Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Ahad, 30 Mac 2014

Kajian pembinaan pagar keselamatan di sempadan Malaysia - Thailand di Kelantan

TUMPAT: Kerajaan sedang dalam proses menyelidik dan mengkaji pembinaan pagar keselamatan di kawasan sempadan Malaysia - Thailand di Kelantan, kata Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Mohamad Khalid Sharif.

Beliau berkata proses berkenaan dilakukan sebuah jawatankuasa khas yang ditubuhkan pihaknya bagi mengkaji kos dan meninjau tapak bagi membina pagar keselamatan itu.

"Jawatankuasa tersebut dikenali sebagai Jawatankuasa Pasukan Teknikal Pagar Keselamatan dan sekarang kita masih dalam peringkat kajian kerana ia melibatkan kos yang besar.

"Kita perlu pasang di sempadan Malaysia - Thailand iaitu di sempadan antara negeri Kelantan dan Narathiwat, Thailand dan ia melibatkan jarak sejauh 126 kilometer," katanya pada sidang akhbar di Pangkalan Pasukan Gerakan Marin Pengkalan Kubor di sini Ahad.

Turut hadir Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan, Datuk Makhtar Mustapa, Ketua Polis Kelantan Datuk Jalaluddin Abdul Rahman dan Komander UPP Kelantan Rusli Karim.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam satu kenyataan tahun lepas berkata pagar keselamatan bakal dipasang di sepanjang sempadan Malaysia - Thailand di Kelantan bagi membanteras kegiatan penyeludupan.

Mohamad Khalid berkata pihaknya memandang serius aktiviti penyeludupan barangan khususnya barangan subsidi.

"Barangan subsidi yang diberikan kerajaan untuk kegunaan rakyat negara ini tetapi ia diseludup keluar negara. Ia perkara yang tidak boleh diterima.

"Penyeludupan memberi kesan dari segi ekonomi, keselamatan dan sosial kerana ada barangan terlarang dibawa masuk ke sini seperti senjata dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata kerjasama dengan kerajaan negeri Kelantan diperlukan bagi memudahkan proses pembinaan pagar keselamatan itu.

"Kami perlu kerjasama kerajaan negeri kerana ia membabitkan tanah milik kerajaan negeri dan penduduk yang tinggal di kawasan sempadan berkenaan," kata Mohamad Khalid.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata pihaknya akan meluaskan operasi Unit Pencegah Penyeludupan ke Sabah dan Sarawak.

"Ini merupakan usaha untuk membanteras penyeludupan di Sabah dan Sarawak selain salah satu pelan transformasi kerajaan dalam usaha mengurangkan aktiviti penyeludupan di sempadan negara," katanya.

Suimber: Bernama | 30 Mac 2014

Tiada ulasan:

Catat Ulasan