesemua 792 kampung di seluruh negeri ini.

Pengerusi Pakatan Harapan negeri, Datuk Husam Musa berkata, pemilihan bagi jawatan tersebut dibuat kedua-dua belah pihak iaitu Kerajaan Persekutuan serta Kerajaan Pas Kelantan dan akan berkuat kuasa pada 1 Januari depan.

“Setiap MPKK di kampung-kampung mempunyai 16 anggota dan daripada jumlah itu, 11 anggota dilantik oleh kerajaan negeri manakala lima lagi dilantik oleh Kerajaan Pusat.

“Setiap MPKK akan diberikan geran RM10,000 untuk melaksanakan pelbagai program-program kesejahteraan dan kecantikan kampung,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Santai Petang Bersama Kepimpinan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) negeri di sini, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Husam berkata, MPKK diwujudkan bagi menggantikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang dibentuk oleh kerajaan terdahulu.

“MPKK mempunyai peranan sebagai perunding dan pemudah cara di peringkat kampung selain diberi peluang mencadangkan pembangunan projek di tempat masing-masing,” katanya.

Beliau dalam pada itu berkata, keputusan Kerajaan Persekutuan untuk meneruskan projek pembinaan lebuh raya di negeri ini merupakan satu khabar gembira dan rakyat berharap projek tersebut dapat disiapkan secepat mungkin.

Dalam masa yang sama, beliau juga berharap Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa bukan sahaja diperbesar, malah dinaik taraf sebagai sebuah lapangan terbang antarabangsa bagi me­lonjakkan sektor pelancongan negeri ini.

Sumber: Utusan Malaysia | 30 Oktober 2018

Gusar banjir teruk: Thailand bina tebatan banjir di tebing Sungai Golok

Projek tebatan banjir tebing Sungai Golok sudah siap dibina oleh kerajaan Thailand bagi mengelakkan limpahan air musim tengkujuh di Rantau Panjang, Kelantan, semalam.
RANTAU PANJANG: Saban tahun pekan ini akan ditenggelami banjir kesan limpahan air Sungai Golok apabila musim tengkujuh me­landa kawasan berkenaan.

Walaupun perkara tersebut sudah menjadi sebahagian dari darah daging mereka, namun penduduk di kawasan tersebut gusar apabila melihat kerajaan Thailand sedang rancak membina tebatan banjir di tebing su­ngai berkenaan ketika ini.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati benteng setinggi 1.5 meter sepanjang lebih dua kilo­meter sedang dibina oleh kerajaan negara tersebut bagi mengelakkan limpahan air su­ngai berkenaan memasuki kawasan mereka.

Difahamkan, pembinaan tersebut akan menyebabkan pekan ini akan mengalami banjir lebih teruk daripada biasa, bukan itu sahaja pertambahan paras air sebanyak satu meter dijangka berlaku sekiranya hujan lebat di kawasan berkenaan.

Seorang penduduk, Nik Fariman Nudin Che Ismail,45, berkata, dia gerun memikirkan banjir tahun ini selepas melihat kerancakkan kerja-kerja pembinaan benteng di Thailand.

“Pembinaan benteng ini akan menyebabkan kawasan Rantau Panjang menjadi lebih rendah dan tidak mustahil banjir besar akan berlaku,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Tambahnya, bukan itu sahaja pembinaan benteng tersebut dijangka menyebabkan aliran air Sungai Golok menjadi deras sekaligus boleh menghanyutkan rumah-rumah pen­duduk di sepanjang tebing.
 
Sumber: Utusan Malaysia | 30 Oktober 2018