Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan, Datuk Mejar (B) Md Anizam Abd Rahman berkata, sumbangan tersebut adalah yang kali kedua disampaikan selepas bantuan sara hidup pertama pada 15 Mac lalu.
Beliau berkata, penyampaian bantuan itu bagi melunaskan manifesto Pas negeri pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang berjanji memberikan bantuan sara hidup sebanyak RM1,200 setahun kepada penarik beca.
“Kita sangat hargai kudrat penarik beca yang masih aktif dengan pekerjaan tradisional ini meskipun majoriti sudah berusia lanjut.
”Sesungguhnya ini adalah pekerjaan yang mulia kerana mengerah peluh keringat sendiri untuk menyempurnakan hajat orang yang mahu ke tempat seperti hospital, pasar dan sebagainya,” katanya selepas majlis penyampaian bantuan itu di Pusat Penerangan Pelancongan (TIC) negeri di sini hari ini.
Yang turut hadir Timbalan Setiausaha Kerajaan negeri (Pengurusan), Datuk Adnan Hussin dan Pengarah Perbadanan Muzium negeri, Mohamad Nazwan Ismail.
Md Anizam memberitahu, kerajaan negeri kini juga sedang menyempurnakan satu lagi janji untuk penarik beca iaitu pemasangan kelengkapan motor elektrik termasuk tayar baharu bernilai RM5,000 bagi setiap beca.
“Setakat ini kita sudah memasang motor elektrik kepada sembilan beca bermula sejak tiga minggu lalu, fasa pemasangan seterusnya akan diteruskan sehingga penghujung tahun ini atau awal tahun hadapan,”katanya.
Sementara itu, Ketua Penarik Beca, Che Udin Che Pa, 63, berkata pihaknya sangat menghargai sumbangan kerajaan negeri itu dan berharap ia akan diteruskan pada masa hadapan.
“Tahun inilah kali pertama kerajaan negeri memberi bantuan sara hidup kepada penarik beca, kami berharap ia akan menjadi bantuan tetap tahunan.
“Pemasangan motor elektrik pula sangat baik kerana tidak lagi perlu gunakan tenaga yang banyak kerana kebanyakan kami sudah tua,”katanya.
Sumber: Utusan Online | 11 Jun 2018
Tiada ulasan:
Catat Ulasan