Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Jumaat, 11 April 2014

Fahrin Ahmad pilih wanita sudah dikenali

Fahrin Ahmad lebih senang menjalinkan hubungan cinta dengan wanita yang sudah dikenalinya.
PETALING JAYA: Pelakon Fahrin Ahmad berkata, dia tidak lagi berminat untuk menjalinkan apa-apa hubungan secara rapat dengan wanita yang tidak dikenali dalam mencari pasangan cinta.

Fahrin, 35, berkata, sebaliknya dia lebih senang mencari pasangan  yang sudah dikenali kerana ia memudahkannya untuk mengenali hati budi seseorang itu dengan lebih mendalam.


"Rasanya saya sudah tidak mahu berkawan dengan wanita yang belum dikenali. Penatlah nak lalui tempoh perkenalan itu.


"Lebih senang jika wanita itu daripada kalangan kenalan saya. Hanya perlu nak mengenali hati budi dengan lebih mendalam saja," katanya kepada mStar Online.


Tambah Fahrin, bagaimanapun, dia enggan memikirkan mengenai hal kahwin kerana mahu memberi fokus dalam kerjaya seni.

Dalam pada itu, Fahrin turut menjelaskan dia tidak pernah berasa tertekan dengan soalan yang sering diajukan daripada pihak media dan orang ramai mengenai bilakah dia ingin menamatkan zaman bujangnya. 

"Bukan setakat pihak media saja yang bertanya bila saya nak kahwin, tetapi peminat pun bertanya soalan yang sama.

"Tetapi saya tidak mempunyai masalah tentang itu kerana saya faham sebagai selebriti masyarakat bukan sahaja ingin tahu mengenai kerjaya tetapi juga hal peribadi kita," ujarnya.


Dalam perkembangan lain, Fahrin bakal digandingkan dengan Dr Ridhuan Tee Abdullah bagi mengacarakan program baru Astro Oasis iaitu Dunia Pencetus Ummah (Dunia PU).

Rakaman program Dunia PU itu akan bermula pada 19 April ini dan bakal disiarkan menerusi saluran Astro Oasis dan Mustika HD pada setiap Khamis, pukul 9 malam, bermula 1 Mei depan.


Kata Fahrin, sejak akhir-akhir ini dia sering menerima tawaran mengacarakan program berbentuk keagamaan dan ia membuatkannya lebih gembira memandangkan dia ingin mengubah diri dalam menjadi seorang lelaki Muslim yang lebih baik.


"Alhamdulillah, akhir-akhir ini saya sering menerima tawaran mengacarakan program berbentuk keagamaan. Malah saya juga diberi tugasan mengendalikan beberapa program sukan di RTM.


"Dan sekarang ini kalau boleh di bidang lakonan juga saya ingin mengubah konsep mengurangkan adegan-adegan bersentuhan dengan pelakon wanita.


"Tetapi sebagai seorang pelakon jika watak bersentuhan itu perlu, saya akan lakukannya. Cuma seboleh-bolehnya saya cuba elakkan adegan seperti itu. Saya percaya kerja apa sekalipun jika niat kita ikhlas segalanya akan dipermudahkan," tuturnya.

Sumber: mStar Online | 11 April 2014

Bapa didakwa larikan anak ada hak jagaan - polis

Izwan Abdullah, 31, yang sudah memeluk Islam memperoleh hak penjagaan dua anaknya daripada Mahkamah Tinggi Syariah pada tahun lepas.
SEREMBAN: Polis tidak akan menyiasat mengenai seorang lelaki yang didakwa melarikan anaknya yang berusia enam tahun dari rumah bekas isterinya walaupun perintah Mahkamah Tinggi memberikan hak penjagaan dua anak mereka kepadanya. 
 Perkara ini kerana Izwan Abdullah, 31, yang memeluk Islam memperoleh hak penjagaan daripada Mahkamah Tinggi Syariah pada tahun lepas.

Ketua Polis Daerah Jelebu, Supt Setapa Yusof berkata, polis terpaksa mematuhi arahan kedua-dua mahkamah.

Mahkamah Syariah sebelum ini menganugerahkan Izwan yang sebelum ini dikenali sebagai N. Viran hak jagaan anak lelakinya berusia enam tahun serta anak perempuan yang berusia sembilan tahun.

"Setakat apa yang pihak kami mengambil maklum, kita tidak boleh menyiasat Izwan kerana dakwaan melarikan anaknya. Kita perlu menghormati dan mematuhi perintah yang dikeluarkan oleh kedua-dua mahkamah," katanya kepada The Star.

Pada Isnin, Mahkamah Tinggi di sini memberi hak penjagaan kedua-dua kanak-kanan berkenaan kepada S. Deepa, 31, iaitu ibu kandung mereka.

Mahkamah itu juga membenarkan permohonan Deepa untuk membatalkan perkahwinan mereka kerana Izwan, yang kini bekerja dengan Yayasan Kasih Sayang, telah memeluk Islam.

Sementara itu Deepa melahirkan rasa terkejut apabila mengetahui pihak polis tidak akan menyiasat dakwaan melarikan dua anaknya itu.

"Saya sangat bimbangkan anak lelaki saya," katanya sambil memberitahu bahawa ibu bapanya kini berpindah tinggal bersamanya sejak kejadian itu.

Tambah Deepa, beliau kecewa dengan pendirian polis dan menyifatkannya sebagai tidak adil. "Bagi saya, perkahwinan saya telah didaftarkan melalui proses sivil. Ia tiada kaitan dengan Mahkamah Syariah atau undang-undang Islam.

"Saya tidak tahu tentang perintah yang diperoleh oleh bekas suami saya dan saya juga tidak dipanggil untuk memberi keterangan di Mahkamah Syariah. Saya tidak tahu sama ada saya boleh pergi ke Mahkamah Syariah ataupun tidak," katanya.

Deepa yang berkahwin dengan Izwan pada 2004 pernah memberitahu The Star pada Jun tahun lalu bahawa suaminya itu keluar meninggalkan keluarga pada Februari tahun sebelumnya.

Beliau mendakwa bahawa pada April tahun lepas, Izwan membawa kedua-dua anak-anak ke Pusat Dakwah Islam di sini tanpa pengetahuannya dan menukar agama mereka kepada Islam.

Sumber: mStar Online | 11 April 2014

Khamis, 10 April 2014

Pil kuda, heroin bernilai RM5.7 juta dirampas di Rantau Panjang

KOTA BHARU: Polis Kelantan merampas 199,791 biji dipercayai pil kuda dan 350 botol berisi heroin yang keseluruhan dianggar bernilai RM5.7 juta dalam Ops Cantas Pasukan Gerakan Am (PGA) di Kampung Lubok Gong, Rantau Panjang Selasa lalu.

Ketua Polis Kelantan Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata ia merupakan hasil serbuan ke atas sebuah rumah kira-kira 9 malam yang turut menyaksikan penahanan seorang wanita warga Thailand yang berumur 40 tahun bersama empat kanak-kanak berusia antara dua hingga 12 tahun.

"Dadah disembunyikan dalam lubang yang ditutup dengan jubin dalam rumah berkenaan. Bagaimanapun suspek utama iaitu seorang lelaki yang dipercayai suami wanita itu, melarikan diri sebelum serbuan dilakukan.

"Polis telah mengenal pasti lelaki rakyat tempatan berumur 47 tahun itu yang disyaki mengedar dadah di Kelantan dan Terengganu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini Khamis.

Siasatan awal mendapati wanita itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau, kata Jalaluddin sambil menambah pihaknya percaya pil kuda itu dijual dengan harga RM25 sebiji.

Wanita tersebut direman seminggu bermula semalam untuk siasatan lanjut manakala empat kanak-kanak berkenaan dibebas dengan jaminan.

Jalaluddin berkata pihaknya telah meminta kerjasama polis Thailand bagi mengesan lelaki itu yang disyaki melarikan diri ke negara jiran berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Sumber: Bernama | 10 April 2014

Rabu, 9 April 2014

Sasaran 6 juta pelancong melawat Kelantan mungkin terjejas

BACHOK: Jabatan Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Kelantan bimbang sasaran untuk menarik lebih 6 juta pelancong terutama dari luar negara ke negeri ini terjejas kerana masalah bekalan air bersih akibat kemarau panjang dan kemudahan prasarana yang tidak mencukupi.

Pengarah jabatan itu, Mohd. Aidil Afizie Daud berkata, sebahagian daripada lapan projek inap desa yang berdaftar di negeri ini kini sukar mendapatkan air bersih apabila sumber air perigi kering kesan fenomena kemarau yang panjang.

Keadaan itu, katanya, ditambah pula dengan ketiadaan bekalan air bersih yang sepatutnya disediakan oleh pihak berwajib kerana ini adalah bahan keperluan paling utama.

"Jabatan khuatir jika keadaan kemarau berpanjangan akan memberi impak buruk kepada 152 pengusaha program inap desa di seluruh negeri ini.

"Ini bukan hanya membabitkan penyediaan kemudahan perkongsian rumah dengan pelancong tetapi membabitkan perkhidmatan penyediaan makanan yang air adalah bahan utama diperlukan," katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan pemeriksaan khas terhadap 23 inap desa di Kampung Kubang Telaga dekat sini semalam.

Pemeriksaan yang dilakukan membabitkan penilaian tentang aspek kebersihan dan penyediaan makanan, tandas, dapur, bilik tidur dan halaman rumah.

Mohd. Aidil Afizie berkata, pihaknya bercadang untuk melaksanakan projek inap desa di Kampung Laut, Tumpat; Pangkalang Petai, Machang dan Gelang Emas, Pasir Mas bagi merangsang industri pelancongan yang membabitkan penduduk kampung sepanjang tahun ini.

"Sepanjang tahun lalu, lapan kampung yang menyertai projek inap desa seluruh Kelantan telah menjana pendapatan sampingan melebihi RM200,000 iaitu satu pendapatan lumayan kepada penduduk kampung yang terbabit.

"Jabatan juga menjalinkan kerjasama padu dengan universiti tempatan seperti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menjayakan program inap desa yang membabitkan kehadiran pelancong luar negara menerusi program anak angkat pelajar," katanya.

Tambahnya, penambahan pendapatan boleh dicapai apabila pemilik inap desa terbabit menggunakan kreativiti mereka dalam seni budaya dan penciptaan kraftangan untuk dijual kepada pelancong menginap di rumah mereka.

Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 8 April 2014 | Terbitan 9 April 2014

Sultan Kelantan rasmi kompleks Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu

Sultan Muhammad V sambil diiringi Khalid Abu Bakar berkenan merasmikan kompleks Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, Kelantan.
KOTA BHARU: Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berkenan mencemar duli merasmikan kompleks Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, di sini semalam.

Majlis yang berlangsung dengan penuh istiadat itu dihadiri Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar serta Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Yang turut hadir, Ketua Polis negeri, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman serta Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman.

Majlis kemudian diserikan dengan persembahan pantomin mengenai sejarah penubuhan serta sumbangan pasukan polis terhadap kesejahteraan negeri ini oleh para pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan.

Sementara itu, Khalid melahirkan penghargaan kepada Sultan Kelantan kerana sentiasa memberi sokongan terhadap Polis Diraja ­Malaysia (PDRM) dalam menjalankan tanggungjawab menjaga keamanan dan membanteras jenayah di negeri ini.

Menurut beliau, kompleks IPD Kota Bharu dibina di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dengan kos sebanyak RM31.65 juta itu bertujuan memantapkan pentadbiran serta meningkatkan tahap perkhidmatan polis di daerah ini.

"Kompleks IPD Kota Bharu ini beroperasi sejak November 2008 dan menguruskan sebanyak 11 buah balai polis di sekitar Kota Bharu.

"Seramai 66 pegawai kanan dengan 800 anggota lain-lain pangkat serta 88 pegawai awam ditempatkan di kompleks ini yang merangkumi bangunan pejabat trafik serta Balai Polis Pengkalan Chepa," katanya ketika berucap dalam majlis itu.

Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 8 April 2014 | Terbitan 9 April 2014

Selasa, 8 April 2014

Budak 9 bulan dituduh membunuh anggota polis di Pakistan

Muhammad Mosa Khan
MENGEJUTKAN apabila seorang kanak-kanak berusia sembilan bulan dihadapkan ke mahkamah di Pakistan kerana dituduh melakukan pembunuhan.

Biarpun ia dilihat sangat pelik dan perkara jenaka tetapi kejadian itu benar-benar berlaku di Lahore. Kanak-kanak yang masih membawa botol susunya ke mana-mana sahaja itu juga dituduh melakukan pembunuhan terancang dan mengancam polis ketika pihak berkuasa melakukan operasi menghalang demonstrasi.

Muhammad Mosa Khan yang dibawa bapanya ke mahkamah bersama botol susu kelihatan tenang sebelum menangis apabila datuknya menurunkan tandatangan untuk perbicaraan kes.

Muhammad dituduh membaling batu ke arah seorang anggota polis sehingga mati dalam satu demonstrasi di kawasan perumahan yang didiaminya baru-baru ini.

Bagaimanapun datuknya mempertikai tuduhan itu dengan mendakwa mustahil bagi cucunya untuk membaling sebiji batu sehingga menyebabkan kematian seorang lelaki dewasa.

"Cucu saya masih tidak pandai mengangkat botol susu, bagaimana pula dia dapat membaling sebiji batu sehingga mengorbankan seorang anggota polis," jelasnya.

Berita ini kemudiannya turut menjadi cerita jenaka di India dan negara lain apabila kanak-kanak itu dituduh melakukan pembunuhan terancang.

Sumber: mStar Online | 8 April 2014

Isnin, 7 April 2014

Pembinaan Pakej 1B projek Lebuh Raya Kota Bharu - Kuala Krai bermula Isnin

KOTA BHARU: Pembinaan projek Lebuh Raya Kota Bharu - Kuala Krai bagi pakej 1B dari Pasir Hor ke Kadok di sini bermula esok, kata Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Negeri Kelantan Datuk Makhtar Mustapha.

Beliau berkata projek sepanjang tujuh kilometer itu dijangka siap dalam tempoh tiga tahun, iaitu pada April 2017.

"Pakej 1B ini akan melibatkan pembinaan enam jambatan, dua persimpangan lampu isyarat dan dua jejambat," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Ketua-Ketua Jabatan Persekutuan Negeri Kelantan di sini, hari ini.

Makhtar berkata bagi pakej seterusnya sedang dalam peringkat penyediaan reka bentuk dan akan dimulakan setelah selesai pembinaan pakej 1B.

Pakej 1B tersebut yang melibatkan kos RM168.5 juta, merupakan pakej pertama daripada tiga pakej pembinaan Lebuh Raya Kota Bharu - Kuala Krai sepanjang 73.5km dengan anggaran kos RM1.8 bilion.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin pada Selasa lepas merasmikan majlis pecah tanah projek lebuh raya itu bagi pakej 1B berkenaan di Tiong di sini.

Sumber: Bernama | 6 April 2014