Sultan Muhammad V sambil diiringi Khalid Abu Bakar berkenan merasmikan kompleks Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, Kelantan. |
KOTA BHARU: Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berkenan mencemar duli merasmikan kompleks Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, di sini semalam.
Majlis yang berlangsung dengan penuh istiadat itu dihadiri Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar serta Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.
Yang turut hadir, Ketua Polis negeri, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman serta Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman.
Majlis kemudian diserikan dengan persembahan pantomin mengenai sejarah penubuhan serta sumbangan pasukan polis terhadap kesejahteraan negeri ini oleh para pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan.
Sementara itu, Khalid melahirkan penghargaan kepada Sultan Kelantan kerana sentiasa memberi sokongan terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menjalankan tanggungjawab menjaga keamanan dan membanteras jenayah di negeri ini.
Menurut beliau, kompleks IPD Kota Bharu dibina di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dengan kos sebanyak RM31.65 juta itu bertujuan memantapkan pentadbiran serta meningkatkan tahap perkhidmatan polis di daerah ini.
"Kompleks IPD Kota Bharu ini beroperasi sejak November 2008 dan menguruskan sebanyak 11 buah balai polis di sekitar Kota Bharu.
"Seramai 66 pegawai kanan dengan 800 anggota lain-lain pangkat serta 88 pegawai awam ditempatkan di kompleks ini yang merangkumi bangunan pejabat trafik serta Balai Polis Pengkalan Chepa," katanya ketika berucap dalam majlis itu.
Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 8 April 2014 | Terbitan 9 April 2014
Tiada ulasan:
Catat Ulasan