Ahmad menghulurkan derma ketika perasmian Tabung Ihya Ramadan, semalam. |
Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, perbuatan tidak bertanggungjawab terbabit sebenarnya menggalakkan umat Islam di negeri ini tidak berpuasa dan ia amat memalukan.
“Amat mendukacitakan kerana ramai lagi rakyat Kelantan tidak berpuasa. Saya tahu kedai-kedai dibuka jam 10 pagi lagi dan makanan diambil ikut pintu belakang.
“Ini negeri di bawah pentadbiran Islam. Mereka ini tidak malu kepada anak-anak muda belasan tahun (golongan lebih muda). Lagi memalukan apabila anak berpuasa tetapi bapa tidak berpuasa,” katanya ketika pelancaran Tabung Ihya Ramadan di Medan Ilmu, di sini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Datuk Abdul Fattah Mahmood dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu - Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), Adnan Hussin.
Sehubungan itu, Ahmad meminta pihak berkuasa tempatan untuk memerangi gejala tidak sihat itu habis-habisan sebagai menghormati tuntutan rukun Islam ketiga.
Sebagaimana ditetapkan MPKB-BRI, waktu menjual makanan di premis sepanjang Ramadan adalah bermula jam 3 petang.
Bagi mengimarahkan Ramadan, kerajaan negeri meneruskan solat Tarawih berjemaah di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV dan kali ini berkonsepkan Madinah Ramadan yang turut diadakan pameran buku agama dan tulisan khat.
Katanya, program-program keagamaan seperti itu diteruskan di negeri ini sebagai usaha meningkatkan sahsiah dan jati diri orang Kelantan.
Dalam pada itu, beliau mengharapkan umat Islam berlumba-lumba untuk mendapatkan keberkatan bulan Ramadan dan menghayati kemuliaannya.
Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 28 Jun 2014
Tiada ulasan:
Catat Ulasan