Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Ahad, 30 Mac 2014

Kaki kanan kanak-kanak 7 tahun tersepit di dalam lubang tandas

Pasukan Bomba Ayer Keroh bertindak memecahkan mangkuk tandas bagi mengeluarkan kaki kanak-kanak yang tersepit. Foto: The Star
MELAKA: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun terpaksa menahan kesakitan hampir dua jam setelah kaki kanannya tersepit di dalam lubang tandas di rumahnya di Taman Tasik Utama di sini Ahad.

Dalam kejadian kira-kira 9.45 pagi tadi, Muhammad Daniel Amir sedang mandi apabila dengan tiba-tiba kaki kanannya termasuk ke dalam lubang tandas itu.

Bapanya Amir Ali, 47, berkata ketika kejadian, mereka sekeluarga sedang bersiap untuk keluar membeli barangan dapur di bandar Melaka.

"Saya terdengar jeritan Daniel lalu terus meluru ke bilik air untuk lihat keadaan dia dan saya nampak kakinya sudah termasuk ke dalam lubang tandas sehingga paras lutut," katanya ketika dihubungi Bernama di sini Ahad.

Katanya beliau cuba mengeluarkan kaki anak sulung daripada tiga beradik itu selama setengah jam, namun gagal sebelum menghubungi bomba.

Pegawai Bomba Kanan II Balai Bomba Ayer Keroh Mohd Shahril Zauni berkata pihaknya memecahkan mangkuk tandas itu bagi mengeluarkan kaki kanak-kanak itu pada 11.40 pagi.

Amir berkata Muhammad Daniel tidak mengalami sebarang kecederaan selepas kakinya dikeluarkan anggota bomba.
Bagaimanapun, katanya, beliau akan membawa anaknya itu ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

Sumber: mStar Online | 30 Mac 2014

Kutipan tol di Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah bermula 1 April ini

Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (Jambatan Kedua Pulau Pinang) mula dibuka kepada umum pada 2 Mac lalu.
GEORGE TOWN: Kutipan tol bagi Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam (Jambatan Kedua Pulau Pinang) akan mula dibuat bermula 1 April ini. Kadar tol yang dikenakan bermula dari RM1.70 hingga RM70.10.

Menerusi kenyataan pada Ahad, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mengumumkan bahawa kadar tol bagi kereta kecuali teksi dan bas (kelas 1) adalah sebanyak RM8.50; motosikal (kelas 0), RM1.70; kenderaan enam tayar kecuali bas (kelas 2), RM30.50; kenderaan kelas 3, RM70.10; teksi (kelas 4), RM8.50 dan bas (kelas 5), RM26.20.
Jambatan kedua Pulau Pinang itu mula dibuka kepada umum pada 2 Mac lalu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Sumber: mStar Online | 30 Mac 2014

Kajian pembinaan pagar keselamatan di sempadan Malaysia - Thailand di Kelantan

TUMPAT: Kerajaan sedang dalam proses menyelidik dan mengkaji pembinaan pagar keselamatan di kawasan sempadan Malaysia - Thailand di Kelantan, kata Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Mohamad Khalid Sharif.

Beliau berkata proses berkenaan dilakukan sebuah jawatankuasa khas yang ditubuhkan pihaknya bagi mengkaji kos dan meninjau tapak bagi membina pagar keselamatan itu.

"Jawatankuasa tersebut dikenali sebagai Jawatankuasa Pasukan Teknikal Pagar Keselamatan dan sekarang kita masih dalam peringkat kajian kerana ia melibatkan kos yang besar.

"Kita perlu pasang di sempadan Malaysia - Thailand iaitu di sempadan antara negeri Kelantan dan Narathiwat, Thailand dan ia melibatkan jarak sejauh 126 kilometer," katanya pada sidang akhbar di Pangkalan Pasukan Gerakan Marin Pengkalan Kubor di sini Ahad.

Turut hadir Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan, Datuk Makhtar Mustapa, Ketua Polis Kelantan Datuk Jalaluddin Abdul Rahman dan Komander UPP Kelantan Rusli Karim.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam satu kenyataan tahun lepas berkata pagar keselamatan bakal dipasang di sepanjang sempadan Malaysia - Thailand di Kelantan bagi membanteras kegiatan penyeludupan.

Mohamad Khalid berkata pihaknya memandang serius aktiviti penyeludupan barangan khususnya barangan subsidi.

"Barangan subsidi yang diberikan kerajaan untuk kegunaan rakyat negara ini tetapi ia diseludup keluar negara. Ia perkara yang tidak boleh diterima.

"Penyeludupan memberi kesan dari segi ekonomi, keselamatan dan sosial kerana ada barangan terlarang dibawa masuk ke sini seperti senjata dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata kerjasama dengan kerajaan negeri Kelantan diperlukan bagi memudahkan proses pembinaan pagar keselamatan itu.

"Kami perlu kerjasama kerajaan negeri kerana ia membabitkan tanah milik kerajaan negeri dan penduduk yang tinggal di kawasan sempadan berkenaan," kata Mohamad Khalid.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata pihaknya akan meluaskan operasi Unit Pencegah Penyeludupan ke Sabah dan Sarawak.

"Ini merupakan usaha untuk membanteras penyeludupan di Sabah dan Sarawak selain salah satu pelan transformasi kerajaan dalam usaha mengurangkan aktiviti penyeludupan di sempadan negara," katanya.

Suimber: Bernama | 30 Mac 2014

MAS masih antara yang terbaik di dunia

LEBIH 100 anugerah dari luar dan dalam negara diperoleh Penerbangan Malaysia (MAS) dalam tempoh 10 tahun lalu masih jadi kekuatan bagi syarikat penerbangan nasional itu untuk mengekalkan kedudukan meskipun dilanda kontroversi kehilangan pesawat MH370.

Itu kekuatan MAS, seperti ulasan dalam laman web Airline Ratings yang menilai kualiti syarikat penerbangan seluruh dunia.

Di sebalik nahas tidak diduga melibatkan penerbangan MH370 yang sampai sekarang masih belum ditemui jawapan tuntas sebalik kehilangannya, sukar untuk menafikan bahawa MAS masih antara syarikat penerbangan terbaik dunia, sama ada dari segi kualiti perkhidmatan dan produk mahupun tahap keselamatan.

Sejak memulakan perkhidmatannya pada 1947 dan selepas puluhan ribu penerbangan, rekod keselamatan MAS antara paling cemerlang di dunia, sekali gus menjelaskan perasaan terkejut ramai pakar penerbangan apabila MH370 dilaporkan hilang.

Dari segi kewangan, MAS dijangka mampu bangkit semula dari tragedi hitam ini. Pakar Ekonomi Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Datuk Dr Amir Hussin Baharuddin dalam satu laporan Sinar Harian berkata, insiden MH370 tidak boleh melemahkan semangat MAS.

“Sebelum ini syarikat itu pernah berhadapan tempoh getir ketika kejadian pesawatnya terhempas di Tanjung Kupang, Johor pada 1977, dan mereka masih bertahan sampai hari ini,” katanya.

Amir Hussin berkata, apa yang menimpa MH370 tidak bermakna ekonomi MAS, terutamanya prospek perkembangan akan terhalang kerana mereka pasti mampu memperbaiki segala kelemahan yang ada.

Ketua Ekonomi dan Strategi Pelaburan AMP Capital Investors Dr Shane Oliver juga berkata, peristiwa MH370 tidak akan memberikan impak jangka panjang ke atas prospek pertumbuhan MAS seperti dilaporkan Bernama sehari selepas pesawat itu dilaporkan hilang.

“Kejadian seperti itu sudah pasti negatif kepada MAS dalam jangka pendek berikutan siasatan dan publisiti negatif.

“Namun, jika syarikat penerbangan itu mematuhi semua aspek keselamatan atau membetulkan masalah dengan segera, saya tidak jangka ia  memberi kesan berpanjangan ke atas prospek pertumbuhannya,” katanya.

MAS syarikat penerbangan lima bintang

Dari segi kualiti pula, MAS antara yang terbaik. Daripada ratusan syarikat penerbangan yang dinilai firma perunding Skytrax di seluruh dunia, hanya tujuh dikelaskan sebagai syarikat penerbangan lima bintang, dan MAS adalah satu daripadanya.

Faktor utama mendapatkan lima bintang adalah keupayaan syarikat penerbangan memberikan perkhidmatan dan produk berkualiti tinggi secara amat konsisten, menurut Skytrax berpusat di Britain.

Antara anugerah diteima MAS adalah Kru Kabin Terbaik Dunia (2001–2004, 2007, 2009, 2012), Syarikat Penerbangan 5-Bintang (2005–2007, 2009, 2012), Anugerah Kelas Ekonomi Terbaik Dunia (2010) dan Syarikat Penerbangan Peneraju Asia (2010, 2011).

Jika dilihat sejarah industri penerbangan dunia, syarikat penerbangan lain yang sebelum ini pernah dilanda masalah luar jangkaan sehingga menyebabkan kematian, seperti US Airways, Singapore Airlines dan China Airlines kini dinamakan antara syarikat penerbangan paling selamat di dunia oleh Airline Ratings.

Namun bagi Skytrax, yang menjalankan penilaian dan penyelidikan terhadap syarikat penerbangan komersial serta lapangan terbang, tiada ranking tepat boleh dikeluarkan berhubung tahap keselamatan syarikat penerbangan pada masa ini.

“Skytrax tidak menerbitkan penilaian standard keselamatan syarikat penerbangan atau senarai rekod keselamatan mereka kerana tidak ada rujukan tepat di peringkat global mengenai standard keselamatan dan/atau insiden keselamatan yang boleh dipercayai sepenuhnya oleh penumpang dalam memilih syarikat penerbangan,” menurut firma itu dalam laman webnya.

Menurut Skytrax, laporan berhubung keselamatan syarikat penerbangan tidak dapat diterbitkan kerana kesukaran mendapatkan laporan tepat dan konsisten daripada syarikat penerbangan di seluruh dunia atau jaminan mendapatkan laporan konsisten daripada pihak berkuasa di seluruh dunia mengenai insiden keselamatan membabitkan syarikat mereka.

Sumber: Sinar Harian | Analisis Berita | 30 Mac 2014

Tragedi MH370: Pasangan Philip Wood percaya pesawat tidak terhempas

Sarah Bajc di temubual dalam BBC News.
SHAH ALAM: Pasangan kepada salah seorang penumpang pesawat MH370, Philip Wood iaitu Sarah Bajc percaya pesawat itu tidak terhempas.

Sebaliknya, beliau dalam satu temu bual dengan saluran BBC News merasakan seolah-olah wujud motif lain di sebalik kehilangan pesawat tersebut.

“Setiap jenayah mesti ada niat dan motif di sebaliknya. Ada 30 jurutera pertahanan dalam pesawat itu dengan kemahiran yang unik.

“Mereka boleh menjadi sesuatu yang berharga untuk mana-mana negara yang mencari kelebihan untuk peralatan tentera mereka. Ada banyak motif di sebaliknya, tapi saya tak nampak ada motif untuk seseorang membuatkan pesawat terhempas,” katanya.

Menurut Bajc, beliau tidak memiliki kepakaran dan hanya membuat andaian berdasarkan common sense.

Namun, katanya, pandangan sama juga banyak disuarakan pakar penerbangan dalam laman Facebook yang diwujudkan dengan nama ‘Finding Philip Wood’.

“Kebanyakannya berpandangan pesawat itu dirampas, bukannya terhempas. Jadi saya pelik mengapa usaha pencarian hanya tertumpu di lautan.

“Saya percaya ada sesuatu berlaku disebaliknya dan ramai merasakan kerajaan cuba mengelirukan kami,” katanya.

Sumber: Sinar Harian | 30 Mac 2014

Sukan tomoi bukan untuk bentuk diri jadi 'gedebe'

Dua pelatih muda tomoi mempamerkan kemahiran pada majlis tamat latihan di Gelanggang Gerak Kilat, Kampung Temila, kelmarin.
PASIR PUTEH: Walaupun sukan tomoi atau Muay Thai berasal dari Thailand, usaha mengembangkannya di negeri ini tetap disambut baik demi memperkayakan lagi seni mempertahankan diri.

Adun Semerak, Zawawi Othman berkata, masyarakat negeri ini sudah sinonim dengan seni mempertahankan diri tempatan seperti silat dan kini ia ditambah dengan satu lagi kemahiran dari negara jiran.

Katanya, tidak menjadi kesalahan mempelajarinya malah ia wajar mendapat pujian kerana golongan muda khususnya dibekalkan dengan pelbagai ilmu dan kemahiran.

“Asasnya adalah seni untuk mempertahankan diri dalam situasi memerlukan. Bukan menggunakannya untuk jalan yang salah dan bukan juga untuk membentuk diri menjadi samseng atau ‘gedebe’.

“Mempelajari kemahiran ini juga bererti meningkatkan jati diri yang mana secara simboliknya, mempertahankan maruah agama, bangsa dan tanah air daripada sebarang bentuk ancaman,” katanya ketika merasmikan Majlis Tamat Latihan Tomoi Gelanggang Gerak Kilat di Kampung Temila, kelmarin.

Seramai 20 pelatih kanak-kanak menamatkan perguruan di bawah bimbingan Zakaria Ali, 58 diiringi keluarga masing-masing yang membawa pulut semangat sebagai tanda sokongan moral terhadap penglibatan anak-anak dalam aktiviti sihat.

Zawawi berkata, pendedahan awal kepada kanak-kanak perlu dalam usaha mengekalkan seni mempertahankan diri itu di negeri ini.

“Melatih kanak-kanak atau generasi baharu mendalami seni mempertahankan diri seperti ini merupakan kaedah tepat sekiranya kita ingin melihat ia kekal dipraktikkan pada masa akan datang.

“Tidak ada cara lain. Sebab itu saya menghargai sumbangan penggiat setempat yang terus memberikan komitmen tinggi menurunkan ilmu kepada generasi muda," katanya.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 30 Mac 2014

Jumaat, 28 Mac 2014

Perakam suara kokpit tidak akan bantu merungkai misteri MH370

KUALA LUMPUR: Perakam suara kokpit (CVR) Malaysia Airlines MH370 tidak akan menghasilkan sebarang jawapan mengenai tempoh kritikal pesawat yang menyimpang dari laluan penerbangannya ke Beijing berikutan data suara telah dipadamkan disebabkan kitaran rakaman selama dua jam oleh perakam itu.

Hal ini bermakna penyiasat tidak mungkin menyelesaikan misteri MH370 dengan sepenuhnya kerana ia akan menjadi mustahil untuk mengetahui apa yang berlaku di dalam kokpit selepas pesawat terputus hubungan dengan kawalan trafik udara di ruang udara sempadan Malaysia - Vietnam.

Menurut sumber yang biasa menjalankan tugas berkaitan "kotak hitam", yang terdiri daripada CVR dan Perakam Data Penerbangan (FDR), berkata maklumat teknikal dari FDR sahaja tidak akan mencukupi sekiranya penyiasat mendapati bahawa kesilapan mekanikal bukan masalah kepada punca kehilangan pesawat.

"Pakar terlatih akan mendapat banyak maklumat daripada Perakam Data Penerbangan. Tetapi bagaimana sekiranya ia bukan masalah mekanikal tetapi tindakan yang disengajakan? Saya fikir kita tidak akan mendapat tahu tentang apa yang sebenarnya berlaku tanpa data suara," katanya.

Menurut firma AS Honeywell Aerospace yang membekalkan kotak hitam, hanya rakaman dua jam terakhir dikekalkan apabila perakam itu akan terus membuat rakaman dengan sendiri sepanjang penerbangan.

"Prinsip ini adalah amalannya kerana kebiasaannya bahagian terakhir penerbangan yang menentukan punca kemalangan itu," lapor BBC.

Operasi mencari dan menyelamat menyeluruh untuk mencari MH370 di selatan Lautan Hindi, dilihat akan menjadi lebih sukar sekiranya perakam tidak dijumpai sebelum kedua-dua bateri Beacon kehabisan tenaga bateri dalam tempoh kira-kira dua minggu.

Walaupun Tentera Laut AS Towed Pinger Locator 25 (TPL-25) tiba di Perth pada Khamis, pihak berkuasa belum lagi mengenal pasti sama ada serpihan yang dilihat oleh satelit itu mempunyai kaitan dengan MH370.

The Telegraph dari UK memetik pakar penerbangan David Barry sebagai berkata bahawa "ping" dari beacon boleh berterusan selama tambahan 10 hari.

"Memandangkan di kawasan terpencil dan kedalaman air serta cuaca di sana (selatan Lautan hindi), kotak hitam mungkin hampir mustahil untuk dicari.

"Ia kemudiannya akan menjadi kes mencari bangkai (pesawat), mungkin memakan masa beberapa tahun," katanya.

Sumber: mStar Online | 28 Mac 2014