KOTA BHARU: Esok sejarah baharu akan tercatat di bumi Serambi
 Mekah ini apabila Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin 
akan merasmikan majlis pecah tanah fasa pertama pembinaan Lebuh Raya 
Kota Bharu-Kuala Krai di Tiong di sini. 
Biarpun hanya tujuh kilometer tetapi itu satu permulaan yang amat baik untuk rakyat negeri ini. Lebuh raya memberi kesan yang amat besar terutama dalam menjana 
ekonomi dan merancakkan pertumbuhan bandar Kota Bharu serta kawasan di 
sepanjang laluan tersebut. 
Projek fasa pertama yang merangkumi laluan dari Pasir Hor ke Kadok 
itu akan melibatkan kos sebanyak RM168.5 juta dan hanya 10 peratus 
daripada jumlah keseluruhan Lebuh Raya Kota Bharu - Kuala Krai iaitu 73 
kilometer.
Malah Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan negeri, Datuk Seri 
Mustapa Mohamed amat berharap supaya projek tersebut dapat disiapkan 
kurang tiga tahun kerana jangka masa yang diberikan oleh Jabatan Kerjaa 
Raya (JKR) itu terlalu lama. 
"Projek lebuh raya ini dijangka dapat disiapkan dalam tempoh tiga 
tahun iaitu pada April 2017 tetapi saya berharap projek tersebut dapat 
disiapkan lebih awal.
"Tujuh kilometer selama tiga tahun itu lama sangat. Walaupun tempoh 
tersebut diberikan JKR, saya berharap projek ini hanya mengambil masa 
dua tahun setengah sahaja," katanya baru-baru ini.
Kenyataan Mustapa itu jelas menunjukkan impian seluruh anak Kelantan 
supaya lebuh raya disiapkan lebih awal dan fasa berikutnya dapat 
dimulakan secepat mungkin. 
Ini semua adalah komitmen Kerajaan Pusat untuk membantu rakyat negeri
 ini dan dibuktikan dalam beberapa projek yang telah siap sebelum ini. 
Antara projek kemudahan jaringan pengangkutan yang telah siap 
termasuk Jambatan Kedua Sultan Yahya Petra dan persimpangan bertingkat 
Pasir Hor. 
Persimpangan bertingkat Pasir Hor adalah salah satu komponen daripada
 projek memperelok Jalan Kubang Kerian - Sabak yang melibatkan kos 
sebanyak RM33.4 juta. 
Projek yang siap sepenuhnya pada 23 Januari 2013 itu memberi kesan 
yang agak baik untuk menguraikan kesesakan terutama di kawasan Kubang 
Kerian. 
Begitu juga dengan projek Jambatan Kedua Sultan Yahya Petra yang melibatkan kos sebanyak RM186.96 juta. Penduduk dari daerah Tumpat tidak perlu lagi menempuh kesesakan lalu lintas yang ekstrem pada waktu puncak. 
Sementara itu, Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) negeri,
 Datuk Makhtar Mustapa berkata, bagi memastikan rakyat tidak ditimpa 
bencana alam pada setiap tahun, Kerajaan Pusat telah menyiapkan 
rancangan tebatan banjir Sungai Kelantan sejauh 3.63 kilometer dari 
Kampung Penambang ke Istana Kota Lama di sini dengan kos RM266 juta. 
"Malah, kawasan pesisir Sungai Kelantan turut diperindahkan dengan pembinaan mercu tanda untuk menarik lebih ramai pelancong. 
"Kawasan di Tambatan Diraja Kota Bharu dibangunkan dengan dataran 
serta menara tinjau, melibatkan peruntukan sebanyak RM4.9 juta, selain 
laluan pejalan kaki dan pusat informasi pelancongan yang menelan kos 
sebanyak RM7.6 juta," katanya. 
Kesimpulannya, Kelantan tidak pernah dilupakan, malah sentiasa menerima pelbagai peruntukan untuk kemudahan rakyatnya. Usaha berterusan sedang dilakukan dan negeri ini dijangka berkembang 
lebih pesat dengan adanya kerjasama yang erat antara Kerajaan Pusat 
dengan kerajaan Pas Kelantan.
Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 31 Mac 2014 | Terbitan 1 April 2014 

Tiada ulasan:
Catat Ulasan