Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Selasa, 22 April 2014

Bahana pil kuda: Kehidupan kucar-kacir

Pil kuda
PIL kuda, bukan lagi perkara asing bagi anak-anak muda khususnya di Kelantan malah cukup sinonim di kampung-kampung lebih-lebih lagi bagi yang tinggal bersempadan dengan Selatan Thailand.

Dadah yang cukup dikenali anak-anak muda itu bukan sahaja melibatkan remaja belasan tahun malah ada yang mengambilnya seawal di bangku sekolah rendah sekaligus menghancurkan masa depan mereka sendiri.

Biarpun kesan buruk itu sering dibincangkan malah dilihat di depan mata namun pil kuda tetap menjadi pilihan anak muda apabila dikatakan mampu membantu mereka melupakan tekanan dan bergembira ketika di bawah pengaruh pil tersebut.

Pada masa yang sama, ia juga dikatakan menjadi sumber pendapatan mudah tanpa perlu bekerja keras bagi pengedar atau lebih dikenali sebagai ‘penolak buah’ dalam kalangan penagih.

Terjebak pil kuda seawal usia 13 tahun

Bermula secara suka-suka dan ingin mencuba, seorang remaja, Usin, 17, mula berjinak-jinak dengan pil kuda sejak berusia 13 tahun tanpa  dikesan kedua ibu bapa dan ahli keluarga yang lain.

Usin berkata, sikap ingin mencuba bagaimanapun menjadi bahana kepadanya apabila ia menjadi rutin dan sentiasa mahukan pil tersebut setiap hari.

“Saya mula mengambilnya apabila diperkenalkan seorang rakan dan menganggapnya sebagai perkara biasa memandangkan ramai kawan turut mengambil pil tersebut.

“Malangnya kegiatan saya itu terbongkar apabila pihak polis menangkap saya tahun lalu, selepas tiga tahun terjebak dengan pil kuda. Ibu bapa saya sangat kecewa namun mereka tetap memberikan kata-kata semangat kepada saya untuk berubah dan menamatkan pelajaran  di sekolah menengah,” katanya.


Usin berkata, disebabkan pengaruh dadah yang begitu kuat, dia sanggup melakukan pelbagai kerja sambilan termasuk mengecat rumah, memasang jubin dan apa sahaja yang disuruh asalkan mendapat wang yang mana digunakan untuk membeli pil kuda.

“Saya mula khayal dengan sebiji pil berharga RM15 dan seronok dalam dunia sendiri serta lupa segala-galanya termasuk mengabaikan pelajaran.

“Namun selepas ditahan polis, saya mula menjauhkan diri daripada bahan terlarang, malah tidak lagi melepak dan menghabiskan masa bersama rakan sehingga lewat malam,” katanya yang mengakui menyesal dengan perbuatan sia-sianya itu dan berharap akan lebih fokus dalam pelajaran, seterusnya mencapai kejayaan.

Ditempatkan di wad gila

Seorang pemuda, Yusof, 25, terpaksa ditempatkan di wad gila bagi menangani masalah ketagihan pil kuda sebagai kaedah rawatan terakhir membantunya melupakan dadah itu.

Menurutnya, dia mula mencuba pil kuda semasa terlibat dengan aktiviti sukan di tempat kerjanya namun menjadi ketagih apabila mengambilnya secara rutin.

“Ia melibatkan sukan lasak dan untuk kekal bertenaga, ada kawan mencadangkan saya mencuba pil kuda dan saya terpengaruh untuk mencuba. Apabila berada di bawah pengaruh pil kuda, memang rasa bertenaga seperti ‘superhero’.


“Lama-kelamaan saya jadi ketagih dan tidak dapat berhenti dengan mudah sehinggalah ditempatkan di hospital psikiatri. Di situ saya mula berubah dan sedaya upaya melupakan pil kuda. Saya bukan hanya menjadi penagih dadah tetapi juga kehilangan segala-galanya termasuk pekerjaan dan wang simpanan,” katanya yang kini sudah melupakan pil tersebut.


Yusof berkata, persekitaran, rakan-rakan dan tekanan antara faktor yang mempengaruhi seseorang mengambil pil kuda tambahan pula ia mudah didapati.

Katanya, ketika di bawah pengaruh dadah, dia hilang perasan sabar dan hormat kepada sesiapa sahaja termasuk kedua orang tua.


“Jika ingin sesuatu, saya pasti inginkannya segera, tidak kiralah pil kuda atau apa sahaja barangan. Saya jadi mudah marah namun dalam masa yang sama, otak saya dapat berfikir dengan pantas yang mana saya pernah menyoal seorang doktor psikiatri di tempat saya mendapatkan rawatan, dan doktor tersebut terkedu dan tidak dapat memberikan jawapan.


“Kepada ibu bapa yang ada anak-anak yang mengalami ketagihan teruk, saya sarankan mereka hantar ke wad gila bagi mendapatkan rawatan. Bagi saya rawatan yang diberikan mampu membantu penagih pil kuda kembali pulih,” katanya.

Keluarga turut terkesan

Seorang ibu kepada tiga anak lelaki yang ingin dikenali sebagai Nora berkata, hidupnya menjadi porak peranda apabila kesemua anak lelakinya terjebak dengan dadah.

Katanya, perasaan kecewanya tidak dapat dibendung namun dia tetap bersabar sehinggalah anak-anaknya mula membuat pelbagai onar termasuk menjual pelbagai barangan rumah bagi mendapatkan duit untuk pil kuda.

“Saya seorang ibu tunggal yang membesarkan enam anak sendirian hasil pendapatan mengambil upah menoreh getah. Bayangkan kehidupan kami, umpama kais pagi makan pagi namun saya tetap gigih membesarkan anak-anak.


“Saya sangat kecewa apabila mendapat tahu semua anak lelaki terjebak dengan dadah namun cuba bersabar dan menasihati mereka dengan cara yang baik,” luahnya.

Nora berkata, selepas habis barangan rumahnya dijual, anak-anaknya turut menjual pelbagai hasil tanaman yang ada di sekeliling rumah mereka.


Katanya, kehidupan dia dan keluarga menjadi kucar kacir dengan tingkah laku ketiga-tiga anak-anaknya itu yang hanya mahukan duit demi membeli pil kuda.

“Pada mulanya saya nasihati mereka dengan baik, namun tidak berkesan dan saya mengambil langkah menghalau mereka keluar dari rumah demi menjaga keselamatan saya dan anak-anak yang lain sekalipun ia bukan mudah untuk dilakukan.

“Siapa tidak sayang anak yang dikandung dan dilahirkan namun saya terpaksa. Mereka seolah-olah bukan anak yang saya kenali lagi, mereka seperti orang lain yang hidup tanpa mempunyai arah tuju.

“Mereka  tidak lagi menghormati saya sebagai emak apabila berada di bawah pengaruh dadah dan umpama orang yang menghadapi masalah mental. Salah seorang anak saya pernah cuba membunuh diri dengan terjun ke dalam sungai,” katanya kecewa.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 21 April 2014

Isnin, 21 April 2014

Lebih 200 penduduk sekitar Lata Hujan bantah aktiviti pembalakan

TANAH MERAH: Kira-kira 200 penduduk dari enam kampung di sekitar Lata Hujan di sini hari ini berhimpun secara aman bagi membantah kegiatan pembalakan di kawasan mereka.

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Gual Ipoh, Mohd Bakri Mustapha yang turut menyertai perhimpunan itu berkata aktiviti pembalakan di kawasan tersebut telah menyukarkan kehidupan rakyat dan menjejaskan bekalan air bersih.

"Saya memohon kerjasama daripada kerajaan negeri agar membatalkan lesen pembalakan dan mewartakan kawasan sekitar Ulu Kursial ini sebagai rizab atau kawasan tadahan hujan bagi mengelak berlakunya kegiatan pembalakan pada masa akan datang," katanya yang ditemui selepas perhimpunan itu.

Penduduk terlibat mendakwa aktiviti pembalakan yang dijalankan oleh syarikat swasta sejak dua minggu lalu telah menjejaskan kawasan tadahan air kepada lebih 4,000 penduduk di Kampung Blok Ulu Kursial, Kampung Gelugor, Kampung Kursial Lama, Kampung Bukit Telaga, Kampung Gerong dan Kampung Buluh.

Seorang penduduk, Mohammad Mazlan Che Mahmud, 52, berkata mereka terpaksa menggunakan sumber air yang tidak bersih dan berkeladak, selepas kegiatan pembalakan dijalankan.

"Keadaan ini telah menjejaskan kehidupan seharian penduduk setempat sehingga kami tidak boleh menggunakan sumber air tersebut untuk memasak atau mengambil wuduk.

"Pembalakan tersebut turut menjejaskan pendapatan petani di kawasan ini memandangkan sumber air berkurangan untuk tanaman mereka," katanya.

Seorang lagi penduduk, Ishak Loman, 66, berharap pihak yang bertanggungjawab lebih memikirkan kepada keadaan sekeliling dan mengalihkan aktiviti pembalakan ke tempat lain kerana ia telah menjejaskan sumber air bersih penduduk.

"Kita tidak mahu aktiviti sedemikian terus dilaksanakan di kawasan ini kerana kita mahu mengekalkan hutan simpan ini untuk generasi akan datang," katanya.

Sementara itu, Pegawai Pejabat Hutan Jajahan Kelantan Barat, Muhammad Hafni Ahmad Saraji berkata pihaknya telah menerima aduan penduduk kawasan itu dan akan menyiasat dakwaan mereka.

"Kita juga sambut baik hasrat penduduk kampung yang mahukan mewartakan kawasan tersebut sebagai kawasan tadahan air," katanya.

Sumber: Bernama | 20 April 2014

UMK wujudkan UMK-EI bantu pelajar ceburi bidang keusahawanan

KOTA BHARU: Institut Keusahawanan Universiti Malaysia Kelantan (UMK-EI) yang diwujudkan oleh Universiti Malaysia Kelantan (UMK) melalui penglibatan usahawan tempatan di sini, menyediakan satu landasan bagi pelajar UMK mengenali bidang keusahawanan secara mendalam.

Ketua Pegawai Eksekutif UMK-EI, Prof Datuk Dr Abdul Razak Omar berkata selain berkongsi pengalaman bersama usahawan tempatan, pelajar juga diberi peluang memberi pandangan atau kritikan bagi membantu menambah baik perniagaan.

"Kita dekatkan masyarakat terutama usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana dengan para pelajar untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan.

"Ini merupakan satu landasan yang membolehkan pelajar dan ahli akademik berkongsi pengalaman dan bertukar fikiran serta berbincang dengan usahawan tempatan," katanya kepada pemberita selepas Program 'X-Change Biz Talk Show' di UMK di sini, Jumaat.

Mengenai program itu, beliau berkata ia akan diadakan secara berkala sepanjang tahun ini dengan setiap program memfokuskan kepada industri tertentu seperti pelancongan, program hospitaliti, dan industri kraf tangan.

"Sebagai contoh, di peringkat permulaan ini program 'Sejuta Teh Halia -Memantapkan Perniagaan dan Pengembangan' yang menghendaki pelajar mengenal pasti usahawan berjaya untuk berkongsi pengalaman mereka," katanya.

Katanya program itu turut mendapat kerjasama beberapa agensi kerajaan seperti Tabung Ekonomi Usaha Niaga (Tekun), Agro Bank, Majlis Amanah Rakyat (Mara), SME Corporation Malaysia dan SME Bank.

Turut hadir Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Datuk Syed Ali Mohamed Alattas dan Anggota Lembaga Pengarah UMK Datuk Dr Halim Hamat.

Sumber: Bernama | 19 April 2014

Fama Kelantan cadang pasar 2,400 tan metrik tembikai tanpa biji ke seluruh Semenanjung Malaysia

BACHOK: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Kelantan, bercadang memasarkan 2,400 tan metrik tembikai tanpa biji ke seluruh Semenanjung untuk memenuhi keperluan bulan Ramadan bermula penghujung Jun depan.

Timbalan Pengarah Fama Kelantan, Azhar Jamaludin berkata tembikai berkenaan ditanam di ladang seluas 30 hektar di bawah program Kukuh Pemasaran Fama di Kampung Bakon di sini, dijangka dapat dituai mulai Mei ini.

"Ladang berkenaan merupakan yang terbesar di Kelantan disertai lebih 200 petani," katanya kepada pemberita pada Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MOU) antara petani terbabit dan Fama di sini, Jumaat.

Projek berkelompok berkenaan diusahakan bersama antara Fama dan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) bagi menambah pendapatan petani terbabit. Beliau berkata ladang itu dijangka menghasilkan pengeluaran bernilai hampir RM5 juta.

Azhar memberi jaminan harga pasaran semasa tembikai RM2 sekilogram akan dikekalkan sehingga sambutan Hari Raya Aidilfitri kerana pihak pemasar akan membekalkan terus kepada peniaga tanpa melalui orang tengah.

Katanya Fama Kelantan memperuntukkan RM500,000 di bawah Program Kukuh Pemasaran Fama kepada petani terbabit untuk mendapatkan peralatan ladang seperti pam air, mesin pemotong rumput, baja dan racun.

"Fama turut memberi bantuan segera RM2,500 kepada setiap petani sebagai perbelanjaan permulaan sebelum ladang mengeluarkan hasil," katanya.

Sementara itu, ketua petani berkenaan, Mohd Asri Rashidy, 40, berkata beliau mengusahakan tanaman itu sejak 1990 sehingga sekarang membabitkan kawasan seluas hampir 10 hektar.

"Setiap musim (dua musim setahun) saya mampu memperoleh hasil secara kasar sebanyak RM200,000," katanya.

Sumber: Bernama | 18 April 2014

Khamis, 17 April 2014

Kelantan kempen Zon Bebas Asap Rokok


KOTA BHARU: Medan Ilmu di Jalan Dato’ Pati sehingga ke Stesen Bas Bandar Kota Bharu dan melewati Tambatan Diraja bermula hari dijadikan sebagai Zon Bebas Asap Rokok.

Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob (gambar) berkata, kempen itu dibuat memandangkan perbuatan menghisap rokok boleh memberi kesan kepada mereka yang berada berdekatan perokok.

“Insya-Allah melalui kempen tersebut kita akan dapat melindung bahaya asap rokok kepada mereka yang tidak menghisapnya.

“Ini selaras dengan kempen kerajaan negeri menjadikan Kelantan sebagai Zon Bebas Asap Rokok,” katanya kepada media selepas mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Inisiatif Kelantan Bebas Asap Rokok (IKBAR) di Kota Darulnaim hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah, anggota-anggota Exco, Datuk Abdul Fattah Mahmood, Dr Ramli Mamat dan Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Maher.

Menteri Besar berkata, di lokasi kempen larangan merokok akan dipasang papan tanda seperti “Anda Kini Berada Di Kawasan Larangan Merokok” sebagai peringatan kepada orang ramai.

Menurutnya juga kempen itu diperluaskan kepada pihak berkuasa tempatan lain pada masa akan datang. Kata beliau juga kempen kesedaran tersebut dibuat memandangkan rokok didapati mengandungi 4,000 bahan kimia, di mana 200 daripadanya boleh menjadi faktor penyebab barah.

Menteri Besar juga berharap imam-imam di masjid atau surau menjelaskan kepada orang ramai tentang bahayanya merokok dan asapnya kepada kesihatan.

Sumber: Harakah Daily | 17 April 2014

Isu hadis palsu, Ustaz Don kesal jadi mangsa fitnah

Don Daniyal tampil memberikan penjelasan mengenai penyebaran video bertajuk 'Kompilasi hadis palsu dan pendustaan Don Daniyal'.
PETALING JAYA: Pengacara program 30 Minit Bersama Ustaz Don iaitu Don Daniyal meminta pihak yang menuduhnya menyampaikan ceramah menggunakan hadis-hadis palsu agar menyelidik terlebih dahulu dakwaan berkenaan sebelum membuatkan sebarang tuduhan.

Don atau nama sebenarnya Don Daniyal Don Biyajid, 30, berkata, adalah tidak adil dia dinilai berdasarkan kepada sebuah video yang telah diedit daripada ceramah terdahulunya bagi digunakan untuk menfitnahnya.

"Saya sendiri tidak tahu apakah niat sebenar mereka memuat naik video yang jelas telah diedit dan kemudiannya digunakan untuk menghentam saya tanpa sebarang usul periksa.

"Saya tidak kata saya betul dalam semua perkara dan jika ada saya membuat salah, maafkan saya kerana manusia itu tidak sempurna tetapi tuduhan yang dibuat adalah tidak adil buat saya," katanya menerusi kenyataan video sepanjang 18 minit yang dimuat naik penceramah agama itu pada Khamis.

Ustaz selebriti itu dikatakan menyampaikan ceramah dengan mengemukakan hadis-hadis palsu dan tidak sahih sehingga menimbulkan kekeliruan dan perdebatan banyak pihak.

Malah pelakon dan pengacara Wardina Safiyyah melalui laman sosial Facebook miliknya turut meminta mufti dan para ulama menilai ceramah yang disampaikan oleh ustaz tersebut untuk kepentingan semua umat Islam.

Koleksi rakaman video ceramah berkenaan tersebar di Facebook dengan tajuk: Kompilasi hadis palsu dan pendustaan Don Daniyal.

Dalam pada itu, Don berkata, dia hairan bagaimana beberapa pihak yang mendakwa diri mereka golongan berilmu mudah terpengaruh dengan video yang disifatkan 'sekerat-sekerat' tanpa meniliti kesahihan kandungannya terlebih dahulu.

Wardina Safiyyah melalui laman sosial Facebook miliknya turut meminta mufti dan para ulama menilai ceramah yang disampaikan oleh ustaz tersebut untuk kepentingan semua umat Islam.
Kata Don, pihak yang mempersoalkan ceramahnya itu sepatutnya menyelidik terlebih dahulu siapakah individu yang menghasilkan video berkenaan sebelum mempertikaikan kredibilitinya sebagai penceramah agama.

"Sebelum ini banyak pihak memberitahu jangan mudah terpedaya dan percaya dengan video yang dimuat naik di laman sosial seperti Facebook atau Twitter tetapi dengan satu video 'sekerat-sekerat' ini mereka terus jadikannya hujah terhadap saya.
"Malah kita sedar orang yang membuat video tersebut bertujuan untuk mewujudkan propaganda dan (saya) pelik bagiamana mereka mudah terpedaya tanpa selidik terlebih dahulu," jelasnya.

Tambah Don, video sedemikian mampu merosakkan silaturahim sesama manusia dan berharap agar masyarakat lebih berhati-hati dengan golongan seperti itu.


Don berkata, dia juga tidak mengetahui motif video berkenaan dihasilkan malah tidak mengenali individu yang menyebarkan video tersebut.

"Saya sarankan daripada menggunakan 'ustaz' Facebook, Twitter dan Wikipedia lebih baik berjumpa dengan ustaz atau alim ulama atau pun hadir ke ceramah yang diadakan bagi mengetahui isi kandungan sebenar yang ingin disampaikan," katanya.


Dalam perkembangan sama, Don berkata, dia tidak akan lagi menjawab sebarang pertanyaan mengenai isu berkenaan kerana bimbang ia akan mengundang pelbagai pandangan negatif.

Selain mengadakan ceramah-ceramah peribadi, Ustaz Don juga mengendalikan rancangan agama berjudul 30 Minit Bersama Ustaz Don siaran TV AlHijrah pada setiap Isnin Hingga Khamis, pukul 9.30 malam.


Pihak stesen televisyen TV AlHijrah dalam kenyataannya kepada mStar Online pada Rabu memberitahu akan meneliti kandungan rakaman video Ustaz Don terlebih dahulu sebelum memikirkan tindakan lanjut.
Penceramah itu ketika ini berada di United Kingdom bagi menjayakan rakaman sebuah rancangan berkonsepkan keislaman. 
Sumber: mStar Online | 17 April 2014

Rabu, 16 April 2014

Nor Farhan dipanggil perkuat Harimau Malaya

Nor Farhan dipanggil oleh pengendali skuad Harimau Malaya bagi membantu memperkuatkan bahagian serangan negara.
KUALA LUMPUR: Pemangku ketua jurulatih Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee akan memanggil pemain Terengganu, Nor Farhan Muhammad bagi memperkuatkan skuad kebangsaan itu bagi menghadapi perlawanan persahabatan kelas 'A' menentang Filipina di Bandaraya Cebu, Filipina, 27 April ini.
Pengendali berusia 44 tahun itu berkata beliau memutuskan untuk memanggil Nor Farhan dan selain itu mengekalkan sebahagian besar barisan pemain yang beraksi menentang Yemen pada pusingan kelayakan Piala Asia 2015, 5 Mac lepas.
"Tiada banyak perubahan yang akan dilakukan. Mungkin dua atau tiga pemain baharu akan disenaraikan manakala sebahagian besar pemain yang beraksi menentang pasukan Filipina dan Yemen bulan lepas akan dikekalkan.
"Saya akan memilih pemain berdasarkan prestasi semasa. Pemain baharu bukanlah bermaksud pemain muda, pemain yang sudah lama berkecimpung dan menunjukkan prestasi yang baik," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjadi ahli panel simposium bertajuk 'Bola Sepak Negara Antara Bakat dan Budaya' anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), di Auditorium Muzium Negara, Rabu.
Kim Swee berkata beliau bakal merombak bahagian pertahanan, tengah dan serangan pada kali ini selepas beberapa pemain utama mengalami kecederaan serius dan mengambil masa yang lama untuk kembali pulih.
"Seperti yang kita tahu (pertahanan) Amirizwan Taj (Tajudin) mengalami kecederaan yang serius, maka kita ada kekosongan di situ. Posisi ini mungkin termasuk posisi penyerang kerana tidak banyak penyerang kita yang berjaya menjaringkan gol yang banyak dalam Liga Malaysia," katanya.
Menyentuh mengenai perlawanan persahabatan berkenaan, Kim Swee berharap skuad Harimau Malaya mampu melakar kejayaan yang lebih baik.
Pada pertemuan menentang Filipina di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada 1 Mac lepas, skuad Harimau Malaya sekadar terikat tanpa jaringan pada perlawanan itu.
Dalam perkembangan lain, Kim Swee, yang juga ketua jurulatih skuad Harimau Muda A (bawah 23 kebangsaan), berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan oleh pasukan muda kebangsaan yang sedang beraksi dalam saingan Liga Perdana Queensland (NPL), Australia.
Skuad Harimau Muda A yang dilatih sementara oleh pembantu Kim Swee, Rusdi Suparman itu telah meraih dua kemenangan, satu kekalahan dan satu keputusan seri dan mereka bakal mengharungi baki 20 perlawanan liga di negara berkenaan.
Sumber: mStar Online | 16 April 2014