Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 9 April 2014

Sasaran 6 juta pelancong melawat Kelantan mungkin terjejas

BACHOK: Jabatan Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Kelantan bimbang sasaran untuk menarik lebih 6 juta pelancong terutama dari luar negara ke negeri ini terjejas kerana masalah bekalan air bersih akibat kemarau panjang dan kemudahan prasarana yang tidak mencukupi.

Pengarah jabatan itu, Mohd. Aidil Afizie Daud berkata, sebahagian daripada lapan projek inap desa yang berdaftar di negeri ini kini sukar mendapatkan air bersih apabila sumber air perigi kering kesan fenomena kemarau yang panjang.

Keadaan itu, katanya, ditambah pula dengan ketiadaan bekalan air bersih yang sepatutnya disediakan oleh pihak berwajib kerana ini adalah bahan keperluan paling utama.

"Jabatan khuatir jika keadaan kemarau berpanjangan akan memberi impak buruk kepada 152 pengusaha program inap desa di seluruh negeri ini.

"Ini bukan hanya membabitkan penyediaan kemudahan perkongsian rumah dengan pelancong tetapi membabitkan perkhidmatan penyediaan makanan yang air adalah bahan utama diperlukan," katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan pemeriksaan khas terhadap 23 inap desa di Kampung Kubang Telaga dekat sini semalam.

Pemeriksaan yang dilakukan membabitkan penilaian tentang aspek kebersihan dan penyediaan makanan, tandas, dapur, bilik tidur dan halaman rumah.

Mohd. Aidil Afizie berkata, pihaknya bercadang untuk melaksanakan projek inap desa di Kampung Laut, Tumpat; Pangkalang Petai, Machang dan Gelang Emas, Pasir Mas bagi merangsang industri pelancongan yang membabitkan penduduk kampung sepanjang tahun ini.

"Sepanjang tahun lalu, lapan kampung yang menyertai projek inap desa seluruh Kelantan telah menjana pendapatan sampingan melebihi RM200,000 iaitu satu pendapatan lumayan kepada penduduk kampung yang terbabit.

"Jabatan juga menjalinkan kerjasama padu dengan universiti tempatan seperti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menjayakan program inap desa yang membabitkan kehadiran pelancong luar negara menerusi program anak angkat pelajar," katanya.

Tambahnya, penambahan pendapatan boleh dicapai apabila pemilik inap desa terbabit menggunakan kreativiti mereka dalam seni budaya dan penciptaan kraftangan untuk dijual kepada pelancong menginap di rumah mereka.

Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 8 April 2014 | Terbitan 9 April 2014

Tiada ulasan:

Catat Ulasan