SYARIKAT penerbangan AirAsia atau Thai AirAsia diharap dapat mempertimbangkan cadangan supaya diadakan penerbangan terus antarabangsa bagi laluan Kota Bharu - Bangkok.
Pada ketika ini, Thai AirAsia menawarkan perkhidmatan penerbangan sekali sehari bagi laluan Bangkok - Narathiwat yang mengambil masa kira-kira 1.5 jam sahaja. Setakat ini, ramai anak Kelantan yang ingin ke Bangkok terpaksa mengambil penerbangan dari Lapangan Terbang Narathiwat di selatan Thailand.
Penumpang dari Kelantan, Malaysia bukan sahaja terpaksa mengambil beberapa mod pengangkutan awam seperti bas, bot, feri, dan teksi untuk sampai ke Lapangan Terbang Narathiwat di selatan Thailand tetapi juga perlu melintasi Sungai Golok yang agak lebar di Pengkalan Kubor - Tak Bai. Sungai Golok yang menjadi sempadan antarabangsa Malaysia - Thailand pastinya menjadi satu cabaran tambahan untuk mengambil penerbangan dari Narathiwat ke Bangkok yang sebenarnya agak berisiko.
Dalam perkara ini, adalah lebih baik sekiranya syarikat penerbangan AirAsia atau Thai AirAsia dapat memperkenalkan laluan penerbangan Kota Bharu - Bangkok. Perkhidmatan penerbangan terus antarabangsa ini pastinya mendapat sambutan bukan hanya daripada rakyat Kelantan tetapi juga pelancong asing yang ingin ke Pulau Perhentian. Bagi rakyat Kelantan, mereka pastinya tidak perlu lagi mengambil penerbangan dari Narathiwat untuk ke Bangkok.
Bandar raya Bangkok, Thailand yang terkenal sebagai destinasi beli-belah dengan harga barangan yang murah, makanan halal yang mudah didapati, dan banyak hotel bajet pastinya akan dapat menarik lebih ramai penumpang dari Kelantan untuk melancong ke Bangkok. Manakala pelancong dari Bangkok yang ingin ke Pulau Perhentian, boleh mengambil penerbangan terus ke Kota Bharu dari Bangkok.
Untuk permulaan, AirAsia atau Thai AirAsia boleh menawarkan penerbangan tiga kali seminggu, iaitu pada setiap hari Ahad, Rabu, dan Jumaat. Penerbangan Kota Bharu - Bangkok dijangka mengambil masa kira-kira 1 jam 40 minit sahaja. Kempen untuk menarik seramai mungkin sokongan bagi cadangan laluan penerbangan ini masih diteruskan dan anda diminta 'like' laman sesawang Facebook ini sebagai tanda sokongan: www.facebook.com/laluankbbangkok.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan