Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 6 Jun 2018

RTS, projek Gemas - JB jadi tumpuan

Kawasan pembinaan Seksyen 4 terowong Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Bukit Bauk.
KUALA LUMPUR: Dalam tempoh hampir sebulan kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pemerintahan negara, dua projek rel mega telah dibatalkan iaitu Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur - Singapura (HSR) dan Laluan Tiga MRT (MRT3) yang masing-masing dianggar bernilai RM110 bilion dan RM45 bilion.

Berada dalam ‘radar’ pula ialah projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dianggar bernilai RM55 bi­lion, Sistem Transit Rel Johor Bahru - Singapura (RTS Line) bernilai RM4 bilion dan landasan berkembar Gemas - Johor Bahru (RM9.4 bilion).

Selain projek rel, antara projek mega lain yang mendapat tumpuan ialah Tun Razak Exchange (TRX). Hanya projek PNB 118 sahaja setakat ini disahkan oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) akan diteruskan, yang ketika ini sudah mencapai kemajuan pembinaan 18 tingkat.

Menurut CIMB Equities Research dalam nota kajiannya berkata, selepas PH memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), sebanyak 58 peratus daripada nilai projek mega rel telah dibatalkan, menjadikan projek sedia ada dalam skala yang lebih kecil.

“Projek ECRL juga mungkin dibatalkan tetapi tidak secepat yang menimpa HSR dan MRT3 kerana ia melibatkan isu undang-undang dan pengeluaran pinjaman yang memerlukan perbincangan lanjut dengan China,” katanya di sini hari ini.

Berdasarkan laporan media, pembatalan kontrak ECRL pada peringkat ini dengan RM20 bilion pinjaman telah dikeluarkan dan kerja-kerja infrastruktur pada 13 peratus setakat akhir April lalu, akan menyebabkan pinjaman tersebut batal dan kemungkinan mewujudkan klausa tambahan kepada faedah pinjaman yang perlu dibayar dalam tempoh tiga bulan.

Cadangan lain termasuklah mengurangkan bilangan stesen, menyelaraskan semula laluan terpilih dan melanjutkan tempoh projek dari 7 kepada 15 tahun.

CIMB Equities Research meng­anggarkan antara RM5 bilion hingga RM10 bilion iaitu kira-kira 20 peratus akan dipotong daripada jumlah kos RM55 bilion.

“Pada masa sama, selepas membatalkan kontrak HSR, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook mengalihkan perhatian kepada projek RTS yang te­lah diluluskan tetapi memerlukan semakan kos sebelum ia bermula,’’ katanya.

“Begitu juga dengan projek Gemas - Johor Bahru, sudah diluluskan tetapi hanya dari segi prinsip, tanpa sebarang petunjuk akan disemak atau tidak. Pada pendapat kami, kos RM1 bilion bagi satu kilometer projek RTS akan diteliti semula,” katanya.

Jelas firma penyelidikan itu, risiko bagi kedua-dua projek itu bergantung kepada penelitian kos, struktur projek, dana, kesan kepada kontraktor tempatan termasuk kontrak yang diluluskan di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) dahulu.

“Dengan memberi fokus kepada kontrak rel yang lebih kecil adalah positif tetapi ia kekal membimbangkan mengenai hasil yang berpotensi. Bagaimanapun, beberapa kontraktor berpendapat margin keuntungan bagi projek berskala rendah yang efektif adalah tidak menarik dan hanya memberi manfaat kepada kontraktor turnkey atau kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pelaksanaan (EPCC) berbanding subkontraktor,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Hospitaliti, Pelancongan dan Kesejahteraan Universiti Malaysia Kelantan, Prof. Dr. Khairil Wahidin Awang berkata, mengenai impak kepada ekonomi setempat, secara dasarnya, Kelantan lebih memerlukan lebuh raya empat lorong yang dapat mengurangkan masa perjalanan serta membantu penghantaran barangan pukal akan menjadi lebih efektif serta menjimatkan kos.

“Dalam konteks ini, lebuh raya, bukannya ECRL yang mampu membawa jumlah penumpang yang lebih ramai. Jadi, adalah berbaloi menggunakan dana kewangan untuk menaik taraf kemudahan di lebuh raya di samping memperbaiki kelemahan struktur Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) di tempat yang dikenal pasti.

“Sememangnya juga, lebuh raya seperti yang dibangunkan di pantai barat Semenanjung sekitar lewat 70-an dan awal 80-an mampu merancakkan lagi ekonomi kawasan sepanjang laluan jika dilaksanakan di Kelantan,” katanya. 
Sumber: Utusan Malaysia | Ekonomi | 5 Jun 2018 | Terbitan 6 Jun 2018

Tiada ulasan:

Catat Ulasan