Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 2 April 2014

Lapor penipuan memeluk Islam untuk raih sumbangan wang - JHEAT

KUALA TERENGGANU: Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) meminta orang ramai di negeri ini melaporkan kepada pihaknya berhubung penipuan sekumpulan individu yang memeluk agama Islam hanya untuk meraih sumbangan wang ringgit.

Pesuruhjayanya Datuk Mohd Rozali Saleh berkata jabatannya telah memberi peringatan kepada semua masjid dan surau untuk mengambil tindakan jika didatangi kumpulan seperti itu.

Katanya walaupun kejadian seumpama ini tidak berlaku di Terengganu namun pihaknya memandang serius penipuan berkenaan yang dilaporkan berlaku di beberapa negeri lain baru-baru ini.

"Setakat ini, di Terengganu kita tidak menerima aduan mahupun laporan namun kita tidak akan berkrompromi jika mengesan kes seperti ini.

"Kita telah mengingatkan dan menghebahkan perkara ini di semua masjid agar tidak tertipu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sebelum ini beberapa negeri lain telah mengesan penipuan ini yang dilakukan satu keluarga yang dipercayai diketuai seorang wanita.

Keluarga berkenaan akan melafazkan kalimah syahadah berkali-kali dengan tujuan mendapatkan simpati, bantuan kewangan dan sumbangan orang ramai terutamanya masyarakat Islam setempat.

Sumber: Bernama | 1 April 2014

Pelaksanaan projek Lebuh Raya Kota Bharu - Kuala Krai bukti janji ditepati - Muhyiddin

KOTA BHARU: Pelaksanaan projek lebuh raya Kota Bharu - Kuala Krai hari ini adalah bukti benarnya slogan "janji ditepati" oleh Kerajaan Persekutuan, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pembinaan lebuh raya itu, katanya adalah antara tujuh janji diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk rakyat Kelantan dalam lawatannya ke negeri itu pada 20 Jan tahun lepas.

"Ini bukti jelas apa yang disebut oleh Perdana Menteri dalam lawatan ke Kelantan sebelum pilihan raya (umum ke-13) dulu kita laksanakan, walaupun ia dibuat secara berperingkat-peringkat, pastinya kita tidak akan buat setakat itu sahaja, kita akan buat hingga selesai lebuh raya ini," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau sebelum itu merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Lebuh Raya Kota Bharu - Kuala Krai bagi pakej 1B: Pasir Hor ke Kadok di sini, hari ini.

Projek Lebuh Raya Kota Bharu - Kuala Krai sepanjang 73.5 km dengan anggaran kos RM1.8 bilion. Pakej 1B dari Pasir Hor ke Kadok di sini, sepanjang tujuh kilometer melibatkan kos RM168.5 juta, merupakan fasa pertama daripada tiga fasa pembinaan.

Pembinaan pakej 1B dijangka disiapkan dalam tempoh tiga tahun iaitu pada April 2017. Muhyiddin berkata walaupun mengambil masa untuk menyiapkan sepenuhnya lebuh raya itu, kerajaan persekutuan akan tetap menyiapkannya kerana ia sudah lama diidam-idamkan oleh rakyat Kelantan.

"Projek seperti ini sudah lama diidam-idamkan oleh orang Kelantan sebab itu Perdana Menteri buat komitmen dan kita laksanakan," katanya sambil menambah bahawa lebuh raya itu bebas bayaran tol (percuma).

Ditanya mengenai cadangan kerajaan PAS Kelantan yang juga mahu membina Lebuh Raya Kota Bharu - Kuala Krai, Muhyiddin berkata kerajaan negeri menyatakan kesediaan bekerjasama dengan Kerajaan Pusat untuk pembinaan lebuh raya itu, yang jajarannya disediakan oleh kerajaan pusat, bagaimanapun setakat ini tidak ada perbincangan mengenai cadangan itu.

"Saya diberitahu ada fasa pembangunan yang akan dilaksanakan oleh kerajaan negeri, kita harap mereka boleh laksanakan tetapi bahagian di bawah Kerajaan Pusat telah kita laksanakan, terserah kepada kebijaksanaan kerajaan negeri untuk laksanakan," katanya.

Beliau berkata pelaksanaan projek pembinaan lebuh raya itu sehingga siap melibatkan tempoh masa Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) dan RMK-11. Timbalan Perdana Menteri berkata Kerajaan Persekutuan tidak menghalang kerajaan negeri untuk melaksanakan projek infrastruktur di negeri itu malah beliau menyokong usaha itu demi faedah rakyat.

Mengenai pelaksanaan enam lagi projek pembangunan yang diumumkan perdana menteri sebelum ini, beliau berkata pelaksanaannya adalah mengikut keperluan dan keutamaan dan perdana menteri akan membuat keputusan mengenai perkara itu.

Enam projek itu adalah pembinaan stadium baharu, masjid terbesar, perumahan rakyat, sistem pengangkutan Rapid Kota Baharu, pembinaan kampus bandar Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang boleh memuatkan 5,000 pelajar dan projek bagi menyelesaikan masalah air.

Terdahulu semasa berucap pada majlis itu, Muhyiddin yang sedang dalam rangka lawatan kerja sehari ke Kelantan, berkata dalam RMK-10 kerajaan persekutuan memperuntukkan RM2.5 bilion untuk membiayai 116 projek pembangunan di Kelantan dan sebanyak 77 daripada jumlah projek itu telah siap sepenuhnya.

"Baki 39 projek kini dalam pelbagai peringkat seperti reka bentuk, perolehan dan juga dalam pembinaan," katanya. Katanya 50 daripada 116 projek pembangunan itu melibatkan projek jalan dan jambatan.

"Tanggungjawab kerajaan persekutuan ini tidak hanya terbatas kepada pembinaan atau menaik taraf jalan sahaja, malah bagi menjamin keselamatan dan keselesaan pengguna, Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM26 juta setahun bagi menyenggara 1,261.22km jalan persekutuan sedia ada di Kelantan," kata Muhyiddin.

Beliau berkata projek seumpama itu merupakan contoh bukti kerajaan persekutuan sentiasa peka terhadap kehendak rakyat dalam usahanya untuk memperbaiki mutu kehidupan masyarakat di seluruh negara.

Katanya pembinaan Lebuh Raya Kota Bharu - Kuala Krai itu, merupakan sebahagian daripada projek Central Spine Road (CSR) di bawah pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), apabila siap akan membuka satu lembaran baharu dari segi rangkaian hubungan, aksesibiliti dan mobiliti di Kelantan.

Turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof dan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Sementara itu, Fadillah berkata kerja pembinaan Fasa 1B lebuh raya itu melibatkan pembinaan jalan baharu empat lorong dua hala mengikut piawaian yang ditetapkan Jabatan Kerja Raya (JKR) serta pembinaan laluan bertingkat sepanjang 400 meter dari Sungai Seribong ke Jalan Tiong di sini.

"Selain itu, enam buah jambatan yang merentasi jalan, sungai serta tali air akan dibina dan dijadual siap pada April 2017," katanya. Beliau berkata pembinaan lebuh raya itu bertujuan mengatasi masalah lalu lintas terutama pada musim perayaan.

"Kita tahu yang jalan Kota Bharu ke Kuala Krai merupakan jalan utama yang kerap digunakan oleh pengguna jalan raya dan mempunyai kadar trafik yang tinggi," katanya.

Sebelum itu, Mustapa yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Persekutuan Negeri Kelantan, dalam ucapannya pada majlis itu berkata pihaknya akan memastikan pembinaan lebuh raya itu disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan, demi mengatasi kesesakan lalu lintas yang dihadapi rakyat.

Beliau berkata kini pelbagai usaha dibuat bagi memudahkan proses pembinaan lebuh raya itu termasuk proses mengambil balik tanah yang memerlukan kerjasama kerajaan negeri.

"Saya harap rakyat berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan yang sudi merealisasikan hasrat mereka yang telah lama menantikan saat ini (lebuh raya dibina)," katanya. 

Sumber: Bernama | 1 April 2014

Selasa, 1 April 2014

Pelaksanaan projek Lebuh Raya Kota Bharu - Kuala Krai bukti janji ditepati - TPM

KOTA BHARU: Pelaksanaan projek Lebuh Raya Kota Bharu - Kuala Krai hari ini adalah bukti benarnya slogan "janji ditepati" oleh Kerajaan Persekutuan, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pembinaan lebuh raya itu, katanya adalah antara tujuh janji diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk rakyat Kelantan dalam lawatannya ke negeri itu pada 20 Jan tahun lepas.

"Ini bukti jelas apa yang disebut oleh Perdana Menteri dalam lawatan ke Kelantan sebelum pilihan raya (umum ke-13) dulu kita laksanakan, walaupun ia dibuat secara berperingkat-peringkat, pastinya kita tidak akan buat setakat itu sahaja, kita akan buat hingga selesai lebuh raya ini," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau sebelum itu merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Lebuh Raya Kota Bharu - Kuala Krai bagi Pakej 1B: Pasir Hor ke Kadok di sini, hari ini.

Projek Lebuh Raya Kota Bharu - Kuala Krai sepanjang 73.5 km dengan anggaran kos RM1.8 bilion. Pakej 1B dari Pasir Hor ke Kadok di sini, sepanjang tujuh kilometer melibatkan kos RM168.5 juta, merupakan fasa pertama daripada tiga fasa pembinaan. Pembinaan pakej 1B dijangka disiapkan dalam tempoh tiga tahun iaitu pada April 2017.

Muhyiddin berkata walaupun mengambil masa untuk menyiapkan sepenuhnya lebuh raya itu, Kerajaan Persekutuan akan tetap menyiapkannya kerana ia sudah lama diidam-idamkan oleh rakyat Kelantan.

"Projek seperti ini sudah lama diidam-idamkan oleh orang Kelantan sebab itu Perdana Menteri buat komitmen dan kita laksanakan," katanya sambil menambah bahawa lebuh raya itu bebas bayaran tol (percuma).

Ditanya mengenai cadangan kerajaan PAS Kelantan yang juga mahu membina Lebuh Raya Kota Bharu - Kuala Krai, Muhyiddin berkata kerajaan negeri menyatakan kesediaan bekerjasama dengan Kerajaan Pusat untuk pembinaan lebuh raya itu, yang jajarannya disediakan oleh Kerajaan Pusat, bagaimanapun setakat ini tidak ada perbincangan mengenai cadangan itu.

"Saya diberitahu ada fasa pembangunan yang akan dilaksanakan oleh kerajaan negeri, kita harap mereka boleh laksanakan tetapi bahagian di bawah Kerajaan Pusat telah kita laksanakan, terserah kepada kebijaksanaan kerajaan negeri untuk laksanakan," katanya.

Beliau berkata pelaksanaan projek pembinaan lebuh raya itu sehingga siap melibatkan tempoh masa Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) dan RMK-11. Timbalan Perdana Menteri berkata Kerajaan Persekutuan tidak menghalang kerajaan negeri untuk melaksanakan projek infrastruktur di negeri itu malah beliau menyokong usaha itu demi faedah rakyat.

Mengenai pelaksanaan enam lagi projek pembangunan yang diumumkan perdana menteri sebelum ini, beliau berkata pelaksanaannya adalah mengikut keperluan dan keutamaan dan perdana menteri akan membuat keputusan mengenai perkara itu.

Enam projek itu adalah pembinaan stadium baharu, masjid terbesar, perumahan rakyat, sistem pengangkutan Rapid Kota Bharu, pembinaan kampus bandar Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang boleh memuatkan 5,000 pelajar dan projek bagi menyelesaikan masalah air.

Terdahulu semasa berucap pada majlis itu, Muhyiddin yang sedang dalam rangka lawatan kerja sehari ke Kelantan, berkata dalam RMK-10 Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM2.5 bilion untuk membiayai 116 projek pembangunan di Kelantan dan sebanyak 77 daripada jumlah projek itu telah siap sepenuhnya.

"Baki 39 projek kini dalam pelbagai peringkat seperti reka bentuk, perolehan dan juga dalam pembinaan," katanya. Katanya 50 daripada 116 projek pembangunan itu melibatkan projek jalan dan jambatan.

"Tanggungjawab Kerajaan Persekutuan ini tidak hanya terbatas kepada pembinaan atau menaik taraf jalan sahaja, malah bagi menjamin keselamatan dan keselesaan pengguna, Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM26 juta setahun bagi menyenggara 1,261.22km jalan persekutuan sedia ada di Kelantan," kata Muhyiddin.

Beliau berkata projek seumpama itu merupakan contoh bukti Kerajaan Persekutuan sentiasa peka terhadap kehendak rakyat dalam usahanya untuk memperbaiki mutu kehidupan masyarakat di seluruh negara.

Katanya pembinaan Lebuh Raya Kota Bharu - Kuala Krai itu, merupakan sebahagian daripada projek Central Spine Road (CSR) di bawah pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), apabila siap akan membuka satu lembaran baharu dari segi rangkaian hubungan, aksesibiliti dan mobiliti di Kelantan.

Turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof dan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Sumber: Bernama | 1 April 2014

TPM lancar projek Lebuh Raya KBKK

KOTA BHARU: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebentar tadi, menyempurnakan majlis pecah tanah Projek Lebuh Raya Kota Bharu - Kuala Krai (KBKK) di Tiong, di sini.

Dengan pelancaran itu menandakan bermulanya pakej 1B projek berkenaan dari Pasir Hor ke Kadok sejauh tujuh kilometer. 

Projek Lebuh Raya KBKK sepanjang 73.5 kilometer adalah sebahagian Projek Central Spine Road (CSR) di bawah pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) membabitkan kos RM168.5 juta. Ia dijangka siap 2 April 2017.

Sumber: myMetro Online | 1 April 2014

Jalan kaki 30 km demi anak

SEORANG bapa tunggal di China setia mengendong anak lelakinya yang kurang upaya dan berjalan sejauh 30 kilometer setiap hari hanya untuk menghantar anaknya ke sekolah.

Walaupun kedua kaki dan tangan serta belakang badannya sakit dan membongkok, Xiao Xukang, 40-an rela demi untuk melihat anaknya, Xiao Qiang, 12, mendapat pendidikan sempurna.

Sejak September lalu, Xukang membawa Xiao dengan meletakkan kanak-kanak itu ke dalam bakul yang diikat di belakang badannya dan berjalan ke sekolah di bandar Fengyi, wilayah Sichuan kira-kira 7 km dari rumahnya.

Disebabkan tiada bas sekolah atau pengangkutan awam, Xukang mengambil inisiatif sendiri iaitu menghantar anaknya ke sekolah dengan berjalan kaki.

Setiap hari, Xukang memulakan rutin harian seawal jam lima pagi untuk menyediakan sarapan dan makan tengah hari anaknya sebelum ke sekolah.

Kemudian dia akan pulang semula ke rumah untuk bekerja dan ke sekolah semula untuk mengambil Xiao pulang.

"Saya tahu dia tidak sempurna, namun dia punya hak untuk belajar seperti kanak-kanak lain. Saya ada mencari sekolah yang lebih dekat, tetapi tidak pernah diterima.

Malah, satu-satunya sekolah yang dapat menerima dia adalah Sekolah Rendah Fengyi yang memerlukan saya berjalan kaki lebih 7 km setiap hari," katanya.

Walaupun menyedari anaknya kurang upaya, Xukang bagaimanapun menyimpan impian untuk melihat anaknya masuk kolej dan mencapai cita-citanya. - Mail Online

Sumber: Sinar Harian | 1 April 2014

Sejarah baharu negeri Kelantan

Kawasan di Tambatan Diraja Kota Bharu dibangunkan dengan dataran serta menara tinjau yang melibatkan peruntukan RM4.9 juta selain laluan pejalan kaki dan pusat informasi pelancongan yang menelan kos RM7.6 juta dibangunkan oleh Kerajaan Persekutuan.
KOTA BHARU: Esok sejarah baharu akan tercatat di bumi Serambi Mekah ini apabila Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan merasmikan majlis pecah tanah fasa pertama pembinaan Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai di Tiong di sini. 

Biarpun hanya tujuh kilometer tetapi itu satu permulaan yang amat baik untuk rakyat negeri ini. Lebuh raya memberi kesan yang amat besar terutama dalam menjana ekonomi dan merancakkan pertumbuhan bandar Kota Bharu serta kawasan di sepanjang laluan tersebut. 

Projek fasa pertama yang merangkumi laluan dari Pasir Hor ke Kadok itu akan melibatkan kos sebanyak RM168.5 juta dan hanya 10 peratus daripada jumlah keseluruhan Lebuh Raya Kota Bharu - Kuala Krai iaitu 73 kilometer.

Malah Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed amat berharap supaya projek tersebut dapat disiapkan kurang tiga tahun kerana jangka masa yang diberikan oleh Jabatan Kerjaa Raya (JKR) itu terlalu lama. 

"Projek lebuh raya ini dijangka dapat disiapkan dalam tempoh tiga tahun iaitu pada April 2017 tetapi saya berharap projek tersebut dapat disiapkan lebih awal.

"Tujuh kilometer selama tiga tahun itu lama sangat. Walaupun tempoh tersebut diberikan JKR, saya berharap projek ini hanya mengambil masa dua tahun setengah sahaja," katanya baru-baru ini.

Kenyataan Mustapa itu jelas menunjukkan impian seluruh anak Kelantan supaya lebuh raya disiapkan lebih awal dan fasa berikutnya dapat dimulakan secepat mungkin. 

Ini semua adalah komitmen Kerajaan Pusat untuk membantu rakyat negeri ini dan dibuktikan dalam beberapa projek yang telah siap sebelum ini. 

Antara projek kemudahan jaringan pengangkutan yang telah siap termasuk Jambatan Kedua Sultan Yahya Petra dan persimpangan bertingkat Pasir Hor. 

Persimpangan bertingkat Pasir Hor adalah salah satu komponen daripada projek memperelok Jalan Kubang Kerian - Sabak yang melibatkan kos sebanyak RM33.4 juta. 

Projek yang siap sepenuhnya pada 23 Januari 2013 itu memberi kesan yang agak baik untuk menguraikan kesesakan terutama di kawasan Kubang Kerian. 

Begitu juga dengan projek Jambatan Kedua Sultan Yahya Petra yang melibatkan kos sebanyak RM186.96 juta. Penduduk dari daerah Tumpat tidak perlu lagi menempuh kesesakan lalu lintas yang ekstrem pada waktu puncak. 

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) negeri, Datuk Makhtar Mustapa berkata, bagi memastikan rakyat tidak ditimpa bencana alam pada setiap tahun, Kerajaan Pusat telah menyiapkan rancangan tebatan banjir Sungai Kelantan sejauh 3.63 kilometer dari Kampung Penambang ke Istana Kota Lama di sini dengan kos RM266 juta. 

"Malah, kawasan pesisir Sungai Kelantan turut diperindahkan dengan pembinaan mercu tanda untuk menarik lebih ramai pelancong. 

"Kawasan di Tambatan Diraja Kota Bharu dibangunkan dengan dataran serta menara tinjau, melibatkan peruntukan sebanyak RM4.9 juta, selain laluan pejalan kaki dan pusat informasi pelancongan yang menelan kos sebanyak RM7.6 juta," katanya. 

Kesimpulannya, Kelantan tidak pernah dilupakan, malah sentiasa menerima pelbagai peruntukan untuk kemudahan rakyatnya. Usaha berterusan sedang dilakukan dan negeri ini dijangka berkembang lebih pesat dengan adanya kerjasama yang erat antara Kerajaan Pusat dengan kerajaan Pas Kelantan.

Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 31 Mac 2014 | Terbitan 1 April 2014

Penduduk gesa tutup pusat pelupusan sampah Batu 5, Renok

Kawasan hutan berhampiran pernah terbakar akibat pembakaran terbuka yang tidak terkawal di kawasan pusat pelupusan sampah di Batu 5, Renok, Gua Musang, Kelantan.
GUA MUSANG: Penduduk yang tinggal berhampiran pusat pelupusan sampah di Batu 5, Renok dekat sini menderita kerana terpaksa menghidu bau busuk sejak 10 tahun lalu dari kawasan tersebut.

Pusat pelupusan sampah itu juga menyebabkan pencemaran air yang teruk di anak sungai berhampiran. Menurut penduduk, setiap hari sampah yang diangkut dari bandar Gua Musang dilonggokkan di kawasan tersebut sehingga menyebabkan penduduk tidak selesa dengan bau sampah.

Tinjauan Utusan Malaysia juga mendapati sampah yang terbakar menghasilkan kepulan asap tebal dan menganggu jarak penglihatan pengguna jalan raya Gua Musang-Kuala Krai.

Seorang penduduk, Zamri Zakaria, 24, berkata, pada waktu pagi jarak penglihatan berkurangan kerana diselubungi asap dari tapak pelupusan.

"Kami bimbang jika berlaku kejadian yang tidak diingini kerana jalan tersebut merupakan laluan utama menuju ke Kota Bharu.

"Sampah ini dipercayai dibakar oleh segelintir individu yang mencari barang terpakai atau kitar semula seperti tin, wayar dan besi," katanya di sini hari ini.

Seorang peniaga kedai makan, Nisah Mohd. Noor, 52, berkata, pelanggan yang singgah di kedainya juga meluahkan rasa tidak puas hati mereka dengan asap dan bau busuk sampah itu.

"Pelanggan yang singgah untuk menjamu selera juga sering merungut kerana kerap menghidu bau sampah. Sedikit sebanyak jualan terjejas dan saya sering kali mengalami kerugian," katanya.

Tambah Nisah, api daripada sampah yang dibakar juga pernah merebak ke kawasan hutan berhampiran kerana tiada pengawasan daripada pihak yang bertanggungjawab.

Seorang lagi penduduk, Ahmad Tajuddin, 53, berharap pihak berwajib dapat mencari penyelesaian dengan mencari tapak pelupusan sampah baharu yang bersesuaian.

"Kalau boleh kawasan pelupusan sampah ini dipindah ke tempat yang lebih sesuai kerana di sini berhampiran dengan jalan sekali gus membuatkan penduduk tidak selesa.

"Kita minta supaya pihak berkuasa bertindak secepat mungkin kerana masalah ini berlarutan sejak 10 tahun lalu dan tidak diberi sebarang perhatian langsung," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 31 Mac 2014 | Terbitan 1 April 2014