Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Sabtu, 3 Ogos 2013

Bas ekspres terbakar di Jeli


Oleh Azman Che Man 
Anggota bomba memeriksa bas terbakar selepas api dipadamkan dalam kejadian tengah malam kelmarin.
JELI, 3 Ogos: Dua pemandu dan 45 penumpang terselamat daripada maut apabila sempat keluar dari sebuah bas ekspres yang tiba-tiba terbakar di Batu 17, Lebuh Raya Timur - Barat berhampiran Hentian Damai, dekat Jeli, awal pagi semalam.

Kejadian mencemaskan itu berlaku kira-kira jam 12.30 tengah malam ketika bas ekspres dua tingkat terbabit dalam perjalanan dari Kota Bharu menuju ke Kedah.

Tindakan pantas pemandu bas itu, Zulkifli Ramli, 36, mengarahkan semua penumpangnya turun selepas menyedari ada sesuatu yang tidak kena di bahagian enjin berjaya menyelamatkan kesemua penumpang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jeli, Penolong Penguasa Bomba, Soleh Nasir berkata, kebakaran menyebabkan bas Ekspres Shamisha itu hangus selepas api membakar keseluruhan kenderaan berkenaan.

“Kejadian berlaku ketika bas dua tingkat daripada model terbaharu ini sedang mendaki bukit apabila pemandu menyedari lampu pengesan api di bahagian enjin menyala.

“Pemandu kemudian cepat-cepat memberhentikan bas dan meminta semua penumpang turun,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini, semalam.

Soleh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.23 tengah malam dan sebaik tiba di tempat kejadian pada jam 12.50 tengah malam, api sudah merebak hampir keseluruhan bas.

“Api dipercayai berpunca dari bahagian belakang yang menempatkan enjin sebelum merebak ke seluruh bahagian bas, namun punca sebenar kejadian masih dalam siasatan,” katanya.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 3 Ogos 2013 | 


1 ulasan: