Dua pelatih muda tomoi mempamerkan kemahiran pada majlis tamat latihan di Gelanggang Gerak Kilat, Kampung Temila, kelmarin. |
PASIR PUTEH: Walaupun sukan tomoi atau Muay Thai berasal dari Thailand, usaha mengembangkannya di negeri ini tetap disambut baik demi memperkayakan lagi seni mempertahankan diri.
Adun Semerak, Zawawi Othman berkata, masyarakat negeri ini sudah sinonim dengan seni mempertahankan diri tempatan seperti silat dan kini ia ditambah dengan satu lagi kemahiran dari negara jiran.
Katanya, tidak menjadi kesalahan mempelajarinya malah ia wajar mendapat pujian kerana golongan muda khususnya dibekalkan dengan pelbagai ilmu dan kemahiran.
“Asasnya adalah seni untuk mempertahankan diri dalam situasi memerlukan. Bukan menggunakannya untuk jalan yang salah dan bukan juga untuk membentuk diri menjadi samseng atau ‘gedebe’.
“Mempelajari kemahiran ini juga bererti meningkatkan jati diri yang mana secara simboliknya, mempertahankan maruah agama, bangsa dan tanah air daripada sebarang bentuk ancaman,” katanya ketika merasmikan Majlis Tamat Latihan Tomoi Gelanggang Gerak Kilat di Kampung Temila, kelmarin.
Seramai 20 pelatih kanak-kanak menamatkan perguruan di bawah bimbingan Zakaria Ali, 58 diiringi keluarga masing-masing yang membawa pulut semangat sebagai tanda sokongan moral terhadap penglibatan anak-anak dalam aktiviti sihat.
Zawawi berkata, pendedahan awal kepada kanak-kanak perlu dalam usaha mengekalkan seni mempertahankan diri itu di negeri ini.
“Melatih kanak-kanak atau generasi baharu mendalami seni mempertahankan diri seperti ini merupakan kaedah tepat sekiranya kita ingin melihat ia kekal dipraktikkan pada masa akan datang.
“Tidak ada cara lain. Sebab itu saya menghargai sumbangan penggiat setempat yang terus memberikan komitmen tinggi menurunkan ilmu kepada generasi muda," katanya.
Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 30 Mac 2014
Tiada ulasan:
Catat Ulasan