Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Ahad, 30 Oktober 2016

Penduduk DUN Selising dapat faedah naik taraf Jalan Bukit Abal - Alor Hijau

PASIR PUTEH: Lebih 20,000 penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selising di sini, mendapat faedah daripada projek menaik taraf jalan kampung yang menghubungkan Bukit Abal ke Alor Hijau di sini.

Anggota DUN Selising, Zulkifli Ali berkata kerja menaik taraf jalan sepanjang 10 kilometer itu menerusi peruntukan kerajaan Persekutuan membabitkan kos RM5.7 juta, telah siap sepenuhnya pada Jun lepas.

Penduduk terbabit dari Kampung Bukit Abal, Kampung Atas Bukit Abal, Kampung Banggol, Kampung Berangan dan Kampung Alor Hijau, katanya kepada pemberita selepas melancarkan pasar tani di Kampung Alor Hijau di sini, hari ini.

Turut hadir Penyelaras Pasar Tani Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Kelantan, Mohd Yusuf Sulaiman.

Zulkifli berkata jalan itu kini menjadi nadi kepada penduduk terutamanya bagi mengeluarkan hasil pertanian untuk dipasarkan di pekan Selising dan bandar Pasir Puteh.

Sementara itu, Mohd Yusuf berkata sehingga kini, sebanyak 28 pasar tani diwujudkan di seluruh negeri ini bagi memberi peluang kepada 1,057 petani memasarkan sendiri hasil pertanian mereka.

Katanya pada tahun depan, Fama bercadang mewujudkan dua lagi pasar tani masing-masing di Kota Bharu dan Pasir Mas.

Sumber: Bernama | 28 Oktober 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan