KOTA BHARU: Medan Ilmu di Jalan Dato’ Pati sehingga ke Stesen Bas Bandar Kota Bharu dan melewati Tambatan Diraja bermula hari dijadikan sebagai Zon Bebas Asap Rokok.
Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob (gambar) berkata, kempen itu dibuat memandangkan perbuatan menghisap rokok boleh memberi kesan kepada mereka yang berada berdekatan perokok.
“Insya-Allah melalui kempen tersebut kita akan dapat melindung bahaya asap rokok kepada mereka yang tidak menghisapnya.
“Ini selaras dengan kempen kerajaan negeri menjadikan Kelantan sebagai Zon Bebas Asap Rokok,” katanya kepada media selepas mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Inisiatif Kelantan Bebas Asap Rokok (IKBAR) di Kota Darulnaim hari ini.
Hadir sama Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah, anggota-anggota Exco, Datuk Abdul Fattah Mahmood, Dr Ramli Mamat dan Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Maher.
Menteri Besar berkata, di lokasi kempen larangan merokok akan dipasang papan tanda seperti “Anda Kini Berada Di Kawasan Larangan Merokok” sebagai peringatan kepada orang ramai.
Menurutnya juga kempen itu diperluaskan kepada pihak berkuasa tempatan lain pada masa akan datang. Kata beliau juga kempen kesedaran tersebut dibuat memandangkan rokok didapati mengandungi 4,000 bahan kimia, di mana 200 daripadanya boleh menjadi faktor penyebab barah.
Menteri Besar juga berharap imam-imam di masjid atau surau menjelaskan kepada orang ramai tentang bahayanya merokok dan asapnya kepada kesihatan.
Sumber: Harakah Daily | 17 April 2014
Tiada ulasan:
Catat Ulasan