Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Sabtu, 28 Jun 2014

Lesen lebih 70 koperasi di Kelantan dibatal

KOTA BHARU: Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Kelantan membatalkan lesen lebih 70 koperasi di negeri ini sejak 2008 disebabkan tidak aktif dan menyeleweng daripada matlamat penubuhan koperasi.
Timbalan Pengarahnya Anuar Mohamad berkata jumlah koperasi yang dibatalkan itu adalah kira-kira 10 peratus daripada jumlah keseluruhan 715 koperasi yang beroperasi di negeri ini.
"Pembatalan ini dilakukan disebabkan kita dapati mereka tidak aktif dan tidak menjalankan sebarang aktiviti, selain menyeleweng daripada landasan koperasi apabila tidak mengikut peraturan yang ditetapkan.
"Kita cuba untuk memulihkan koperasi yang tidak aktif, dan jika usaha tersebut tidak membawa kesan, kita batalkan koperasi berkenaan," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Koperasi Guru Melayu Kelantan Berhad ke-19, di sini, Sabtu.
Anuar berkata lesen koperasi yang tidak berpotensi untuk maju dan kekurangan anggota juga berdepan kemungkinan dibatalkan jika tiada tindakan segera diambil dalam menangani masalah itu.
Katanya penubuhan koperasi di setiap komuniti termasuk jabatan kerajaan, digalakkan kerana ia mampu memberi banyak manfaat kepada ahli.
Sumber: mStar Online | 28 Jun 2014

Cuaca panas dan kering bukan El Nino


KUALA LUMPUR: Cuaca panas dan kering yang melanda Malaysia ketika ini tiada kaitan langsung dengan fenomena El Nino, kata Pengarah Pusat Penyelidikan Antartika Kebangsaan (NARC) Prof Datuk Dr Azizan Abu Samah.

Sebaliknya beliau berkata keadaan itu berlaku disebabkan Monsun Barat Daya yang berlangsung dari pertengahan Mei lalu dan dijangka berlarutan sehingga September ini.

"Jadi, apa yang kita hadapi sekarang ialah fenomena cuaca lazim yang seringkali dikaitkan dengan Monsun Barat Daya iaitu kita akan mengalami musim yang lebih kering daripada biasa," katanya sambil menambah El Nino belum bermula lagi dan tiada tanda-tandanya setakat ini.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas menjadi tetamu khas untuk rakaman program Ruang Bicara terbitan Bernama TV di Wisma Bernama di sini, Jumaat.

Pada awal Mei lalu, Pejabat Kaji Cuaca United Kingdom meramalkan kemungkinan besar fenomena El Nino, yang mengakibatkan peningkatan suhu dan taburan hujan, akan melanda rantau Asia Tenggara pertengahan tahun ini.

El Nino adalah fenomena pemanasan suhu permukaan laut yang berlaku dalam tempoh enam bulan berturut-turut setiap dua hingga empat tahun di timur Lautan Pasifik.

Ia boleh menyebabkan rantaian perubahan iklim berlaku di seluruh dunia dan antara kesannya ialah hujan lebat di sesetengah kawasan sementara di kawasan lain, berlaku kemarau berpanjangan.

Menurut Azizan, berdasarkan 'kitaran angin' di Malaysia, musim panas dan kering itu biasa berlaku antara Jun dan Julai setiap tahun, sebelum monsun perantaraan bermula menjelang Oktober.

Tambahnya musim hujan dan sejuk pula akan berlaku bermula November hingga Disember.

Sumber: mStar Online | 28 Jun 2014

Pengawal keselamatan: Wajib buat pengesahan kad pengenalan

Ahmad Zahid Hamidi (kiri) memeriksa barisan peserta kursus Certified Security Guards semasa hadir ke Program Tamat Latihan Certified Security Guards (CSG) di Maktab Polis Diraja Malaysia, Kuala Kubu Baru, Sabtu. Foto: BERNAMA

KUALA KUBU BHARU: Berkuat kuasa pada 1 September ini, semua syarikat kawalan keselamatan diwajibkan membuat pengesahan kad pengenalan calon yang memohon kerja sebagai pengawal keselamatan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata calon berkenaan perlu hadir ke JPN untuk membuat pengesahan MyKad secara biometrik sebelum syarikat mengemukakan permohonan tapisan keselamatan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Langkah ini bertujuan memastikan semua pengawal keselamatan tempatan adalah warga Malaysia dan juga pemilik kad pengenalan yang sah," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Latihan Pengawal Keselamatan Bertauliah (CSG) pada Sabtu.

Ahmad Zahid menarik perhatian langkah itu susulan pelbagai isu yang timbul berkaitan industri kawalan keselamatan termasuk kualiti syarikat berkenaan, penggunaan pengawal keselamatan warga asing tanpa izin serta penggunaan kad pengenalan palsu.

Ahmad Zahid berkata 659 pengawal keselamatan warga asing tanpa izin ditahan di seluruh negara sejak 1 Sept 2013 hingga 23 Jun lepas.

"Kita (KDN) turut membatalkan lesen lapan syarikat kawalan keselamatan dan memberi amaran terakhir kepada 25 syarikat kerana melakukan pelbagai kesalahan termasuk menggaji pengawal keselamatan warga asing haram.

"Saya ingin mengingatkan dan memberi amaran kepada mana-mana syarikat kawalan keselamatan yang masih menggaji pengawal kesalamatan warga asing haram supaya menghentikan perbuatan ini dengan serta-merta atau berdepan tindakan pembatalan lesen oleh KDN," tegasnya.

Berhubung pelaksanaan gaji minimum bagi pengawal keselamatan, Ahmad Zahid berkata ia bukan bertujuan membebankan syarikat kawalan keselamatan sebaliknya untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan dalam kalangan pekerjanya.

"Ketika ini, kadar gaji minimum bagi gaji pokok RM900, tidak termasuk elaun dan kerja lebih masa. Purata gaji yang diperoleh sekitar RM1,200 hingga RM1,900," katanya.

"Dalam memastikan syarikat memberi perkhidmatan terbaik dan pada masa sama tidak gulung tikar disebabkan pelaksanaan gaji minimum...atas pertimbangan ini KDN menetapkan latihan secara bersijil dilakukan secara berpusat supaya kenaikan gaji ini dapat meningkatkan kualiti perkhidmatan," jelas Ahmad Zahid.

Berhubung pengawal keselamatan warga Nepal, beliau berkata mereka bukan sahaja diwajibkan menghadiri latihan pengawal keselamatan di pusat-pusat latihan terpilih di negara asal malah perlu menjalani latihan lanjutan selama empat hari setiap tahun sepanjang mereka bekerja di negara ini.

Beliau berkata bagi meningkatkan imej dan keterampilan pengawal keselamatan di negara ini, KDN akan membuat penjenamaan semula pakaian seragam pengawal keselamatan sedia ada kepada tiga kategori iaitu pengawal statik, pengawal bersenjata bagi menjaga 'cash-in-transit' dan kawalan keselamatan maritim.

"Perbincangan sedang dibuat dan akan dikoordinasikan dengan PDRM serta pihak persatuan bank di negara ini sebelum tarikh penguatkuasaan diumumkan," kata Ahmad Zahid. 

Melalui program latihan CSG, kira-kira 10,000 pengawal keselamatan tempatan disasarkan dilatih sehingga akhir tahun ini dengan keutamaan bagi pengawal keselamatan sekolah.

Sumber: mStar Online | 28 Jun 2014

"Kurung yang mampu kami buat" - keluarga

TUMPAT: Anggota keluarga wanita orang kurang upaya (OKU) yang ditemui dikurung di sebuah bilik kecil di bawah rumah di Tumpat semalam menyifatkan tindakan itu jalan terbaik yang mampu mereka lakukan.
Ismail Ibrahim, 57, abang tiri kepada wanita berusia 44 tahun itu, berkata beliau dan anggota keluarga yang lain berbuat demikian kerana bimbangkan keselamatan wanita tersebut.
"Saya nak lepaskan dia tidak boleh sebab dia perempuan dan dia tidak boleh bergaul dengan orang ramai sebab dia garang, rumah pun pernah dia bakar kerana dia agresif," dakwanya.
"Pernah sekali ketika di Pulau Pinang, dia buang mangkuk dari tingkat dua ke bawah. Tidak tahu hendak buat macam mana lagi, kami dah ikhtiar," kata Ismail kepada pemberita ketika ditemui di Hospital Tumpat di sini pada Sabtu.
Pada Jumaat, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan polis menemui Nasitah Yahya dikurung di dalam sebuah bilik berukuran 5.8 meter persegi dan setinggi lebih dua meter dan dipercayai berada dalam keadaan demikian sejak 10 tahun lalu selepas kematian ibu bapanya, di Kampung Pasir, Pekan Hulu di sini.
Ismail menjelaskan beliau tidak menyediakan bekalan air dan elektrik di bilik berkenaan kerana khuatir akan membahayakan mangsa.
"Dulu kita ada letak televisyen dan paip air tetapi dia pecahkannya. "Saya hantar makanan tiap-tiap hari dan lampu kita sediakan dari luar dan akan menyala bermula 7 malam," katanya.
Ismail berkata dia dan anggota keluarga bersyukur pihak JKM mengambil perhatian perkara itu. Sementara itu, Timbalan Pengarah JKM Kelantan Norazaman Abdul Manaf berkata pihaknya mendapati mangsa tidak didaftarkan sebagai OKU.
"Kita telah semak rekod kita dan Nasitah belum berdaftar sebagai OKU dan kita akan ambil tindakan segera. Untuk tindakan awal, kita luluskan bantuan segera RM300 dengan harapan dapat beli keperluan yang perlu," kata Norazaman.
Beliau berkata pihaknya masih menunggu laporan penuh daripada hospital bagi menentukan tindakan yang akan diambil selanjutnya termasuk menempatkannya di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK).
Pengarah Hospital Tumpat Dr Norlaili Sabariah Mohd Ghazali berkata pemeriksaan awal mendapati mangsa pernah mengalami sakit mental.
"Mangsa dah stabil dan kita dapati sebelum ini dia telah didiagnos sebagai pesakit mental tetapi kita perlu pengesahan pakar. "Bagaimanapun, dia tidak kronik dan masih boleh menerima rawatan," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed mahu masyarakat lebih aktif menyalurkan maklumat mengenai mereka yang kurang bernasib baik di kawasan masing-masing kepada pihak berkuasa untuk diberi pembelaan.
Sumber: mStar Online | 28 Jun 2014

Syabab Point pusat sehenti dua agensi penting Kerajaan Negeri Kelantan

Ahmad menandatangani plat sempena perasmian bangunan baharu tersebut.
KOTA BHARU: Syabab Point kini berperanan sebagai pusat sehenti dua agensi penting kerajaan negeri bagi memudahkan urusan pemimpin berkaitan Tabung Amanah Tok Kenali dan Majlis Penghulu.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yacob berkata, dua agensi tersebut juga penting dalam pembangunan ummah dan menyebar dasar-dasar membangun bersama Islam kerajaan negeri.

“Ini bukti pengurusan pentadbiran penting dan ia mencerminkan tahap profesional yang diamalkan oleh pihak yang bertanggungjawab menguruskan kepentingan rakyat.

“Terletak di lokasi strategik dan mudah diakses ia bakal jadi pusat tumpuan pada masa depan. Bangunan sudah lama dibeli daripada biarkan begitu sahaja lebih baik digunakan untuk manfaat bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan pejabat baharu Tabung Amanah Tok Kenali dan Majlis Penghulu Negeri di Bangunan Syabab Point di sini, kelmarin.

Bangunan Syabab Point yang dibeli dengan nilai RM4.5 juta pada awalnya hanya menempatkan Pejabat Pemuda Pas yang beroperasi pada 2011, dan Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) negeri pada Februari lalu, dan terbaru Tabung Amanah Tok Kenali dan Majlis Penghulu.

Tambahnya, ia bukti tahap kepercayaan rakyat terhadap kerajaan negeri dalam menjaga kebajikan mereka dan juga meletakkan nilai-nilai Islam sebagai agenda pentadbiran.

“Tabung Amanah Tok Kenali menjalankan program pembangunan insan, bukti kita serius melaksanakan agenda pembangun berasaskan kepada syariat Islam.

“Majlis Penghulu turut berperanan sebagai mata dan telinga kerajaan. Mereka perlu aktif menyebar dasar-dasar kerajaan dan  sebarang isu yang berlaku. Saya yakin jika ia dilaksanakan sebagai mungkin isu-isu semasa akan difahami lebih pantas oleh rakyat di peringkat akar umbi,” katanya.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 28 Jun 2014

231 kompaun kepada penjaja, perokok di Kelantan

Ahmad Razin (empat, kanan) bersama Adnan (kiri) menyalakan replika rokok sebagai gimik pelancaran majlis sambutan tanpa tembakau sedunia dan pelancaran kempen cara hidup sihat
KOTA BHARU: Jabatan Kesihatan Kelantan mengeluarkan 231 kompaun kepada penjaja yang menjual rokok batang dan perokok yang merokok di tempat larangan di negeri ini dengan nilai kompaun berjumlah RM 24,655 dari Januari hingga Mei lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Maher berkata kompaun terbabit kenakan ke atas mereka yang tidak mengikut arahan yang ditetapkan sebagai satu peringatan bahawa pihaknya tidak memandang enteng soal perokok yang merokok di kawasan larangan.

“Kompaun ini bukan sahaja dikenakan kepada perokok yang melanggar arahan malah kepada penjaja yang menjual rokok dalam bentuk batang tidak seperti kebiasaannya yang dijual dalam kotak.

“Jika perkara ini tidak dipandang serius maka akan menyebabkan bertambahnya perokok malah turut merugikan diri dan boleh mengundang pelbagai jenis penyakit berbahaya termasuk serangan jantung, kanser paru-paru dan penyakit paru-paru kronik,” katanya kepada sidang media.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis sambutan hari tanpa tembakau sedunia dan pelancaran kempen cara hidup sihat peringkat negeri Kelantan di dataran Pasar Siti Khadijah di sini, baru-baru ini.

Turut hadir merasmikan majlis, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), Adnan Hussin.

Sementara itu Ahmad Razin berkata sepanjang tahun lalu, pihaknya mengeluarkan 699 kompaun bernilai RM63,720.

“Dengan jumlah kompaun itu kami turut berjaya merampas produk tembakau bernilai RM566 daripada perokok dan penjual rokok batang di tempat awam serta di premis perniagaan," katanya.

Ahmad Razin berkata, pihaknya turut mewartakan beberapa lagi kawasan awam yang dijadikan sebagai kawasan larangan merokok yang membolehkan pihak berkuasa mengenakan kompaun terhadap mereka yang ingkar.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 28 Jun 2014

Kerajaan Kelantan serius cegah ponteng puasa dan peniaga menjual makanan lebih awal

Ahmad menghulurkan derma ketika perasmian Tabung Ihya Ramadan, semalam. 
KOTA BHARU: Sempena Ramadan, kerajaan negeri akan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga  yang menjual makanan lebih awal dari waktu ditetapkan, termasuk individu tidak berpuasa.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, perbuatan tidak bertanggungjawab terbabit sebenarnya menggalakkan umat Islam di negeri ini tidak berpuasa dan ia amat memalukan.

“Amat mendukacitakan kerana ramai lagi rakyat Kelantan tidak berpuasa. Saya tahu kedai-kedai dibuka jam 10 pagi lagi dan makanan diambil ikut pintu belakang.

“Ini negeri di bawah pentadbiran Islam. Mereka ini tidak malu kepada anak-anak muda belasan tahun (golongan lebih muda). Lagi memalukan apabila anak berpuasa tetapi bapa tidak berpuasa,” katanya ketika pelancaran Tabung Ihya Ramadan di Medan Ilmu, di sini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Datuk Abdul Fattah Mahmood dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu - Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), Adnan Hussin.

Sehubungan itu, Ahmad meminta pihak berkuasa tempatan untuk memerangi gejala tidak sihat itu habis-habisan sebagai menghormati tuntutan rukun Islam ketiga.

Sebagaimana ditetapkan MPKB-BRI, waktu menjual makanan di premis sepanjang Ramadan adalah bermula jam 3 petang.

Bagi mengimarahkan Ramadan, kerajaan negeri meneruskan solat Tarawih berjemaah di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV dan kali ini berkonsepkan Madinah Ramadan yang turut diadakan pameran buku agama dan tulisan khat.

Katanya, program-program keagamaan seperti itu diteruskan di negeri ini sebagai usaha meningkatkan sahsiah dan jati diri orang Kelantan.

Dalam pada itu, beliau mengharapkan umat Islam berlumba-lumba untuk mendapatkan keberkatan bulan Ramadan dan menghayati kemuliaannya.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 28 Jun 2014