KOTA BHARU: Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Kelantan membatalkan lesen lebih 70 koperasi di negeri ini sejak 2008 disebabkan tidak aktif dan menyeleweng daripada matlamat penubuhan koperasi.
Timbalan Pengarahnya Anuar Mohamad berkata jumlah koperasi yang dibatalkan itu adalah kira-kira 10 peratus daripada jumlah keseluruhan 715 koperasi yang beroperasi di negeri ini.
"Pembatalan ini dilakukan disebabkan kita dapati mereka tidak aktif dan tidak menjalankan sebarang aktiviti, selain menyeleweng daripada landasan koperasi apabila tidak mengikut peraturan yang ditetapkan.
"Kita cuba untuk memulihkan koperasi yang tidak aktif, dan jika usaha tersebut tidak membawa kesan, kita batalkan koperasi berkenaan," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Koperasi Guru Melayu Kelantan Berhad ke-19, di sini, Sabtu.
Anuar berkata lesen koperasi yang tidak berpotensi untuk maju dan kekurangan anggota juga berdepan kemungkinan dibatalkan jika tiada tindakan segera diambil dalam menangani masalah itu.
Katanya penubuhan koperasi di setiap komuniti termasuk jabatan kerajaan, digalakkan kerana ia mampu memberi banyak manfaat kepada ahli.
Sumber: mStar Online | 28 Jun 2014
Tiada ulasan:
Catat Ulasan