LEBIH 100 anugerah dari luar dan dalam negara diperoleh Penerbangan Malaysia (MAS) dalam tempoh 10 tahun lalu masih jadi kekuatan bagi syarikat penerbangan nasional itu untuk mengekalkan kedudukan meskipun dilanda kontroversi kehilangan pesawat MH370.
Itu kekuatan MAS, seperti ulasan dalam laman web Airline Ratings yang menilai kualiti syarikat penerbangan seluruh dunia.
Di sebalik nahas tidak diduga melibatkan penerbangan MH370 yang sampai sekarang masih belum ditemui jawapan tuntas sebalik kehilangannya, sukar untuk menafikan bahawa MAS masih antara syarikat penerbangan terbaik dunia, sama ada dari segi kualiti perkhidmatan dan produk mahupun tahap keselamatan.
Sejak memulakan perkhidmatannya pada 1947 dan selepas puluhan ribu penerbangan, rekod keselamatan MAS antara paling cemerlang di dunia, sekali gus menjelaskan perasaan terkejut ramai pakar penerbangan apabila MH370 dilaporkan hilang.
Dari segi kewangan, MAS dijangka mampu bangkit semula dari tragedi hitam ini. Pakar Ekonomi Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Datuk Dr Amir Hussin Baharuddin dalam satu laporan Sinar Harian berkata, insiden MH370 tidak boleh melemahkan semangat MAS.
“Sebelum ini syarikat itu pernah berhadapan tempoh getir ketika kejadian pesawatnya terhempas di Tanjung Kupang, Johor pada 1977, dan mereka masih bertahan sampai hari ini,” katanya.
Amir Hussin berkata, apa yang menimpa MH370 tidak bermakna ekonomi MAS, terutamanya prospek perkembangan akan terhalang kerana mereka pasti mampu memperbaiki segala kelemahan yang ada.
Ketua Ekonomi dan Strategi Pelaburan AMP Capital Investors Dr Shane Oliver juga berkata, peristiwa MH370 tidak akan memberikan impak jangka panjang ke atas prospek pertumbuhan MAS seperti dilaporkan Bernama sehari selepas pesawat itu dilaporkan hilang.
“Kejadian seperti itu sudah pasti negatif kepada MAS dalam jangka pendek berikutan siasatan dan publisiti negatif.
“Namun, jika syarikat penerbangan itu mematuhi semua aspek keselamatan atau membetulkan masalah dengan segera, saya tidak jangka ia memberi kesan berpanjangan ke atas prospek pertumbuhannya,” katanya.
MAS syarikat penerbangan lima bintang
Dari segi kualiti pula, MAS antara yang terbaik. Daripada ratusan syarikat penerbangan yang dinilai firma perunding Skytrax di seluruh dunia, hanya tujuh dikelaskan sebagai syarikat penerbangan lima bintang, dan MAS adalah satu daripadanya.
Faktor utama mendapatkan lima bintang adalah keupayaan syarikat penerbangan memberikan perkhidmatan dan produk berkualiti tinggi secara amat konsisten, menurut Skytrax berpusat di Britain.
Antara anugerah diteima MAS adalah Kru Kabin Terbaik Dunia (2001–2004, 2007, 2009, 2012), Syarikat Penerbangan 5-Bintang (2005–2007, 2009, 2012), Anugerah Kelas Ekonomi Terbaik Dunia (2010) dan Syarikat Penerbangan Peneraju Asia (2010, 2011).
Jika dilihat sejarah industri penerbangan dunia, syarikat penerbangan lain yang sebelum ini pernah dilanda masalah luar jangkaan sehingga menyebabkan kematian, seperti US Airways, Singapore Airlines dan China Airlines kini dinamakan antara syarikat penerbangan paling selamat di dunia oleh Airline Ratings.
Namun bagi Skytrax, yang menjalankan penilaian dan penyelidikan terhadap syarikat penerbangan komersial serta lapangan terbang, tiada ranking tepat boleh dikeluarkan berhubung tahap keselamatan syarikat penerbangan pada masa ini.
“Skytrax tidak menerbitkan penilaian standard keselamatan syarikat penerbangan atau senarai rekod keselamatan mereka kerana tidak ada rujukan tepat di peringkat global mengenai standard keselamatan dan/atau insiden keselamatan yang boleh dipercayai sepenuhnya oleh penumpang dalam memilih syarikat penerbangan,” menurut firma itu dalam laman webnya.
Menurut Skytrax, laporan berhubung keselamatan syarikat penerbangan tidak dapat diterbitkan kerana kesukaran mendapatkan laporan tepat dan konsisten daripada syarikat penerbangan di seluruh dunia atau jaminan mendapatkan laporan konsisten daripada pihak berkuasa di seluruh dunia mengenai insiden keselamatan membabitkan syarikat mereka.
Sumber: Sinar Harian | Analisis Berita | 30 Mac 2014
Tiada ulasan:
Catat Ulasan