Abdul Hafiz Imran (kiri) dan Rosdi dikawal polis keluar dari mahkamah selepas dituduh. |
KOTA BHARU: Dua lelaki dari sindiket Geng Mat Ganu dituduh atas dakwaan mengedar 123 gram (g) dadah jenis heroin, di mahkamah majistret, di sini, hari ini.
Mereka, Abdul Hafiz Imran Abd Latif, 27, dan Rosdi Mohd Khalid, 46, kedua-duanya dari Dungun, Terengganu didakwa bersama-sama mengedar dadah itu di hadapan sebuah kedai di Jalan Sultan Ibrahim, di sini, pada jam 10.45 malam, 12 Mac lalu.
Dakwaan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Pada prosiding itu, tiada pengakuan direkodkan dan kes ditetapkan untuk sebutan semula pad 19 Mei depan dan jaminan tidak dibenarkan.
Dalam pada itu, mereka mengaku tidak salah atas tuduhan kedua didakwa bersama-sama ada dalam kawalan 2g heroin pada masa, tarikh dan lokasi sama.
Tarikh sama ditetapkan untuk sebutan semula. Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Mohd Syarun Nizam Mohd Misan di hadapan Majistret, Mohamad Nasrudin Mohamed.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan dua lelaki dari anggota sindiket Geng Mat Ganu terbabit ditahan bersama 41 botol heroin dalam serbuan anggota serta pegawai Unit Task Force, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan.
Dadah itu dipercayai diseludup masuk dari Golok dan ditransitkan di Kota Bharu sebelum dibawa pulang ke Terengganu untuk pasaran sekitar negeri itu serta sehingga sejauh Kuantan, Pahang.
Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 26 Mac 2015
Tiada ulasan:
Catat Ulasan