Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Isnin, 11 Jun 2018

Bantuan sara hidup untuk penarik beca

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan, Datuk Mejar (B) Md Anizam Abd Rahman (kanan) bertanya khabar salah seorang penerima di majlis penyampaian Bantuan Sara Hidup Kepada Penarik Beca di Pusat Penerangan Pelancongan (TIC) negeri di Kota Bharu hari ini.
KOTA BHARU: Kerajaan Pas Kelantan menyerahkan bantuan sara hidup berjumlah RM16,800 atau RM600 seorang kepada 28 penarik beca yang masih aktif di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan, Datuk Mejar (B) Md Anizam Abd Rahman berkata, sumbangan tersebut adalah yang kali kedua disampaikan selepas bantuan sara hidup pertama pada 15 Mac lalu.

Beliau berkata, penyampaian bantuan itu bagi melunaskan manifesto Pas negeri pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang berjanji memberikan bantuan sara hidup sebanyak RM1,200 setahun kepada penarik beca.

“Kita sangat hargai kudrat penarik beca yang masih aktif dengan pekerjaan tradisional ini meskipun majoriti sudah berusia lanjut.

”Sesungguhnya ini adalah pekerjaan yang mulia kerana mengerah peluh keringat sendiri untuk menyempurnakan hajat orang yang mahu ke tempat seperti hospital, pasar dan sebagainya,” katanya selepas majlis penyampaian bantuan itu di Pusat Penerangan Pelancongan (TIC) negeri di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Setiausaha Kerajaan negeri (Pengurusan), Datuk Adnan Hussin dan Pengarah Perbadanan Muzium negeri, Mohamad Nazwan Ismail.

Md Anizam memberitahu, kerajaan negeri kini juga sedang menyempurnakan satu lagi janji untuk penarik beca iaitu pemasangan kelengkapan motor elektrik termasuk tayar baharu bernilai RM5,000 bagi setiap beca.

“Setakat ini kita sudah memasang motor elektrik kepada sembilan beca bermula sejak tiga minggu lalu, fasa pemasangan seterusnya akan diteruskan sehingga penghujung tahun ini atau awal tahun hadapan,”katanya.

Sementara itu, Ketua Penarik Beca, Che Udin Che Pa, 63, berkata pihaknya sangat menghargai sumbangan kerajaan negeri itu dan berharap ia akan diteruskan pada masa hadapan.

“Tahun inilah kali pertama kerajaan negeri memberi bantuan sara hidup kepada penarik beca, kami berharap ia akan menjadi bantuan tetap tahunan.

“Pemasangan motor elektrik pula sangat baik kerana tidak lagi perlu gunakan tenaga yang banyak kerana kebanyakan kami sudah tua,”katanya.

Sumber: Utusan Online | 11 Jun 2018

Sambal daging Wan Sabariah Pasir Mas jadi rebutan

Seorang pekerja menunjukkan serunding yang dihasilkan Perusahaan Wan Sabariah & Keluarga di Kampung Kuala Lemal, Pasir Mas.
PASIR MAS: Permintaan tinggi terhadap sambal daging atau serunding membuatkan kakitangan perusahaan Wan Sabariah & Keluarga, di Kuala Lemal, di sini tidak menang tangan untuk menyiapkan tempahan sepanjang musim perayaan ini.

Pemilik perusahaan itu, Sulaiman Ismail berkata, sepanjang Ramadan permintaan serunding yang diusahakannya meningkat sehingga 250 kilogram sehari.

Menurutnya, dia cukup bertuah apabila memiliki kakitangan yang komited dan mampu menyiapkan serunding itu selaras dengan tempahan yang diterima.

“Saya tidak menghadapi masalah membekalkan bahan mentah seperti daging, kelapa, rempah-ratus dan tenaga kerja yang cukup bagi memenuhi tempahan.

“Walaupun permintaan meningkat, namun kualiti serunding tetap menjadi keutamaan kerana tidak mahu menghampakan kepercayaan diberikan pelanggan,” katanya ketika ditemui di Kampung Kuala Lemal, di sini hari ini.

Sulaiman memberitahu, resipi serunding yang diusahakannya itu berasal dari Kampung Laut, Tumpat dan merupakan warisan keluarga arwah isterinya, Wan Sabariah Wan Ali.

“Jadi rasanya sama dengan produk serunding di Kampung Laut. Saya hasilkan empat produk serunding iaitu daging tempatan dan import, ayam dan ikan,” ujarnya.

Sulaiman berkata, serunding daging tempatan dijual dengan harga RM60 sekilogram, import (RM50 sekilogram), ayam (RM50 sekilogram) dan ikan (RM40 sekilogram).

Sumber: Utusan Online | Bisnes | 3 Jun 2018

Sindiket dadah tumpas di Tumpat dan Pasir Mas

Hasanuddin (dua, kiri) dan Din menunjukkan dadah yang dirampas daripada sindiket yang berjaya ditumpaskan sambil diperhatikan pegawai beliau.
KOTA BHARU: Polis Kelantan merampas 2,000 pil yaba seberat 200 gram dianggarkan bernilai RM20,000 sekali gus menumpaskan sindiket pengedaran dan penyeludupan dadah dari Thailand ke Malaysia.

Serbuan Ops Gaida yang dijalankan pegawai dan anggota tindakan khas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman itu bermula jam 3.45 petang melibatkan dua lokasi berasingan di Tumpat dan Pasir Mas pada 5 Jun lalu.

Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan berkata, hasil risikan dan maklumat awam dalam serbuan itu polis menahan enam suspek lelaki termasuk seorang warga Thailand berusia antara 23 hingga 51 tahun.

“Sepasukan polis mulanya menahan seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun di hadapan restoran di Kebakat, Tumpat. Berpandukan maklumat suspek, polis menyerbu rumahnya di Kampung Paloh, Wakaf Bharu, Tumpat dan menemui 2,000 pil yaba yang disorok di dalam kabinet dapur.

“Keterangan suspek mengaku bekalan dadah itu adalah miliknya yang diperoleh dari pembekal di negara jiran dengan kos RM11,000,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen, tadi.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Din Ahmad.

Beliau berkata, suspek dipercayai 'mastermind' sindiket dan mengaku aktif melakukan aktiviti pengedaran dadah di sekitar Rantau Panjang dan Wakaf Bharu sejak sebulan lalu.

“Susulan tangkapan suspek itu, pasukan sama melancarkan tiga serbuan di sekitar Pasir Mas dan Tumpat untuk menangkap saki baki sindiket terbabit.

Dalam operasi itu, polis berjaya menangkap lima lagi suspek termasuk seorang warga Thailand yang memiliki beberapa rekod jenayah lampau.

“Polis turut menyita tujuh kenderaan mewah termasuk Honda Odyssey, Nissan Fairlady dan Chevrolet Colorado serta wang tunai RM77,900.

Jumlah keseluruhan sitaan bernilai RM641,900,” katanya.


Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 10 Jun 2018

Aidilfitri 1439H: Satu juta kenderaan dijangka masuk Kelantan

Hasanuddin menyampaikan cenderamata kepada pengguna jalan raya sempena pelancaran Op Selamat 13/2018, hari ini.
KOTA BHARU: Dianggarkan lebih satu juta kenderaan perantau akan masuk ke Kelantan sempena perayaan Aidilfitri bermula malam tadi.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, semua kenderaan itu masuk melalui tiga laluan utama iaitu Pasir Puteh, Gua Musang dan Jeli.

“Perantau pulang ke kampung halaman bagi menyambut perayaan bersama sanak saudara serta sahabat handai. Justeru harus diingatkan kepada pengguna jalan raya supaya berhati-hati memandu.

“Memandangkan aliran trafik dijangka meningkat sebanyak satu juta kenderaan sepanjang musim perayaan ini, maka kebarangkalian kemalangan juga akan bertambah,” katanya pada Majlis Pelancaran Op Selamat 13/2018 di Lebuhraya Pasir Mas-Salor, Bandar Baru Tunjong, hari ini.

Hadir sama, Timbalannya, Datuk Din Ahmad; Timbalan Setiausaha Kerajaan, Datuk Adnan Hussin; Pengarah Hospital Raja Perempuan Zainab II, Datin Dr Selasawati Ghazali dan Pengurus Lamar Gallery, Mohd Izuddin Che Ariffin.

Hasanuddin berkata, pengguna jalan raya perlu berhemah, bersikap positif dan lebih penting mempraktikkan sikap hormat-menghormati di atas jalan raya.

“Semua pengguna tidak sabar untuk tiba di destinasi masing-masing, oleh demikian mereka tidak boleh mementingkan diri sebaliknya perlu bersabar dan bertolak ansur bagi mewujudkannya suasana jalan raya yang selamat.

“Analisis menunjukkan sikap dan kecuaian adalah punca utama kemalangan jalan raya. PDRM dan agensi lain sentiasa menekankan sedaya upaya, namun soal keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab dan bergantung pada pengguna,” katanya.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 10 Jun 2018

Jumaat, 8 Jun 2018

Terusan Semerak dan Pantai Tok Bali dibersihkan

Anggota kerja MDPP menjalankan kerja membersih laman utama Pantai Tok Bali di Pasir Puteh, Kelantan, hari ini.
PASIR PUTEH: Seramai 80 kakitangan Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) bergotong-royong membersih sekitar kawasan Terusan Semerak dan Pantai Tok Bali, dekat sini, hari ini.

Setiausaha MDPP, Rosdi Yaacob berkata, langkah membersihkan dua lokasi yang berdekatan itu bertujuan meningkatkan kebersihan dan keindahan sekitarnya yang kini menjadi lokasi tumpuan pengunjung untuk bersantai dan berkelah.

Beliau berkata, langkah tersebut adalah sebahagian kerja amal sosial yang telah dirancang selepas mendapati sikap pengunjung yang gemar membuang sampah di merata tempat.

“Kita berjaya membersihkan lokasi ini dalam tempoh lima jam bermula pada pukul 8 pagi.

“Ia melibatkan kerja mengutip sampah yang diterbangkan angin, sampah yang terperangkap di celahan benteng batu dan sisa buangan yang dibuang oleh pengunjung yang kurang bertanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas gotong-royong di Pantai Tok Bali, dekat sini, hari ini.

Rosdi berkata, pengunjung seharusnya lebih bertanggungjawab dengan membuang sampah sarap ke dalam tong yang telah disediakan.

Menurutnya, program itu juga sebagai persediaan menerima perantau yang akan berkelah di pantai itu sekembalinya mereka ke kampung halaman sepanjang Aidilfitri ini.

Sumber: Utusan Online | Wilayah - Kelantan | 7 Jun 2018