Ketua Polis Daerah Kota Baharu ACP Rohaimi Md Isa berkata tiga suspek berusia 25 hingga 52 tahun ditahan dalam tiga serbuan berasingan yang dijalankan oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Kota Baharu.
"Kami menahan seorang lelaki berusia 52 tahun di sebuah rumah di Kampung Betong Seberang di sini dan menemui 10 botol plastik bertudung kuning dipercayai dadah, 230 pil kuda dan 0.3 gram ganja yang keseluruhannya bernilai RM51,600.
"Suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan kami percaya dengan tertangkapnya suspek ini, kami berjaya melumpuhkan kegiatan pengedaran dadah di sekitar Pasir Mas dan Kota Baharu," katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Baharu di sini, Ahad.
Rohaimi berkata dua lagi suspek ditahan dalam dua serbuan berasingan di Kampung Belukar Jenerih dan Kampung Wakaf Stan di sini.
"Kami merampas 600 pil kuda dan tiga botol cerah berisi serbuk putih dipercayai dadah yang jumlah keseluruhan bernilai RM7,350," katanya.
Rohaimi berkata kesemua suspek kini direman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata pada 11 Feb lalu pihaknya menahan seorang lelaki berusia 27 tahun kerana menjual 32 bungkus air daun ketum di rumahnya di Kampung Bukit China di sini.
"Suspek ditahan pada 8 malam dan kami percaya suspek memperoleh bekalan air ketum dari Kemaman, Terengganu. Ia dijual kepada pelanggan tetap dengan setiap satu berharga RM20," katanya.
Sumber: BERNAMA | 15 Februari 2015
Tiada ulasan:
Catat Ulasan