Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 6 Jun 2018

HSR, MRT3 batal, teruskan ECRL

KAJIAN semula terhadap projek mega untuk menangani masalah hutang begitu kuat dilaungkan oleh kerajaan baharu dan begitu mengujakan rakyat. Akhirnya Mesyuarat Kabinet mengesahkan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) yang menelan belanja RM110 bilion dan projek Transit Ali­ran Massa 3 (MRT3) RM40 bilion – dibatalkan.

Bagaimanapun projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang membabitkan kos RM55 bilion masih dalam peringkat kajian semula selepas 14 peratus kerja-kerja pembinaan disiapkan. Maknanya ia belum lagi dibatalkan.

ECRL merupakan projek transformasi yang dicetuskan kerajaan terdahulu pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak supaya menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi negara terutamanya di wilayah Pantai Timur apabila siap pada 2024.

Dalam mesyuarat mingguan Kabinet baru-baru ini, Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad memberitahu sidang akhbar bahawa ECRL belum dibatalkan memandangkan banyak wang telah dibelanjakan ke atasnya. Beliau berkata kerajaan sedang mengkaji daya maju projek itu dan bagaimana untuk menanganinya dengan bijak. Rakyat mengalu-alukan kajian terhadap projek mega dalam usaha membantu negara menguruskan bebanan hutang sangat dipuji.

Projek ECRL yang membabitkan pembinaan laluan rel sejauh 688 kilometer merentasi sebahagian Selangor, Pahang, Terengganu dan Kelantan ini mempunyai matlamat mengurangkan masa perjalanan dan meningkatkan penggunaan rel berbanding kereta atau kapal terbang.

Perkembangan sekarang, difahamkan, terdapat beberapa pihak berusaha untuk menurunkan kos pembinaan ECRL. Beberapa sumber daripada industri rel memaklumkan kos tanpa faedah yang menelan belanja RM40 bilion itu membuatkan projek tersebut dilihat lebih bersesuaian untuk diteruskan.

Jika kos pembinaan ECRL dapat dikurangkan, situasi menang-menang boleh diperoleh, manakala bagi Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) pula, beban pinjaman yang lebih rendah membuatkan projek tersebut mempunyai peluang lebih baik.

Berdasarkan beberapa la­po­ran media, pembatalan pro­jek ECRL dijangka memberi kesan buruk kepada perjanjian pinjaman dengan China EXIM Bank.

Hal ini kerana jika projek tersebut dibatalkan, Malaysia perlu membayar jumlah penuh pinjaman tersebut dalam masa tiga bulan dan ia merupakan amaun terbesar yang perlu dibayar, apatah lagi Malaysia menanggung bebanan hutang sedia ada yang tinggi. Selain itu, pembayaran pampasan terhadap kontraktor dan pe­kerja juga perlu dilakukan.

Oleh sebab projek terse­but dimulakan sebagai ini­siatif kerajaan kepada ke­ra­­­­jaan (G2G), sudah tentu Ma­­­­­laysia akan berunding de­­­­­ngan kerajaan China bagi me­­­­nimbangkan semula kepu­tu­­san sama ada projek tersebut akan disambung atau dibatalkan. Ma­lah, sekiranya projek itu diteruskan, rakyat di Pantai Timur boleh dihubungkan dengan Pantai Barat.

Menjejaskan

Apa juga keputusannya, beban besar terletak di bahu kerajaan dalam menyelesaikan hutang negara itu. Kedengaran banyak pihak yang menggesa kerajaan pimpinan Tun Dr. Mahathir mengekalkan projek tersebut yang dimulakan oleh Najib.

Walaupun Majlis Penasihat Kerajaan bertegas projek raksasa ECRL akan menyebabkan rakyat menanggung beban hutang yang besar tetapi kerajaan Pas yang memerintah Kelantan dan Terengganu mengharapkan ia diteruskan.

Seruan ketara datang daripada penduduk Pantai Timur sendiri. Selaku Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berharap Kerajaan Pusat perlu merundingkan semula kos dan perjanjian projek itu agar menepati piawaian kewangan. Harapan mereka biarlah projek ECRL diteruskan kerana banyak pihak yang menanggung rugi jika ia dibatalkan.

Hasrat hendak membatalkan projek ECRL ini pernah mendapat bantahan ramai Ahli Parlimen Pakatan Harapan sebelum PRU-14 kerana bimbang Malaysia akan berhutang dengan China. Ini kerana pendapatan daripada sistem pengangkutan menghubungkan kawasan Pantai Timur yang kurang maju ke Pantai Barat, mungkin tidak membawa hasil yang banyak kepada negara.

Hasrat PH hendak membatalkan beberapa projek mega negara yang dilaksanakan bersama dengan syarikat China hanya akan menjejaskan hubungan Malaysia dengan negara kuasa besar ekonomi dunia itu.

Projek ECRL adalah peluang terbaik Malaysia untuk menjadi sebahagian daripada komponen penting Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI) China. Pada masa ini Malaysia mahu menilai semula projek ECRL, Thailand pula kini memikirkan peluang untuk membina terusan di Segenting Kra. Projek terusan ini bagi laluan kapal tanpa melalui Selat Melaka yang dikaitkan dengan BRI dan visi Laluan Sutera Maritim China.

Projek tersebut menghubungkan Laut China Selatan ke Laut Andaman yang menyambungkan Lautan Pasifik dengan Lautan Hindi. Pastinya ia memendekkan masa perjalanan perkapalan di laluan paling sibuk di dunia.

Secara tersirat, ECRL dirancang untuk menyediakan penyelesaian hampir sama iaitu memendekkan laluan Laut China Selatan dengan Selat Melaka. Yang membezakannya ialah barangan diangkut menggunakan kereta api dari Pelabuhan Kuantan ke Pelabuhan Klang di Semenanjung Malaysia.

Syarikat China mengharapkan pelan BRI ini menjadi realiti. Tambahan pula lebih 80 peratus import minyak China diangkut melalui Selat Melaka. Jika projek Terusan Kra dijalankan, maka Thailand bakal menjadi hab logistik kepada seluruh negara di dunia.

Bagaimanapun projek tersebut ditangguh kerana faktor keselamatan di selatan Thai. Namun sentiasa wujud peluang jika ECRL tidak diteruskan.
 
Sumber: Utusan Malaysia | Rencana | 3 Jun 2018

Tiada ulasan:

Catat Ulasan