![]()  | 
| Kawasan hutan berhampiran pernah terbakar akibat pembakaran terbuka yang tidak terkawal di kawasan pusat pelupusan sampah di Batu 5, Renok, Gua Musang, Kelantan. | 
GUA MUSANG: Penduduk yang tinggal berhampiran pusat pelupusan
 sampah di Batu 5, Renok dekat sini menderita kerana terpaksa menghidu 
bau busuk sejak 10 tahun lalu dari kawasan tersebut.
Pusat pelupusan sampah itu juga menyebabkan pencemaran air yang teruk di anak sungai berhampiran. Menurut penduduk, setiap hari sampah yang diangkut dari bandar Gua 
Musang dilonggokkan di kawasan tersebut sehingga menyebabkan penduduk 
tidak selesa dengan bau sampah.
Tinjauan Utusan Malaysia juga mendapati sampah yang terbakar 
menghasilkan kepulan asap tebal dan menganggu jarak penglihatan pengguna
 jalan raya Gua Musang-Kuala Krai.
Seorang penduduk, Zamri Zakaria, 24, berkata, pada waktu pagi jarak 
penglihatan berkurangan kerana diselubungi asap dari tapak pelupusan.
"Kami bimbang jika berlaku kejadian yang tidak diingini kerana jalan tersebut merupakan laluan utama menuju ke Kota Bharu.
"Sampah ini dipercayai dibakar oleh segelintir individu yang mencari 
barang terpakai atau kitar semula seperti tin, wayar dan besi," katanya 
di sini hari ini. 
Seorang peniaga kedai makan, Nisah Mohd. Noor, 52, berkata, pelanggan
 yang singgah di kedainya juga meluahkan rasa tidak puas hati mereka 
dengan asap dan bau busuk sampah itu.
"Pelanggan yang singgah untuk menjamu selera juga sering merungut 
kerana kerap menghidu bau sampah. Sedikit sebanyak jualan terjejas dan 
saya sering kali mengalami kerugian," katanya.
Tambah Nisah, api daripada sampah yang dibakar juga pernah merebak ke
 kawasan hutan berhampiran kerana tiada pengawasan daripada pihak yang 
bertanggungjawab.
Seorang lagi penduduk, Ahmad Tajuddin, 53, berharap pihak berwajib 
dapat mencari penyelesaian dengan mencari tapak pelupusan sampah baharu 
yang bersesuaian.
"Kalau boleh kawasan pelupusan sampah ini dipindah ke tempat yang 
lebih sesuai kerana di sini berhampiran dengan jalan sekali gus 
membuatkan penduduk tidak selesa.
"Kita minta supaya pihak berkuasa bertindak secepat mungkin kerana 
masalah ini berlarutan sejak 10 tahun lalu dan tidak diberi sebarang 
perhatian langsung," katanya.
Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 31 Mac 2014 | Terbitan 1 April 2014 

Tiada ulasan:
Catat Ulasan