KOTA BHARU: Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan merampas pelbagai jenis produk kesihatan dan kosmetik yang mempunyai racun berjadual dan produk tidak berdaftar, bernilai kira-kira RM10,000, di lima kiosk di sebuah pasar raya di sini.
Ketua Penolong Pengarah Kanan Penguatkuasa Farmasi jabatan itu, Norma Zakaria berkata rampasan produk kosmetik dan produk kesihatan seperti jamu dan ubat-ubatan itu dilakukan bagi memastikan barangan yang dijual di kiosk berkenaan mematuhi undang-undang yang ditetapkan Kementerian Kesihatan.
"Kami yakin pada musim cuti persekolahan ini ramai yang akan mengunjungi ke pasar raya seperti ini untuk mendapatkan produk kosmetik dan produk kesihatan ini.
"Jadi dengan adanya operasi seperti ini kita dapat melindungi pengguna," katanya kepada pemberita selepas operasi itu, Selasa.
Beliau menasihatkan pengguna produk kosmetik dan produk kesihatan supaya lebih berwaspada ketika memilih produk bagi mengelak kemudaratan.
Katanya, produk yang dirampas akan diserahkan kepada pihak berkuasa kawalan dadah Kementerian Kesihatan untuk siasatan lanjut.
"Bagi produk kosmetik yang dipercayai mengandungi bahan racun berjadual, ia akan diserahkan kepada Jabatan Kimia untuk dianalisa," katanya.
Katanya, penjualan produk tidak berdaftar akan disiasat mengikut Peraturan 71A, Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 manakala bagi produk yang mengandungi bahan beracun terlarang akan disiasat mengikut Seksyen 13A Akta Racun 1952.
Sumber: BERNAMA | 19 Nov. 2013
Tiada ulasan:
Catat Ulasan