Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 20 Mei 2015

Mohd Amar sahkan bertanding jawatan naib presiden PAS

KOTA BHARU: Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah mengesahkan akan bertanding merebut jawatan naib presiden PAS pada muktamar parti itu bulan depan dengan mengemukakan borang pencalonan semalam.

Mohd Amar berkata beliau bagaimanapun menolak untuk bertanding jawatan timbalan presiden PAS sekaligus memberi laluan kepada Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mencabar penyandang jawatan itu Mohamad Sabu.

"Pencalonan untuk Datuk Tuan Ibrahim lebih banyak bagi jawatan timbalan presiden, jadi saya rasa lebih sesuai kalau saya bertanding naib presiden sahaja, bagi memberi peluang kepada para perwakilan untuk membuat pilihan," katanya selepas menghadiri Majlis Ucaptama Kelantan Mendepani Cabaran oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.

Sementara itu mengulas mengenai kabinet bayangan pakatan rakyat, Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan menyifatkan perkara itu dibangkitkan dalam masa yang tidak sesuai dan hanya bayangan DAP.

Beliau berkata pandangannya adalah selari dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang supaya mencapai kemenangan terlebih dahulu sebelum memikirkan tentang kabinet bayangan.

Mengenai Penasihat DAP Lim Kit Siang yang menyentuh pelaksanaan hudud dalam ceramah anjuran PAS kawasan Kota Baharu baru-baru ini, Mohd Amar berkata PAS Kota Baharu mengakui kesal dengan ucapan yang dibuat Lim.

"PAS negeri nasihatkan PAS Kota Baharu supaya lebih berhati-hati dan kalau boleh dalam suasana yang agak panas kini, jangan ulangi kesilapan itu," katanya.

Akhbar melaporkan bahawa dalam ceramah berkenaan, Lim menjadikan dua negara iaitu Jordan dan Mesir sebagai contoh kerana mempunyai lebih 90 peratus penduduk beragama Islam, namun sehingga kini tidak melaksanakan undang-undang Islam.

Lim dilaporkan berkata sebagai sebuah negara yang mempunyai pelbagai kaum, beliau mengingatkan semua parti yang berada dalam pakatan pembangkang supaya berpegang kepada janji asas yang sudah dipersetujui bersama.

Sumber: Bernama | 20 Mei 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan